Naomi Wu : Pakar teknologi dari Shenzhen
Dahulu, Shenzhen hanya dikenali sebagai sebuah perkampungan nelayan di luar bandar. Namun, dalam masa beberapa dekad sahaja bandar tersebut telah berubah menjadi sebuah hab teknologi tersohor di China.
Transformasi Shenzhen sepanjang tempoh ini merupakan perkembangan bandar paling pesat dalam sejarah ketamadunan manusia. Inilah kisah Shenzhen di mana pengeluaran barang tiruan secara besar-besaran membawa kepada kreativiti dan inovasi.
BESARKAN TEKS A- A+
Shenzen yang asalnya tidak sepopular Hong Kong
Bandar di selatan China itu terletak betul-betul bersebelahan dengan Hong Kong. Walaupun tidak begitu terkenal seperti jirannya tetapi semua itu mungkin akan berubah tidak lama lagi.
35 tahun yang lalu, Shenzhen merupakan sebuah perkampungan nelayan kecil yang didiami kira-kira 300,000 orang penduduk. Seperti kebanyakan bandar dan daerah lain di China, Shenzhen merupakan sebuah kawasan yang sentiasa di bawah kategori miskin tegar yang berpanjangan.
Walau bagaimanapun, segalanya berubah pada tahun 1980 apabila pemimpin China pada masa itu iaitu Deng Xiaoping mengisytiharkan bahawa bandar Shenzhen sebagai "Zon Ekonomi Khas" yang pertama negara itu.
"Zon Khas" ini menjadi ujian pertama China untuk beralih ke arah kapitalisme. Keputusan ini jugalah yang mengubah perkampungan nelayan Shenzhen menjadi sebuah bandar mega. Kesannya amat mengagumkan. Antara tahun 1980 hingga 2005, Shenzhen berkembang lebih cepat berbanding bandar-bandar lain dalam sejarah ketamadunan manusia.
Kampung nelayan itu yang pada asalnya hanya bersaiz 1.2 batu persegi telah berkembang kepada 780 batu persegi. Bahkan, penduduk bandar mega Shenzhen juga telah meningkat daripada 300,000 kepada lebih 12 juta orang pada hari ini.
Di sebalik kemajuan dan perkembangan ekonomi yang menyumbang kepada transformasi ketara bandar itu, Shenzhen juga terkenal dengan budaya peniru atau lebih dikenali penduduk tempatan sebagai 'shanzhai'.
Shenzhen sebagai kilang kaki tiru terbesar dunia
Dalam istilah Kantonis, 'shanzhai' diterjemahkan kepada "kubu gunung". Namun, rakyat China menggunakan istilah itu untuk merujuk kepada kumpulan yang memonopoli ekonomi di luar kawalan kerajaan terutamanya di dalam pasaran barangan tiruan.
Di China, mereka yang meniru produk berjenama terkenal tidak dianggap sebagai "peniru". Sebaliknya, ia dianggap sebagai satu kemahiran apabila dapat meniru dengan tepat sesuatu produk asli. Ia juga dianggap sebagai salah satu seni kraf di sana.
Menjelang tahun 1983, permintaan global untuk komputer peribadi meningkat dan syarikat teknologi mula memindahkan kilang pembuatan mereka ke Shenzhen berikutan kos pengeluaran dan buruh yang lebih murah. Antaranya ialah syarikat elektronik Taiwan iaitu Foxconn yang menghasilkan produk Apple yang terkenal.
Apabila pekerja di kilang-kilang besar ini berhenti kerja, mereka akan terus mencipta barangan tiruan yang hampir serupa atau 'produk shanzhai' dan menjualnya pada harga yang jauh lebih rendah.
Bekas pekerja kilang di Shenzhen adalah antara yang paling mahir serta pantas mencipta dan menjual produk salinan jenama besar. Bahkan, mereka kadangkala akan membuat inovasi berbanding produk asal.
Golongan pekerja ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan teknologi Shenzhen tetapi turut menjadi pesaing kepada beberapa jenama besar dalam pasaran teknologi.
Produk, perkakasan dan inovasi baru setiap hari
Walaupun Shenzhen dikaitkan dengan 'shanzhai' tetapi tiada yang lebih terkenal dengan budaya barangan tiruan berbanding kawasan beli-belah terkenal di Huaqiangbei di bandar mega itu. Kawasan yang dipenuhi kedai teknologi sepanjang satu kilometer itu adalah pusat kepada inovasi tiruan di sana.
Huaqiangbei
Di Huaqiangbei, produk baharu dicipta setiap hari di sana. Golongan 'shanzhai' di sana sentiasa meniru produk baharu di pasaran dan mencari cara untuk menambah baik produk tersebut agar dapat mencipta teknologi baharu sepenuhnya.
Kitaran peniruan dan penambahbaikan ini turut disokong oleh pergerakan ekosistem pembuatan di Shenzhen. Harta intelek tersedia secara umum untuk dipelajari dan diperbaiki oleh orang lain dalam model yang dikenali sebagai "open source" (sumber terbuka) atau "open innovation" (inovasi terbuka).
Dari masa ke masa, Shenzhen dikenali sebagai "The Silicon Valley of Hardware". Pengeluaran pesat dan kepelbagaian alat ganti elektroniknya memberikan dunia dengan barangan teknologi mampu milik.
Shenzhen insaf dan kini sudah berubah
Beberapa tahun yang lalu, kerajaan China telah memutuskan untuk menghapuskan label "Kilang Dunia" yang diberikan kepada Shenzhen. Dalam tempoh lima tahun yang lalu, lebih daripada 17,000 pengeluar tiruan telah ditutup.
Shenzhen
Pelaburan pula telah beralih daripada pembuatan tradisional kepada penyelidikan dan pembangunan dengan harapan ia akan menjadikan Shenzhen sebagai peneraju global dalam inovasi teknologi.
Dengan memperkenalkan budaya "Shanzhai Baru", para pengeluar di Shenzhen lebih tertumpu untuk menghasilkan sesuatu hasil inovasi yang baharu daripada produk asal berbanding menirunya bulat-bulat. Pada tahun 2016, Shenzhen memfailkan lebih banyak paten antarabangsa berbanding Britain dan Perancis.
Dengan mengubah produk asli untuk memenuhi pasaran tempatan, budaya 'shanzhai' membuktikan bahawa ia lebih daripada sekadar budaya meniru. Salah satu contoh yang baik adalah syarikat kereta tempatan iaitu Shenzhen BYD (Build Your Dream). Mereka bermula dengan menghasilkan kereta tiruan Toyota dan kini merupakan syarikat automotif paling berjaya di China.
Shenzhen BYD
Contoh lain pula ialah Xiaomi iaitu pembekal telefon mudah alih terbesar China. Kini mereka mampu menawarkan telefon bimbit berteknologi dan berkualiti tinggi dengan harga 50% lebih murah berbanding telefon jenama lain.
China turut mempunyai rancangan untuk menjadikan Shenzhen sebagai pusat global terpenting bagi inovasi saintifik dan teknologi. Walaupun kedengaran bercita-cita tinggi, namun ia tidak mustahil jika dilihat kepada perkembangan bandar itu yang menjangkaui mana-mana bandar dalam sejarah dunia dalam tempoh 40 tahun.