Di Pahang, terdapat beberapa tempat pelancongan kawasan tanah tinggi popular antaranya Cameron Highland dan Genting Higland. Cameron Highland menjadi destinasi percutian bagi yang mahukan ketenangan dan melihat secara dekat penanaman teh dan strawberi serta membeli sayur-sayuran segar. Sementara itu, Genting Highland pula menjadi pilihan bagi yang mahu membeli-belah ataupun mahukan hiburan.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa terdapat 2 lagi lokasi percutian tanah tinggi yang menarik iaitu Bukit Fraser, Bukit Tinggi dan Janda Baik. Baiklah, kali ini kami ingin berkongsi sedikit mengenai kawasan Janda Baik ini yang menjadi pilihan bagi mereka yang mahu bercuti hujung minggu dan tidak mahu memandu terlalu jauh dari KL dan Selangor.
Bagi yang tidak pernah sampai ke sini, kampung ini terletak 800 m dari aras laut dan dianggarkan mempunyai penduduk sekitar 2,820 orang pada tahun 2019. Nama kawasan sememangnya menarik perhatian ramai kerana perkataan "Janda" pada nama tempat ini. Seperti yang kita tahu, perkataan "janda" boleh diistilahkan sebagai wanita yang sudah berpisah dengan suaminya, sama ada berpisah hidup ataupun mati.
Apakah sejarah di sebalik nama Janda Baik ini? Adakah nama ini diberikan kepada tempat ini kerana benar-benar terdapat janda yang baik di kawasan kampung ini suatu ketika dahulu?
Kepelbagaian versi kisah asal-usul
Sepertimana sejarah atau kisah dahulu yang ditUrunkan dari generasi ke generasi berikutnya secara oral, maka kisah asal-usul nama Kampung Janda Baik juga tidak terkecuali mempunyai beberapa versi kisah sejarah yang mungkin benar ataupun hanya cakap-cakap masyarakat setempat sahaja.
Ada mitos yang mengatakan bahawa tempat ini mendapat namanya kerana satu ketika dahulu kampung ini menjadi pilihan bagi ramai wanita yang kehilangan suami mereka yang terkorban dalam perang saudara di Selangor satu ketika dahulu.
Lebih menarik, wanita-wanita ini atau lebih tepat janda-janda ini dikatakan mempunyai peribadi yang baik dan gemar membantu masyarakat setempat dan wanita lain yang senasib dengan mereka. Adakah kisah ini benar dan tepat? Wallahu'alam.
Namun, kisah yang paling menarik mengenai asal-usul nama tempat atau kampung ini mungkin boleh diambil daripada kisah yang diceritakan oleh Tn. Hj. Zahari bin Arop, Ketua Kampung Janda Baik sendiri yang usianya sudah melebihi 70 tahun. Malah, beliau juga mungkin hidup sezaman dengan generasi awal yang membuka penempatan ini dahulu.
Sebelum Janda Baik ditubuhkan pada tahun 1930, kawasan ini didiami oleh golongan Orang Asli. Perkampungan ini didirikan setelah beberapa penduduk berpindah dari Bentong ke kawasan ini yang mempunyai altitud yang lebih tinggi kerana banjir pada tahun 1926 yang menenggelamkan Bentong dan kawasan rendah yang lain di Semenanjung Malaysia.
3 orang pengasas awal kampung ini adalah Haji Deris, Haji Kadir and Haji Yasir. Apabila tiba di sini, mereka membina pondok dan tinggal di pondok tersebut selama seminggu bagi memastikan kawasan ini terselamat daripada kejadian banjir. Setelah seminggu, barulah mereka membina penempatan kekal di kampung ini dan membawa masuk saudara-mara mereka ke sini.
Pada awalnya, kampung ini pernah diberikan nama Kampung Tiga Haji sempena nama 3 orang Haji yang membina penempatan disini. Tidak lama kemudian, Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang ketika itu telah membuat lawatan pertama ke kampung ini pada tahun 1932.
Diceritakan juga bahawa satu ketika dahulu pernah terjadinya pertengkaran antara ketua Orang Asli Tok Batin Wok dan isterinya Siah menyebabkan kedua-duanya berpisah selama sebulan sebelum mereka berdamai kembali.
Empat minggu kemudian setelah perdamaian mereka, pegawai daerah Bentong Henry Peacock mencadangkan agar nama kampung ini diganti menjadi Janda Baik, kerana "janda" dalam bahasa Melayu merujuk kepada wanita yang bercerai dan "baik" merujuk kepada hubungan antara ketua Orang Asli Tok Batin Wok dan isterinya Siah yang bertambah baik sejak mereka bersatu semula.
Daripada kisah Tok Batin Wok dan isterinya Siah ini, kampung ini secara rasmi dinamakan semula menjadi Janda Baik pada 19 September 1936. Baginda Sultan Abu Bakar yang tertarik dengan kisah yang disampaikan ini kemudian menukar nama kampung ini kepada Janda Baik, sekali gus kekal sehingga kini
Di kampung ini dahulu, terdapat sebuah pulau bernama Pulau Santap yang terletak di tengah-tengah sungai besar yang melaluinya. Ia digunakan oleh Sultan Pahang sebagai tempat berehat dan bersantap. Malangnya, pulau tidak lagi wujud kerana sudah terhakis akibat pembangunan di kawasan ini.
Peningkatan populariti Janda Baik
Pada masa kini, Janda Baik terkenal sebagai tempat percutian singkat pada hujung minggu dengan kewujudan banyak chalet penginapan dan rumah inap. Lokasi ini menjadi pilihan kerana lokasinya tidak jauh dari KL dan cuaca yang sejuk, menjadikannya tempat percutian menarik untuk mandi air terjun, berkelah, barbeku, trekking, bermain ATV, berbasikal dan sebagainya.
Namun, tahukah anda bagaimana kampung ini tiba-tiba popular?
Janda Baik mula menjadi terkenal dan diperkatakan di dada-dada akhbar setelah Allahyarham Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie, mantan Menteri Luar Negeri Malaysia, terselamat dalam nahas udara pesawat Cessna 206 pada 11 Januari 1982 kawasan pergunungan Kampong Som Som Hilir berhampiran di Janda Baik.
Beliau ketika itu dalam perjalanan ke Kuala Lipis untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa bahagian UMNO. Kerajaan Malaysia ketika itu khuatir seorang Menteri Kerajaan Persekutuan mungkin telah ditangkap oleh gerila komunis. Beliau bernasib baik terselamat dengan kecederaan ringan sementara pembantu juruterbang (Vergis Chacko) dan pengawalnya (Charon Daan) terbunuh dalam nahas itu.
Disebabkan bandar Kuala Lumpur menjadi semakin sesak, pernah cadangan dibuat untuk membina pusat pentadbiran baru yang dikenali sebagai Putrajaya di mana bangunan dan pejabat pentadbiran akan dipindahkan. Pada tahun 1990, kerajaan ketika menyenaraikan enam kemungkinan tempat untuk membina Putrajaya, salah satunya adalah di Janda Baik.
Ketika berita itu tersebar, ramailah orang kaya membeli tanah disini dengan niat untuk mendapatkan duit pampasan berkali-kali ganda daripada kerajaan. Namun, kerajaan akhirnya memutuskan untuk membinanya di Perang Besar, Selangor tempat Putrajaya kini.
Kredit: