Dalam industri muzik, ada kalanya penggiat seni yang sudah ada nama memilih untuk mempersembahkan semula karya pengkarya lain, sebagai satu tanda penghormatan besar.

Apa yang unik, akhirnya versi yang dinyanyikan semula ini atau 'cover version' mula mendapat tempat di hati peminat, sehinggakan orang ramai tidak menyedari bahawa lagu kegemaran mereka sebenarnya lagu cover.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Versi 'cover' yang lebih popular akhirnya lebih sinonim dengan nama yang melakukan persembahan semula, menenggelamkan artis lain walaupun penyanyi sebenarnya juga adalah gergasi industri hiburan.

1. Whitney Houston - 'I Will Always Love You' 

whitney houston lagu cover

Mendiang Whitney Houston merupakan antara salah satu nama besar penyanyi wanita yang popular dan tidak ada lagu lain yang cukup mirip dengan karier beliau, melainkan lagu 'I Will Always Love You.'

Diambil daripada runut filem 'The Bodyguard', lagu balada itu meletup menduduki takhta carta lagu Billboard selama 14 minggu serta memberikan Houston anugerah persembahan vokal terbaik anugerah Grammy tahun 1994.

Berbeza dengan versi Houston, lagu asalnya yang dinyanyikan oleh penyanyi legenda muzik country Dolly Parton, mempunyai melodi asal yang berbeza genrenya serta komposisi dan vokal yang ringkas.

Parton sebagai komposer asal lagu tersebut mendapat durian runtuh hasil kejayaan versi Houston, dikatakan menerima bayaran royalti sekitar $10 juta selepas karyanya diterjemahkan semula.

2. The Beatles - 'Twist and Shout'

the beatles lagu vover

Salah satu lagu popular kumpulan legenda The Beatles 'Twist and Shout', merupakan pinjaman daripada dua buah lagu yang berubah. 

Versi sebenarnya adalah rakaman sebuah kumpulan duo bernama The Top Notes hasil ciptaan dua komposer iaitu Phil Medley dan Bert Berns. Bagaimanapun, rakaman versi ini kurang digemari kedua-duanya disebabkan oleh visi lagu yang terakam tidak sama dengan apa yang mereka bayangkan.

Semasa bekerjasama dengan kumpulan bernama The Isley Brothers, Bert Berns yang bertindak sebagai komposer mengubahsuai kembali lagu ini mengikut kehendaknya. 'Twist and Shout' meletup dalam carta menjadi lagu pertama kumpulan tersebut layak duduk dalam kedudukan 20 teratas.

Versi mega-popular yang dimainkan The Beatles diambil daripada versi The Isley Brothers, menjadi satu-satunya lagu 'cover' dendangan The Beatles yang terjual lebih 1 juta unit.

3. Sinead O'Connor 'Nothing Compares 2U'

sinead oconnor

Ketika era kegemilangan karier beliau, Sinead O'Connor merupakan antara vokalis wanita popular di dunia dan lagu yang memacu perjalanan karier beliau, 'Nothing Compares 2U' menjadi siulan ramai.

Sebuah lagu pop yang kedengaran dramatik dari segi susunan lagunya, lagu popular itu jauh berbeza berbanding versi asalnya yang digarap vokalis gergasi Prince. Bernada lebih keras serta menerapkan genre muzik rock, komposisi asal Prince dirakamkan kali pertama pada tahun 1984 tetapi tidak diterbitkan.

Prince kemudiannya merakamkan kembali lagu ini bersama kugiran projek beliau The Family, mengadunkan bermacam elemen muzik berbeza ke dalam versi tahun 1985. Bagaimanapun, fokus tidak banyak diberikan Prince kepada ciptaannya, selepas Prince sendiri tidak memainkan lagu ini dalam persembahan.

O'Connor merakamkan semula lagu mengubah tona lagunya agar lebih ringkas, menjulang nama O'Connor dalam industri hiburan antarabangsa. Versi asal Prince yang direkodkan pada tahun 1984 selamat dilancarkan pada tahun 2018, dua tahun selepas kematian beliau.

4. Santana 'Black Magic Woman'

members santana carlos david brown woodstock music aug 16 1969

Jika anda lakukan carian frasa 'Black Magic Woman' di internet, hasil carian pertama yang akan anda temui adalah pautan kepada lagu kumpulan Santana. Ini kerana lagu tersebut cukup mirip dengan karier kumpulan tersebut.

Petikan gitar Carlos Santana yang menghiasi keseluruhan durasi lagu tersebut cukup memukau selain gabungan muzik unik yang digarap penuh eksperimentasi, membantu dunia mengenali kumpulan tersebut serta merancakkan jualan album kedua mereka.

Versi asal lagu tersebut pula merupakan dendangan kugiran legenda Britain, Fleetwood Mac hasil ciptaan vokalis dan pemain gitar kumpulan itu Peter Green.

Berbeza dengan versi Santana, versi asal yang dirakamkan pada tahun 1968 itu lebih ringkas, meletakkan gitar Green menjadi satu-satunya penggerak utama melodi lagu tersebut.

5. Nirvana 'The Man Who Sold The World'

nirvana mtv unplugged

Ramai yang sebelum itu tidak meminati rock, mula mengenali kumpulan Nirvana selepas rakaman persembahan mereka semasa pertunjukan 'MTV Unplugged' dengan lagu 'The Man Who Sold The World' yang diterbitkan sebagai 'single' utama menjadi puncanya. 

Fenomena lagu ini memang memberikan impak besar kepada industri muzik ekoran kematian mendiang Kurt Cobain beberapa bulan sebelum terbitan album tersebut,  menjadikan lagu popular ini sangat sinonim dengan Nirvana.

Sehinggakan tidak ramai menyedari lagu ini sebenarnya merupakan ciptaan dan dendangan asal vokalis terkenal David Bowie. Bowie sendiri menceritakan dia sendiri telah beberapa kali dipuji kerana mahu memainkan 'lagu Nirvana' dalam persembahannya.

Berbeza dengan versi Bowie yang lebih kompleks, versi 'The Man Who Sold The World' oleh Nirvana kedengaran lebih ringkas ekoran nyanyian bersahaja Cobain, menukarkan lagu yang agak aneh serta lebih besar skop wataknya menjadi lagu 'rock perlahan' yang cukup enak bermain di telinga.




Hakcipta iluminasi.com (2017)