Pengaruh bahasa Inggeris sebagai lingua franca masyarakat antarabangsa, mengakibatkan banyak istilah dalam bahasa tersebut dipinjam ke dalam bahasa lain; khasnya bahasa kita.
Apatah lagi apabila melibatkan penggunaan nama-nama negara, di mana kita sudah biasa menggunakan istilah yang sebenarnya istilah terjemahan bahasa Inggeris.
Tanpa kita sedari wujud istilah asal nama sesuatu negara yang jarang sekali kita gunakan, disebabkan kebergantungan kita terhadap terjemahan Inggeris. Bolehkah anda sebutkan negara yang kami rujuk, hanya berdasarkan nama rasmi negara itu?
BESARKAN TEKS A- A+
1. Shqiperi/Shqiperia
Aha! Bolehkah anda sebutkan apakah nama negara yang kami maksudkan di atas? Kami berikan petunjuk sedikit - makna 'shqiperia' adalah burung helang dan bendera negara ini memaparkan helang berkepala dua, berlatar belakang warna merah.
'Shqiperi/Shqiperia' adalah nama sebenar negara Albania yang bermaksud 'tanah burung helang' dalam bahasa orang Shqiptar.
2. Hayastan/Hajastan
Nama sebenar negara Armenia dalam bahasa Armenia adalah 'Hayastan' atau 'Hajastan', sekiranya dirumikan tulisannya.
Pada awalnya masyarakat mereka menamakan diri mereka Hayk sebelum populariti penggunaan istilah 'stan' bagi melambangkan kedudukan sesuatu kaum, membentuk istilah 'Hayastan' yang masih diguna pakai sekarang.
Nama 'Hayk' diambil daripada legenda seorang pemimpin masyarakat mereka bernama Hayk Nahapet, yang dipercayai menjadi pengasas terawal masyarakat mereka.
3. Osterreich
Bagi negara Austria (jangan terkeliru dengan Australia pula ya!), nama sebenar republik itu dalam bahasa asal mereka adalah Osterreich.
'Osterreich' adalah istilah pinjaman dari bahasa Jerman Kuno 'ostarrichi' yang membawa makna 'kawasan di sebelah timur.' Istilah 'Austria' pula wujud ekoran usaha untuk mengubah nama tersebut ke bahasa Latin.
Terjemahannya ke dalam bahasa Latin membentuk perkataan 'Austria', namun nama rasmi Austria masih kekal sebagai 'Republik Österreich'.
4. Druk Yul
Walaupun kita mengenali Bhutan dengan nama Bhutan, di kalangan masyarakat tempatan nama 'Druk yul' akan disebut sebagai nama rasmi negara mereka.
'Druk yul' merupakan istilah bahasa Dzongkha, bahasa rasmi Bhutan yang membawa makna 'tanah kepada Naga Guruh' atau 'tanah Druk.'
Elemen naga ini turut sama digunakan dalam menamakan pemerintah tertinggi negara mereka, yang akan menggunakan gelaran 'Druk Gyalpo' atau 'Raja Naga Guruh.'
5. Zhongguo
Kita biasa menggunakan istilah 'China' bagi merujuk kepada negara China, namun di kalangan masyarakat mereka - mereka lebih gemar menggunakan nama 'Zhongguo' yang mempunyai makna besar buat mereka.
'Zhongguo' membawa makna 'kerajaan negara tengah' yang lebih mirip dengan impian masyarakat China mahu dilihat sebagai kuasa dunia, dijulang sebagai pusat aktiviti masyarakat antarabangsa.
Kami sudah mengulas panjang berkenaan visi ini yang lebih dikenali sebagai 'tianxia' dalam masyarakat mereka.
6. Hrvatska
Disebut sebagai 'herr-vat-ska', Hrvatska merupakan nama sebenar Croatia diambil daripada nama etnik asal disitu iaitu orang Horvat.
Istilah 'Croatia' pula hadir daripada evolusi perubahan sistem tulisan dan ejaan istilah Hrvatska, apabila penggunaan huruf H mula digantikan dengan huruf K yang menyebabkan orang luar menyebutnya sebagai 'Krvatska' sebelum ejaannya dipermudahkan lagi menjadi 'Krovatia'.
7. Suomi
Diantara kebanyakan negara dalam senarai ini, besar kemungkinan inilah nama negara paling aneh kedengaran. 'Suomi' adalah nama rasmi Finland dalam bahasa tempatan.
Kedua-dua istilah baik 'Suomi' ataupun 'Finland' mempunyai sejarah panjang yang sukar untuk dikenalpasti dari manakah asal-usulnya.
Apa yang kita tahu, 'suomi' boleh merujuk kepada istilah yang diambil daripada nama etnik Suomalainen bagi merujuk tanah tempat tinggal mereka, yang kini dikenali sebagai etnik Sami ataupun istilah lama 'suo ma' yang merujuk kepada kawasan paya.
Sementara 'Finland' pula datang daripada istilah 'finnia' merujuk kepada kawasan berpaya di situ.
Oleh kerana ketiadaan bukti jelas, kedua-dua istilah diterima pakai namun penduduk tempatan lebih gemar merujuk negara mereka sebagai Suomi berbanding Finland.
8. Sakartvelo
Negara apa pula ni? 'Sakartvelo' adalah nama sebenar negara Georgia dalam bahasa Kartveli, salah satu bahasa rasmi negara mereka.
Satu ketika dulu, pusat pemerintahan orang Kartveli dikenali dengan nama Kartli jadi masyarakat mereka menamakan tanah yang diduduki orang Kartveli sebagai 'sa (tanah kepada) kartvelo (orang Kartli).
Oleh kerana wujud beberapa bahasa berbeza di kalangan orang Georgia sendiri, selain Sakartvelo yang menjadi nama rasmi Georgia - penduduk tempatan turut menamakan negara mereka sama ada sebagai Okurtura atau Sakurtuo, bergantung kepada dialek.
9. Crna Gora
Kita biasa mendengar nama negara Montenegro, tetapi sedarkah anda nama tersebut membawa makna 'gunung hitam'? Dalam bahasa tempatan, Montenegro ditulis sebagai 'Crna Gora' yang membawa makna sama.
Dalam bahasa Montenegrin, 'crna' membawa maksud 'hitam' sementara 'gora' pula merujuk kepada gunung. Gunung yang dimaksudkan dalam kedua-dua istilah ini adalah Gunung Lovcen, yang kini menjadi sebahagian daripada taman negara mereka.
10. Choson dan Hanguk
Tahukah anda apakah negara yang kami sebutkan di atas? Kedua-duanya merujuk kepada dua negara berjiran iaitu Korea Utara (Choson) dan Korea Selatan (Hanguk) menurut nama tempatan mereka.
Cara ejaannya mempunyai beberapa varian, dengan Choson boleh juga ditulis sebagai Joson, Joseon atau Chosun. Sementara Hanguk boleh ditulis sebagai 'Han-guk', 'Hankuk' atau 'Hankook.'
Nama rasmi Korea Utara adalah Chosŏn Minjujuŭi Inmin Konghwaguk. Sementara nama rasmi Korea Selatan pula adalah Daehan Minguk dengan 'Han' yang digunakan, merujuk kepada nama etnik yang membentuk majoriti populasi negara itu.
Pernahkah anda terfikir kenapa jenama tayar terkenal Korea Selatan dinamakan 'Hankook'?
Kini anda dah tahu kenapa.