Seni bina yang hebat menjadi wakil kepada sesebuah kebudayaan. Setiap perincian daripada reka bentuk binaan ini membawa makna dan ia kekal sehingga beberapa generasi. Seni bina seperti ini menjadi impian pemilik dan juruteranya.

Namun, tidak semua binaan hebat dan besar itu menjadi seperti apa yang diinginkan. Ada binaan yang terbengkalai disebabkan pelbagai faktor tetapi masih popular sebagai tarikan pengunjung. Berikut adalah 6 binaan terbengkalai paling popular di seluruh dunia.

1. Istana Parlimen

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada mulanya, ia dikenali sebagai "Istana Rakyat". Ia merupakan binaan paling hebat ketika era komunis di Romania dan dibina untuk menjadi lambang kemakmuran dan kepelbagaian lapisan masyarakat di negara itu.

Pada suatu pagi di tahun 1984, kerajaan mengumumkan pembinaan Istana Rakyat ini dan menjelang tengah hari, kerja-kerja merobohkan binaan sekeliling dimulakan. Seramai 40,000 penduduk tempatan terpaksa berpindah secara tergesa-gesa.

Kerajaan mengeluarkan belanja besar walaupun masih ramai rakyat kebuluran dan blackout sering berlaku di seluruh negara. Akhirnya, pembinaan itu tidak dapat disiapkan sehingga hari ini.

Daripada 1,100 buah bilik, hanya 400 sahaja yang boleh digunakan. Ia mempunyai bahagian bawah tanah sedalam 8 tingkat dan bahagian paling bawah digunakan sebagai kubu nuklear. Istana Parlimen ini juga merupakan bangunan paling berat di dunia.

2. Sagrada Familia

sagrada familia 494

Sehingga hari ini, sebanyak lima generasi telah menyaksikan proses pembinaan gereja yang dikenali sebagai Sagrada Familia di Barcelona, Sepanyol. Binaan ini dimulakan pada 19 Mac 1882 oleh Francisco de Paula del Villa.

Tidak lama kemudian, ketua jurutera pembinaan gereja ini meletak jawatan dan digantikan oleh Antoni Gaudi. Apabila Gaudi meninggal dunia pada tahun 1926, hampir satu perempat daripada pembinaan ini telah siap.

Namun, ia terhenti akibat Perang Saudara Sepanyol pada tahun 1936. Hanya pada 1950-an barulah kerja pembinaan disambung semula. Tambahan pula, kos binaan gereja ini bergantung sepenuhnya pada sumbangan orang ramai.

Kemajuan teknologi telah membantu mempercepatkan pembinaan gereja ini pada tahun 2010 dan dijangka akan siap pada 2026. Walau bagaimanapun, binaan tidak siap ini disenaraikan UNESCO sebagai tapak warisan pada 2010.

3. Prora

prora

Adolf Hitler telah memulakan projek Prora iaitu hotel untuk pekerja Jerman. Dia berharap mereka boleh menggunakan tempat ini sebagai pusat percutian. Terdapat lapan bangunan yang serupa dengan 10,000 bilik menghadap laut.

Prora merupakan projek pertama yang dilaksanakan organisasi Nazi yang dinamakan sebagai Kraft durch Freude yang bertanggungjawab terhadap hiburan kerajaan Nazi.

Selain membina tempat peranginan, Hitler juga merancang untuk menjadikan Prora sebagai tempat yang boleh digunakan oleh tentera Nazi jika perlu.

Namun, Perang Dunia Kedua membuatkan projek ini menjadi fantasi sahaja. Beribu-ribu bilik menjadi terbiar ketika perang dan tahun-tahun berikutnya. Ia adalah salah satu projek mega Nazi yang terbengkalai.

4. Istana Kebangsaan Ajuda

istana kebangsaan ajuda

Istana ini dibina pada tahun 1755 sebagai kediaman bagi keluarga Diraja Portugis. Namun, beberapa kejadian telah menyebabkan istana ini gagal disiapkan sepenuhnya. 

Pembinaan istana ini tertangguh pada 1807 apabila keluarga Diraja Portugis melarikan diri ke Brazil. Kali kedua ialah apabila Portugal dijajah oleh Perancis. Walau bagaimanapun, bangunan ini masih lagi bertahan.

Hanya ketika pemerintahan Raja Luis I (memerintah 1861-1889) barulah istana ini menjadi kediaman tetap keluarga diraja. Kebanyakan hiasan dalaman direka sendiri oleh Raja Luis I dan isterinya, Pemaisuri Maria Pia.

Akhirnya, gerakan revolusi pada 1910 memaksa keluarga Diraja Portugis keluar dari istana ini dan ditahan serta dibicarakan. Pembinaan istana ini gagal disiapkan sepenuhnya dan kini dijadikan sebagai muzium.

5. Stadium Jerman 

stadium jerman

Pada tahun 1937, pembinaan stadium terbesar dunia seperti yang diingankan Adolf Hitler bermula. Stadium yang terletak di Nuremberg ini dinamakan sebagai Deutsches Stadion atau Stadium Jerman dan dijangka mampu menampung sehingga 400,000 orang penonton apabila siap.

Sebelum memulakan pembinaan stadium sebenar, jurutera Nazi telah membina model stadium yang bersaiz 1/10 daripada saiz asal. Apabila Hitler melawat model stadium ini, dia mahukan Olimpik seterusnya diadakan di Stadium Jerman sebenar apabila siap.

Namun, pembinaan stadium gergasi ini tergendala ketika Perang Dunia Kedua apabila pihak Bersekutu telah mengebom perkampungan berhampiran yang membekalkan kayu. 

Setelah tamat perang, model stadium gergasi dan pembinaan asas stadium sebenar menjadi terbengkalai dan dibiarkan begitu sahaja.

6. Monumen Kebangsaan Scotland

monumen kebangsaan scotland

Sekumpulan tokoh terkenal dari Edinburg telah mengumpul dana untuk membina sebuah monumen pada tahun 1822. Tujuan pembinaan monumen ini adalah untuk memperingati wira yang terkorban ketika Perang Napoleon.

Mereka ingin membina monumen yang sama seperti kuil Yunani purba terkenal iaitu Parthenon di Athens. Pembinaan monumen itu bermula pada 1826 tetapi dihentikan setelah tiga tahun kerana kekurangan dana.

Apa yang sepatutnya menjadi sebuah kebanggan kini menjadi sesuatu yang "memalukan negara". Pada 1907, ada cadangan untuk menjadikan monumen itu sebagai Galeri Negara dan tahun berikutnya pula dicadangkan untuk dijadikan tapak Parlimen Scotland.

Pelbagai cadangan lain juga telah dikemukakan untuk menyambung pembinaan itu tetapi semuanya gagal. Sehingga kini, monumen itu hanya mempunyai 12 tiang daripada pembinaan asalnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)