Oleh pada 19 Jul 2023 kategori

Selepas berdekad-dekad kita terlepas daripada cengkaman penjajahan British, malangnya sehingga ke saat ini kesannya masih dirasai di kalangan ahli masyarakat kita.

Baik Melayu, Bumiputera, Cina, India dan apa saja bangsa kita, kita masih berkongsi banyak faktor mentaliti yang terpalit akibat gerakan kolonialisme barat khususnya Great Britain yang berlangsung berabad-abad lamanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Faktor dan kesan yang menghantui ini walaupun cuba kita nafikan, nyata tetap terpapar dalam tingkah laku kita setiap hari. Apa buktinya?

1. Kita masih rasa pandai English = pandai

kepentingan english sehingga jadi tahap ukur minda

Ini yang paling banyak berlaku di kalangan orang Malaysia. Bahasa Inggeris atau English, sebutan lainnya 'speaking!' dilihat sebagai petanda tahap kecerdikan seseorang.

Seseorang individu yang mampu berbahasa Inggeris dengan baik dikatakan terpelajar sementara seseorang yang agak gagal baik bertutur atau menulis dalam Bahasa Inggeris, seringkali disalah anggap sebagai seseorang yang masih 'kekampungan' atau mempunyai perangai anti-globalisasi.

Yang lebih lucu, sekiranya mana-mana rakyat Malaysia mampu bertutur lancar dalam bahasa Inggeris dengan slanga sama ada Britain, Amerika Syarikat atau Australia - mereka akan diletak pada pada kasta lebih tinggi berbanding biasa.

2. Layan lagu dan filem luar dianggap berminda kelas atas

lagu tempatan nasyid genre

Berkait dengan hujah kami di atas, dalam situasi meminati media pun kita akan menyaksikan perkara serupa. 

Inidividu yang mempunyai pengetahuan luas dalam filem, muzik dan karya barat, akan dikategorikan sebagai seorang yang mempunyai taste tinggi. Sementara itu kalau seseorang hanya layan lagu-lagu tempatan, sori-lah, taste anda rendah.

Nak dilihat lebih kelas berbanding orang lain? Pastikan anda meminati karya-karya yang berbeza daripada pengkarya barat yang jarang disebut. Kalau anda peminat genre yang unik seperti muzik jazz atau filem dari negara-negara Eropah yang jarang masuk panggung, automatik anda akan dianggap bercitarasa tinggi dan unik.

3. Kita layan orang barat lebih berbanding orang lain

orang tempatan mudah sanjung mat saleh

Satu perkara yang dapat kita lihat setiap hari jika anda mahu membuka mata, adalah bagaimana ahli masyarakat kita membezakan layanan kita terhadap orang barat...berbanding orang-orang lain, termasuklah kita sendiri.

Kalau ada orang kulit putih hadir ke kedai makan, wah-wah-wah tuan punya kedai punya layanan terlebih manis. Sekiranya ada Youtuber kulit putih hadir ke Malaysia memuji negara kita suka dengan apa yang dia saksikan, sekejap saja jumlah pengikut dia akan bertambah.

Orang tempatan boleh ke dapat layanan sama? Boleh. Kalau anda selebriti atau tokoh. Tak ada kriteria ini, maaflah. 

4. Kita ikut apa yang berlaku di negara barat

keluarga diraja britain

Anda perasan tak, media negara kita seolah-olah benar-benar mengikuti dan melaporkan apa saja yang berlaku di Great Britain, sehingga kadangkala menenggelamkan isu-isu tempatan?

Sebagai contoh, isu atau berita berkait dengan keluarga di-raja Britain mudah dijadikan sebagai berita utama. Kita disajikan dengan berita kemangkatan, kenaikan takhta, pergolakan keluarga di-raja mereka seolah-olah mereka itu masih ada kaitan dengan kita.

Kelakarnya, di kalangan rakyat Malaysia sendiri masih ramai yang tergagap nak menyebut siapakah nama YDP Agong dan Permaisuri Agong. 

5. Semua tentang negara barat lebih baik pada mata kita

london destinasi impian

Dalam banyak-banyak bukti minda kita masih terjajah, ini adalah faktor yang paling sukar untuk kita hakis. 

Semua negara yang ada berkait dengan penjajahan Britain iaitu Great Britain sendiri, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan sebagainya, dilihat sebagai lebih baik serta layak dijadikan visi serta impian hidup, di kalangan segelintir mata orang kita.

Tak kiralah budaya, corak hidup, pembangunan, nilai matawang, dasar negara, sistem pentadbiran, semuanya didakwa sebagai lebih positif serta perlu diambil sebagai acuan oleh kita untuk diaplikasikan dalam membentuk nilai masyarakat kita.

Untuk orang sebegini, rasanya nasihat yang paling baik untuk dia adalah 'kalau kau benci Malaysia sangat, kau berhijrahlah ke negara luar tu' kan? Tetapi malangnya kalau dia dinasihati sebegitu rupa, dia akan marah-marah. 

Kadang-kadang orang sebegini langsung tidak ada rasa sayang dengan nilai dan tradisi masyarakat Malaysia, tetapi entah kenapa mereka masih nak kekal di sini; konsisten nak ubah Malaysia supaya jadi sama seperti budaya negara barat yang pernah menjajah nenek moyang kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)