Walaupun kita biasa melihat peta dunia dalam bentuk visual, realitinya sehingga kini tidak ada lagi peta dunia yang benar-benar tepat menggambarkan saiz sebenar geografi bumi kita - kerana bentuk bumi yang berbentuk geosfera menyukarkan ahli geografi dan kartografi 'meratakan' permukaan bumi dalam bentuk dua dimensi.
Pada bulan Ogos 2018, dilaporkan telah wujud satu kaedah baru lukisan peta dunia yang dikatakan paling tepat setakat ini dalam sejarah kajian geografi dunia serta lebih mirip kepada skala sebenar keluasan tanah di bumi. Peta baru ini dikatakan lebih baik berbanding kesemua peta yang kita gunakan sehingga kini, yang majoritinya berasaskan kepada peta lukisan ahli kartografer Gerardus Mercator pada tahun 1569.
BESARKAN TEKS A- A+
Peta projeksi bumi baru ini dinamakan sebagai 'The Equal Earth Projection map' hasil penyelidikan tiga orang ahli kartografer dan ahli geografi bernama Tom Patterson, Bojan Savric dan Bernhard Jenny, dari Monash University, Australia.
Kelemahan peta dunia sekarang
Walaupun peta Mercator berjaya menggambarkan dengan baik sudut serta bentuk muka bumi secara kasar, peta tersebut gagal untuk menampakkan saiz dan skala yang betul dengan perkiraan sebenar. Isu yang seringkali timbul apabila menggunakan peta Mercator yang menjadi de facto standard peta dunia, adalah ralat yang digelarkan sebagai 'The Greenland Problem'.
Ralat ini menjadikan benua-benua yang jauh daripada ekuator bumi seperti Afrika kelihatan lebih kecil berbanding saiz sebenarnya. Sedangkan realitinya, Afrika adalah sebuah benua yang lebih besar jika dibanding dengan saiz yang dapat kita lihat dalam peta dunia yang biasa kita kenali.
Selain itu, peta Mercator juga dikritik sesetengah penyelidik kerana berlakunya ketidakseimbangan bias disebabkan latar belakang Mercator sendiri sebagai seorang berbangsa Eropah. Besar kemungkinan semasa melakar petanya, Mercator dengan sengaja menampakkan Eropah lebih besar berbanding benua-benua lain untuk menunjukkan kekuasaan dan keagungan bangsa beliau.
Projeksi Gall-Peters sebagai opsyen
Bagi menyelesaikan masalah ini, tidak lama dahulu ada pihak mencadangkan agar peta dunia hasil projeksi Gall-Peters yang diperkenalkan pada tahun 1885 dijadikan de facto standard peta dunia. Walaupun peta dunia Gall-Peters mendapat sokongan UNESCO serta diperkenalkan standard dalam pendidikan di United Kingdom serta beberapa negeri di Amerika Syarikat, peta ini nyata mempunyai kelemahan ketara.
Peta dunia Gall-Peters dipuji kerana berjaya memaparkan skala muka bumi dalam saiz yang tepat, namun perubahan atau ralat pada bentuk muka bumi pula menjadi isu. Dalam projeksi peta Gall-Peters, bentuk-bentuk muka buminya menjadi kurang tepat, seperti sedikit lonjong dan tertarik ekoran daripada perubahan yang perlu dilakukan dalam usaha untuk mendapatkan skala sebenar setiap benua yang berada di atas muka bumi.
Projeksi Equal Earth bakal jadi peta dunia baru?
Pada awalnya pasukan penyelidik memilih untuk menggunakan peta dunia berasaskan kepada penyelidikan Arthur H. Robinson pada tahun 1963 yang dinamakan 'peta dunia projeksi Robinson'. Projeksi perta ini diiktiraf oleh National Geographic Society sebagai projeksi peta rasmi untuk kegunaan mereka pada tahun 1988.
Peta Robinson menggabungkan kaedah perkiraan peta Mercator yang menjadi standard peta dunia serta elemen perkiraan Gall-Peters, menjadikan peta Robinson sebagai peta paling mirip dengan rupa asal bumi dengan beberapa kelemahan.
Walaupun begitu, Patterson, Savric dan Jenny memilih untuk melakukan perkiraan sendiri dari kosong tanpa mengambil kira projeksi-projeksi peta dunia yang telah wujud.
Ini membolehkan mereka mendapatkan perkiraan yang berjaya menampakkan saiz keluasan bentuk muka bumi sebenar serta memaparkan bentuk asal geografi bumi seperti dunia nyata, menyelesaikan masalah kaedah melakar peta bumi yang telah kita guna pakai sekian lama beratus tahun lamanya.
Setakat ini sambutan daripada pihak penyelidik serta ahli geografi amat memberangsangkan dan ramai pihak setuju, The Equal Earth Projection merupakan cara pemetaan bumi paling hampir dengan realiti sebenar bumi daripada segi skala dan juga bentuk.
Cuba anda bandingkan bentuk muka bumi Malaysia dalam The Equal Earth dengan apa yang kita sudah biasa lihat dalam peta dunia, agak ketara kan perbezaan bentuk sebenar muka bumi negara kita? Adakah projeksi yang dikeluarkan ini bakal menggantikan peta dunia yang telah kita kenali sekian lama? Kita tunggu dan lihatlah sama ada akan berlaku perubahan pada peta dunia dalam buku teks geografi anak-anak kita di masa akan datang.
Rujukan