Lihat dari dekat dan jauh memberi kesan yang berbeza
Apabila menyebut perkataan "ilusi" atau "halusinasi", pasti anda memikirkan tentang orang yang dikatakan gila dan mampu melihat sesuatu yang tidak wujud.
Namun, tak semestinya orang yang "gila" sahaja boleh mengalami perkara ini.
Kedua-duanya adalah jenis penyimpangan terhadap realiti, tetapi ilusi adalah penyimpangan perkara yang benar-benar wujud manakala halusinasi adalah penyimpangan terhadap sesuatu yang tidak benar.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com kongsikan 5 jenis ilusi dan halusinasi yang paling aneh di dunia.
5. Chromatopsia
Warna dihasilkan di dalam otak. Semua yang benar-benar wujud di luar kepala anda adalah gelombang cahaya yang berbeza, yang memantul pada objek mengira bagaimana ia akan kelihatan.
Penukaran cahaya ini kepada warna adalah terpulang kepada otak seseorang. Satu gangguan berkaitan dengan warna yang paling biasa adalah buta warna, di mana gelombang cahaya tertentu tidak boleh dibezakan.
Walau bagaimanapun, terdapat lebih banyak masalah warna yang misteri, seperti kromatopsia, iaitu satu gangguan yang meletakkan warna berada di tempat yang tak sepatutnya.
Perkataan "kromatopsia" boleh digunakan untuk beberapa gangguan tertentu, termasuk kedua-dua ilusi dan halusinasi.
Dari sisi ilusi spektrum, kromatopsia sering dikaitkan dengan sakit kepala migrain, di mana seseorang melihat lebih banyak warna daripada apa yang sebenarnya wujud.
Ia seolah-olah seseorang membuka paparan tetap warna pada komputer anda, tetapi dalam dunia nyata.
Tetapi pada sisi halusinasi pula, chromatopsia adalah orang yang mengalami penglihatan melihat warna yang tak sepatutnya.
Dalam erti kata lain, objek tidak berwarna tiba-tiba boleh kelihatan berwarna-warni. Terdapat nama khusus untuk setiap warna yang mungkin meresap ke dalam penglihatan anda dalam kes halusinasi kromatopsia.
Penglihatan warna biru dipanggil cyanopsia, warna kuning dipanggil xanthopsia dan penglihatan merah disebut erythropsia.
Terdapat juga istilah penglihatan ungu (ianothinopsia) dan penglihatan hijau (chloropsia), serta istilah apabila semua warna hilang dari penglihatan anda, yang dikenali sebagai achromatopsia.
4. Halusinasi "gustatory"
Sesetengah orang boleh membayangkan rasa makanan bila-bila masa mereka mahu, tetapi ia adalah keadaan yang berbeza apabila seseorang berhalusinasi rasa dalam mulut mereka yang mana mereka tidak dapat kawal.
Rasa halusinasi ini dipanggil sebagai "gustatory". Malangnya, kebanyakan kes halusinasi gustatory adalah rasa yang tidak sedap, termasuk epal busuk, rokok, besi berkarat atau rasa yang hanya digambarkan sebagai pahit atau tidak menyenangkan.
Laporan tentang rasa yang enak dan sedap sangat jarang berlaku, rasa-rasa seperti kacang panggang atau bawang putih dikatakan wujud.
Antara rasa halusinasi yang luar biasa yang dilaporkan termasuklah sperma, arang, dan kloroform.
Seseorang boleh mempunyai halusinasi yang berkaitan dengan mana-mana pancaindera mereka, termasuklah lima deria utama untuk melihat, mendengar, berbau, menyentuh, dan rasa.
Daripada semua ini, halusinasi rasa kelihatan paling jarang dalam kes gangguan psikiatri. Tidak diketahui mengapa halusinasi ini lebih jarang daripada halusinasi deria lain, tetapi para penyelidik mendapati bahawa pelbagai jenis halusinasi deria mempunyai kaitan di antara satu sama lain.
Dengan kata lain, jika anda mempunyai satu jenis halusinasi, anda cenderung untuk mempunyai halusinasi lain juga.
3. Halusinasi halitosis
Halitosis bermaksud "nafas berbau," dan ia adalah sesuatu yang sangat diambil berat, mendorong kita untuk menyegarkan nafas dengan mengunyah gula-gula getah dan sebagainya.
Tetapi kadang-kala, seseorang mungkin berasakan bahawa nafas mereka berbau yang mana ia hanya berlaku dalam otak mereka sahaja.
Terdapat mereka yang sangat percaya bahawa nafas mereka berbau sehinggakan mengganggu kehidupan seharian. Keadaan ini dipanggil halusinasi halitosis atau delusi halitosis.
Kedua-dua istilah untuk gangguan ini kelihatan boleh ditukar ganti, tetapi terdapat perbezaan kecil. Dalam halusinasi halitosis, individu benar-benar mengalami bau busuk pada mulut yang tidak wujud.
Bagi delusi halitosis pula, penghidap tak semestinya mengalami nafas berbau sebenar, tetapi hanya membayangkan bau busuk dalam mulut mereka.
Tidak jelas yang istilah mana yang lebih baik untuk digunakan kerana penghidap adalah satu-satunya individu yang dapat melaporkan halusinasi yang berlaku.
Doktor gigi atau doktor lain tidak boleh membantu disebabkan oleh ia hanya satu halusinasi atau delusi, yang mana tidak wujud dalam dunia nyata.
2. Halusinasi persekitaran condong
Bagi individu yang mengalami ilusi ini, dunia mereka dirasakan seperti terbalik. Persepsi visual mereka terhadap dunia sangat condong, sehingga arah "atas" telah berpindah ke tempat lain.
Kecondongan persekitaran ini biasanya dilihat sebagai 90 darjah atau kecondongan 180 darjah, yang bermaksud bahawa arah atas bertukar ke arah kanan, kiri atau ke bawah.
Walaupun lebih jarang, namun terdapat kes-kes di mana arah atas bertukar ke hadapan atau mengalami putaran luar biasa seperti 30 atau 150 darjah.
Kecondongan persekitaran biasanya muncul secara tiba-tiba dan ilusi dapat berlangsung selama beberapa saat hinga beberapa jam.
Semasa ini berlaku, penghidap melaporkan rasa pening, yang mana tidak menghairankan memandangkan berlaku percanggahan di antara apa yang mereka lihat dengan rasa keseimbangan mereka.
Seorang wanita melaporkan mengalami halusinasi ini secara tiba-tiba yang berlangsung selama sesaat setiap kali. Salah satu daripada kes halusinasinya menyebabkan wanita ini hilang kawalan kereta buat seketika.
Kecondongan tersebut berlaku dalam pelbagai sudut termasuklah 45,90 dan 180 darjah. Menurut kajian kes ini, putaran itu berada pada arah mengikut jam apabila ia berlaku secara perlahan.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan halusinasi berlaku termasuklah angin ahmar, migrain dan kecederaan otak traumatik.
Ramai pesakit mendapati bahawa rawatan terbaik adalah hanya menutup mata sehingga penglihatan normal mereka kembali semula.
1. Halusinasi anggota badan tambahan
Halusinasi ini adalah hasil daripada gangguan luar biasa di mana seseorang berasakan mereka mempunyai anggota badan tambahan ayng sebenarnya tidak wujud.
Secara umum, anggota-anggota badan ini adalah tangan atau kaki, tetapi ia juga boleh melibatkan bahagian lain, termasuk mata atau seluruh kepala.
Bagaimana ini boleh berlaku? Otak anda bertanggungjawab untuk menafsirkan maklumat deria yang diterima dari tubuh, seperti apabila sesuatu menyentuh anda.
Ia juga bertanggungjawab untuk menghantar maklumat, seperti memberitahu tangan anda untuk bergerak. Apa yang perlu dilakukan oleh otak dengan maklumat yang masuk dan keluar ini adalah menyerahkannya ke bahagian badan anda supaya anda dapat menentukan di mana anda disentuh atau bahagian badan yang sedang bergerak.
Tetapi kadangkala, disebabkan oleh kerosakan otak, otak menjadi keliru dan mewujudkan kategori-kategori bahagian tubuh yang sebenarnya tidak wujud.
Seseorang yang mengalami halusinasi ini sebenarnya boleh merasakan bahagian badan khayalan mereka tersentuh dan bergerak, sama seperti cara orang biasa merasakan anggota badan mereka yang sebenar.
Mereka sebenarnya tidak percaya bahawa mereka mempunyai bahagian badan tambahan, tetapi hanya merasakan seolah-olah mereka memilikinya dan tidak mengalami delusi.
Jika seseorang benar-benar percaya bahawa mereka mempunyai bahagian-bahagian badan tambahan, maka ini dikenali sebagai "reduplikasi anggota badan".
Sesetengah orang dengan gangguan ini melaporkan mereka dapat menyentuh objek menggunakan anggota tambahan ini, dan sesetengah juga berhalusinasi mereka boleh melihat anggota badan "hantu" ini.