Laporan media serta penularan di kalangan media sosial mula memperkatakan tentang 3 jenis (strain) virus SARS-CoV-2, sebagai punca utama jangkitan Covid-19.

Walaupun begitu secara rasminya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia masih belum memberikan penjelasan berkenaan isu ini disebabkan oleh kurangnya laporan yang ada. Situasi sama sebenarnya turut diambil di semua negara yang terlibat dengan wabak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini kerana kajian berkenaan jenis-jenis virus SARS-CoV-2 yang ada masih sedang dijalankan. Apa yang kita tahu setakat ini, majoriti kajian memperolehi kesimpulan SARS-CoV-2 mengalami mutasi secara perlahan, berbeza dengan virus influenza - menyebabkan virus penyebab Covid-19 lebih mudah untuk dikaji 'keturunannya.'

Apa yang sudah kita tahu tentang keturunan virus itu setakat ini?

96% sama dengan sejenis virus asal kelawar

kelawar punca covid 19

Di antara kesemua jenis virus yang ada, setakat ini virus yang didapati paling hampir dengan virus SARS-CoV-2 adalah sejenis virus yang dilabelkan sebagai BatCoV RaTG13. Kajian yang dijalankan ke atas kedua-dua jenis virus menampakkan persamaan yang ketara setinggi 96.2%.

BatCoV RaTG13 merupakan virus yang diambil daripada kelawar spesis Rhinolophus affinis dipercayai merupakan perumah sebenar virus itu, dijumpai dalam gua di Yunnan, China.

Apa yang kita tidak tahu lagi setakat ini, adalah kaedah virus daripada kelawar itu berpindah kepada manusia.

Dalam dua jangkitan virus corona sebelum ini iaitu SARS tahun 2003 dan MERS tahun 2012, didapati virus berpunca dari kelawar hadir kepada manusia melalui transmisi haiwan musang kucing (civet cat) dan unta sebagai pengantaranya.

Harus diperjelaskan - ini bukan menandakan BatCoV RaTG13 adalah punca SARS-CoV-2, sebaliknya kedua-duanya setakat ini merupakan virus paling mirip antara satu sama lain.

Misteri haiwan pengantara

tenggiling virus covid 19

Selepas wabak mula melanda Wuhan di China yang dipercayai berlaku di antara bulan November ke Disember 2019, satu penemuan yang dijalankan lebih awal mula dirungkai semula bagi membantu kajian.

Pada 24 Oktober 2019 sekumpulan penyelidik daripada Guangdong Wildlife Rescue Center of China mendapati berlaku kematian terhadap dua ekor tenggiling Malaya di pusat mereka. Hasil bedah siasat ke atas dua ekor tenggiling itu mendapati dua tenggiling malang itu mati disebabkan paru-paru yang penuh dengan lendir. Tenggiling itu juga dikesan mengalami fibrosis, sejenis kecederaan dalam tisu paru-paru.

Hasil penyelidikan mendapati virus yang menyebabkan kematian itu mempunyai banyak persamaan dengan virus SARS-CoV-1, penyebab wabak SARS pada tahun 2003 dengan angka persamaan 80.24 ke 88.93%  berbanding virus yang muncul 17 tahun dahulu.

Selepas berlakunya wabak Covid-19 (atau nama lamanya 2019-nCoV) kajian ke atas tenggiling itu mula dikaitkan dengan wabak baru itu. Hasil perbandingan ke atas kedua-dua jenis virus, menunjukkan persamaan yang lebih tinggi berbanding virus SARS-CoV-1.

Virus dari tenggiling itu yang kini dilabelkan sebagai Pangolin-CoV mempunyai 90.55 dan 91.02% persamaan dengan SARS-CoV-2.

Penemuan ini bagaimanapun belum mampu menjawab adakah wujud hubungan di antara kematian dua tenggiling itu dengan Covid-19. Namun penyelidik berpendapat berikutan kedua-dua insiden kejadian yang terlalu rapat jarak masanya serta simtom yang sama ditemui - ada kemungkinan virus Pangolin-CoV berkait dengan SARS-CoV-2.

Kenapa ada jenis virus A, B dan C?

makmal penyelidikan di cambridge

Selesai kita berbicara tentang dua jenis virus yang berkemungkinan menjadi punca kepada Covid-19, mari kita bercakap tentang jenis SARS-CoV-2 pula.

Ada beberapa laporan berbeza yang cuba menjelaskan tentang jenis atau 'strain' virus yang ada. Laporan media melaporkan jangkitan berlaku disebabkan 3 jenis varian SARS-CoV-2 yang berbeza dan ketiga-tiganya saling berkait, dilabelkan sebagai A, B dan C. Dari mana pendapat ini muncul?

Pendapat ini sebenarnya datang daripada kumpulan penyelidik dari Universiti Cambridge. Kajian mereka dalam mengenalpasti asal-usul evolusi virus SARS-CoV-2 baru saja dilaporkan pada 9 April 2020.

Dengan menggunakan data daripada semua sampel genome virus yang ada sejak 24 Disember 2019 sehinggalah 4 Mac 2020, mereka mengelaskan jenis virus SARS-CoV-2 yang ada kepada tiga kumpulan - A, B dan C.

Jenis A dipercayai virus paling hampir dengan virus asal - namun majoriti jangkitan di China tidak berlaku disebabkan oleh jenis A. Virus ini dikatakan tersebar paling banyak di Amerika Syarikat serta beberapa kawasan di Eropah.

Jenis B merupakan 'anak' kepada jenis A yang telah menjalani dua proses mutasi, merupakan virus yang dipercayai menyebabkan wabak melanda di Wuhan dan juga kawasan Asia Timur.

Yang terakhir adalah varian jenis C yang ditemui pada kumpulan awal pesakit dari Perancis, Itali, Sweden dan England di Eropah, serta pesakit di Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan.

Walau bagaimanapun, varian ini tidak ditemui di kalangan pesakit di China khasnya di Wuhan. Varian C pula merupakan anak kepada varian B yang telah mengalami sekali proses mutasi.

Apa yang menarik untuk dibincangkan - ketua penyelidik dari Cambridge memberikan hipotesis bahawa varian B mempunyai sifat unik dan sesuai menjangkiti kawasan-kawasan Asia Timur, disebabkan oleh kekangan genetik yang berlaku - menyebabkan virus itu bermutasi menjadi varian baru agar lebih sesuai untuk menjangkiti kumpulan tertentu - menyebabkan virus ini majoritinya menyebabkan jangkitan di kalangan orang Asia sahaja.

Apa pula varian jenis L dan S?

pasukan penyelidik china covid 19

Jika kajian di Cambridge melabelkan kumpulan varian SARS-CoV-2 sebagai A, B dan C - satu kajian lebih awal di China melaporkan tentang dua varian yang diuji, dilabelkan sebagai varian L dan S. (pautan PDF)

Dalam kajian itu, mereka mendapati dua varian yang ada menampakkan kesan mutasi telah berlaku tetapi tidak ada petanda berlakunya penggabungan semula antara virus.

Kajian melaporkan bahawa di antara dua varian yang ada, varian L sebenarnya adalah 'anak' kepada varian S yang telah wujud lebih awal. Bagaimanapun, keupayaan kedua-duanya agak berbeza.

Jenis varian L telah melalui beberapa proses mutasi yang membezakannya dengan varian S, memberikannya keupayaan untuk menjangkiti manusia serta mereplikakan diri dalam tempoh lebih cepat berbanding S.

Ini bermakna, di antara kedua-dua varian, L mempunyai sifat lebih agresif berbanding S yang wujud terlebih dahulu.

Kajian di Wuhan turut mendapati di antara 27 orang pesakit, 26 membawa varian L sementara hanya seorang membawa varian S. Apabila dibandingkan dengan sampel-sampel virus yang datang dari luar Wuhan pula, nisbah serakan antara kedua-dua varian adalah L sebanyak 61.6% dan S 38.4%.

Kumpulan penyelidik ini berpendapat walaupun pada awalnya nisbah lebih berat kepada varian L, selepas perintah kawalan pergerakan diperkenalkan di Wuhan sekitar bulan Januari - percambahan di antara kedua-duanya menjadi lebih rapat jurangnya disebabkan kaedah kawalan pakar perubatan berjaya menangani penyebaran varian L dengan lebih berkesan.

Ini didorong oleh sifatnya yang lebih agresif menyebabkan pakar perubatan lebih cenderung 'menyerang' varian ini sementara varian S pula kurang mendapat perhatian, disebabkan sifat yang lebih pasif dalam menjangkiti manusia.

Setakat ini, belum ada lagi kajian menghubungkan varian A, B dan C oleh Cambridge dengan varian L dan S di China. Harus diingatkan, hasil kajian di China mendapat kritikan beberapa pihak, khasnya daripada kumpulan penyelidik di University of Glasgow Centre for Virus Research.

Kumpulan penyelidik dari Scotland itu secara terbuka mengkritik laporan tersebut dengan alasan (kami petik ayat mereka) : "kami percaya kumpulan penyelidik (dari China) itu patut menarik balik laporan mereka, kerana semua dakwaan yang mereka buat tidak berasas serta mampu menyebarkan maklumat tidak benar, semasa masyarakat berhadapan dengan wabak."

Seronok juga tengok saintis dengan saintis berdebat tentang perkara ilmiah kan?

Rujukan

Probable Pangolin Origin of SARS-CoV-2Associated with the COVID-19 Outbreak (PDF)

SARS-like coronavirus strain BatCov RaTG13 (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)