Walaupun ada segelintir individu masih kuat mempertahankan pendapat mereka bahawa bumi berbentuk ibarat permukaan rata - bagi majoriti antara kita, kita berpegang bahawa bumi itu bulat.

Oleh kerana bentuknya yang bulat, sebenarnya tidak wujud sebarang titik tengah tetap yang layak kita katakan sebagai 'pusat bumi' sekiranya kita cuba melukis peta dunia. Pengaruh pendidikan barat dalam melakar peta dunia mengakibatkan kita terbiasa dengan peta dunia yang dilukis daripada perspektif mereka, membuatkan kita menerima konsep peta dunia perlu dibuat dalam versi yang dikenali sebagai projeksi Mercator.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Realitinya, terdapat banyak lagi versi peta dunia yang mencabar kedudukan ini kerana bumi ini bulat - jadi di mana-mana pun boleh dianggap titik tengahnya.

1. Peta terawal berorientasikan China

kunyu wanguo quantu

Sekitar abad ke 16, Maharaja Wanli daripada Dinasti Ming mengarahkan seorang mubaligh Kristian bernama Matteo Ricci bersama beberapa orang pegawai kerajaan ketika itu melakar peta dunia, berdasarkan kepada usaha ahli-ahli kartografi barat tetapi bezanya - China diletakkan sebagai pusat dunia.

Peta yang dikenali sebagai Kunyu Wanguo Quantu dihasilkan oleh Ricci, Ketua Mubaligh Kristian dari Itali yang pada ketika itu terkenal sebagai seorang ahli matematik dan juga kartografi dikeluarkan dua kali, pada tahun 1584 dan juga versi yang telah ditambah baik pada tahun 1602.

peta dunia china sentrik

'Kunyu Wanguo Quantu' atau 'Peta 10,000 Negara Dunia' merupakan peta dari China paling tua, meletakkan China berada pada kedudukan tengah seiring dengan pendapat mereka bahawa China adalah 'Negara Pertengahan' atau Zhongguo.

Hanya 6 salinan asal peta ini tinggal, satu disimpan di Bandar Vatican, 3 salinan di Jepun, satu salinan milik peribadi seorang pengumpul di Paris dan satu lagi di James Ford Bell Library di Minnesota, Amerika Syarikat.

2. Peta yang meletakkan kawasan Asia di tengah

peta dunia asia pasifik tengah

Sekiranya 'Kunyu Wanguo Quantu' merupakan versi lama peta dunia yang meletakkan China di tengah-tengah, idea sama peta dunia mirip dengannya terus wujud dalam versi yang dinamakan 'peta dunia Pasifik'; merujuk kepada Lautan Pasifik.

Tanpa mengambil kira garisan meridian yang digunakan sebagai titik tengah bumi dalam melukis peta, peta berorientasikan Lautan Pasifik ini meletakkan kawasan Asia sebagai kawasan tengah bumi dan kawasan Eropah di bahagian sisi.

Jika dibandingkan kaedah lakaran yang digunakan oleh projeksi Mercato dengan kaedah berfokuskan kepada lautan Pasifik, nampak tidak banyak gangguan wujud pada pembahagian dan pemotongan kawasan-kawasan tanah di bahagian peta.

Oleh kerana itulah ada negara seperti Australia dan Jepun yang mengiktiraf penggunaan peta ini secara rasmi.

3. Peta dunia berorientasikan benua Amerika

peta dunia benua amerika sentrik

Sekiranya peta Pasifik berjaya melakukan pembahagian bumi dengan baik, peta yang menjadikan benua Amerika sebagai titik tengah gagal sekali dalam menggambarkan rupa bentuk muka bumi dengan baik.

Lihat sahaja peta di atas dan bagaimana kawasan Asia dibelah kepada dua, hanya untuk membolehkan benua Amerika menjadi fokus. Walaupun begitu, banyak pihak yakin peta ini hanya dihasilkan sebagai bahan lawak - untuk mengutuk Amerika Syarikat yang sering meletakkan diri mereka sebagai 'abang besar dunia.'

Namun masalahnya ekoran daripada penyebaran peta ini secara meluas, memang ada segelintir individu serta organisasi di Amerika Syarikat yang menggunakan peta ini tanpa mempedulikan Asia yang telah dipotong dua.

4. Peta dunia versi Azimuthal

peta dunia al biruni

Kita sudah biasa dengan peta dunia yang dilakar berdasarkan pandangan dari sisi. Bagaimana pula sekiranya bumi 'diratakan' dalam bentuk peta dari sudut atas?

Dipopularkan oleh cendekiawan Islam, Abu Raihan al-Biruni yang berasal dari Parsi sekitar awal abad ke 11 - beliau yang terkenal ketika zamannya sebagai seorang pakar astronomi, peta yang dibuat beliau dikenali sebagai projeksi Azimuth.

Walaupun kurang diambil kira semasa pengenalannya, projeksi yang dilakukan beliau mula ditambah baik disebabkan oleh ketepatannya dalam mengukur jarak dari pusat bumi yang dipilih - membolehkan lakaran yang dibuat mempunyai kadar ralat yang lebih rendah berikutan bentuknya yang mirip sebuah 'kubah' yang diratakan.

logo pertubuhan bangsa bersatu pbb azimuthal world mapo

Anda sedar tak, selama ini logo Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggunakan peta dunia jenis Azimuthal? Mesti ramai tak perasan peta dunia pada logo tersebut berbeza berbanding peta yang biasa kita lihat.

5. Peta dunia yang terbalik

peta dunia selatan atas

Salah satu peta yang paling kuat mencabar konsep berkenaan bentuk bumi yang bulat, seterusnya membolehkan kita mentafsir kawasan geografi dari perspektif mana sekalipun kita berada - adalah peta yang dikenali sebagai 'South-up' atau 'Atas Selatan'.

Peta dunia ini memaparkan keseluruhan geografi bumi dalam bentuk terbalik. Bagaimanapun realitinya yang harus kita sedar - setiap lokasi di muka bumi ini sebenarnya boleh dilihat dari pelbagai perspektif berbeza.

Hanya kerana kita terbiasa dengan konsep peta di mana 'utara itu ke atas, selatan itu ke bawah', kita akan merasa aneh melihat peta yang melanggar konsep itu.

peta dunia al idrissi

Peta paling lengkap diketahui membawa konsep ini pada mulanya adalah hasil lakaran Abu Abdullah Muhammad al-Idrisi, seorang ahli kartografi Arab yang melakarkan peta dunia secara 'terbalik' direkodkan dalam koleksi yang dinamakan Tabula Rogeriana pada tahun 1154.

Sebelum beliau, telah wujud beberapa versi peta berbeza sejak abad ke 9 hasil kajian ahli kartografi Arab yang membawa konsep serupa disebabkan oleh kepentingan kedudukan kota Mekah kepada masyarakat Islam zaman tersebut. Mekah dipilih sebagai titik tengah lakaran peta dunia ketika itu oleh ahli-ahli kartografi Muslim.


Selepas penciptaan kompas yang membolehkan kita mengetahui arah utara serta pemahaman kita berkenaan paksi bumi semakin berkembang, masyarakat dunia mula membiasakan diri dengan lakaran peta yang dapat kita lihat sekarang.

Projeksi Mercator menjadi standard utama bentuk peta dunia, bermula pada abad ke 16, dianggap kaedah paling mudah difahami dalam melukis bentuk muka bumi walaupun kritikan terhadap kadar ralatnya yang besar terus kedengaran.




Hakcipta iluminasi.com (2017)