Tidak semena-mena kita di Malaysia dikejutkan dengan perkongsian tular, yang mendakwa kebanyakan petugas Syarikat Penerbangan Malaysia atau MAS dalam insiden MH370 masih hidup di Pulau Diego Garcia; sebuah pulau yang terletak di Lautan Hindi kira-kira 3,450 km dari negara kita.
Dakwaan yang dibuat hanya berdasarkan kepada perkongsian foto diambil dari laman Facebook 'AFN Diego Garcia' mencetuskan kontroversi, dek usaha keras segelintir rakyat Malaysia menelaah gambar yang ada untuk disamakan dengan wajah-wajah mangsa korban nahas tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Kami tidak mahu membincangkan sebarang bentuk andaian tanpa fakta atau teori konspirasi berkaitan pulau ini yang sering dikaitkan dengan insiden MH370. Kami hanya ingin menerangkan kepada anda dalam artikel ini : kenapa ada sebab wajah 'orang Melayu', mudah ditemui di Pulau Diego Garcia.
Siapa orang asal Pulau Diego Garcia?
Sebelum kita menjawab soalan utama kita, adalah lebih baik kita memahami terlebih dahulu sejarah asal siapa yang mendiami pulau tersebut.
Pulau Diego Garcia adalah sebuah pulau yang mempunyai sejarah yang kontroversi, ekoran daripada campur tangan kerajaan British dan kemudiannya Amerika Syarikat menjalankan program pengusiran orang Chagos, penduduk asal pulau tersebut dari tanah asal mereka.
Program ini berjaya membuatkan pulau tersebut hilang daripada sebarang pengaruh penduduk pribuminya, membolehkan kerajaan British mengemudi hala tuju pulau itu tanpa sebarang tentangan.
Program pengusiran yang dijalankan dalam tiga peringkat bermula tahun 1965, bermula apabila kerajaan British menghalang mana-mana orang Chagos yang telah keluar daripada pulau itu kembali masuk, sebelum disusuli sekatan ke atas kemasukan bekalan barangan keperluan ke pulau itu.
Situasi ini menyebabkan masyarakat pribumi Chagos yang tertinggal berhadapan masalah besar dalam mendapatkan bekalan makanan, terpaksa bergantung dengan sumber alam sepenuhnya.
Selang beberapa tahun selepas itu, kerajaan Amerika Syarikat yang mula menyewa pulau itu dari British memulakan proses pengusiran saki-baki orang Chagos yang masih bertahan. Masyarakat pribumi Chagos dikerah untuk masuk ke dalam kapal, dihantar sama ada ke Mauritius atau Kepulauan Sychelles tanpa dibenarkan kembali.
Menurut British, pulau tersebut memang sejak awalnya tidak mempunyai penduduk tetap dan proses penghantaran keluar orang Chagos perlu dilakukan, kerana kontrak pekerjaan mereka di pulau tersebut telah tamat. Jahat kan penjajah ni?
Populasi Diego Garcia sekarang
Kedudukan Pulau Diego Garcia yang strategik, menjadi idaman British dan Amerika Syarikat kerana Diego Garcia mampu menjadi titik penghubung aktiviti kedua-dua buah kerajaan di bahagian timur bumi daripada perspektif mereka, dengan lebih efektif.
Dengan mewujudkan pengkalan tentera di atas pulau tersebut, Amerika Syarikat dan sekutunya ada kedudukan yang kukuh bukan saja daripada aspek logistik ketenteraan, bahkan Diego Garcia juga sangat sesuai untuk menjadi tapak pentadbiran kempen peperangan sekiranya ia benar terjadi.
Oleh kerana itulah pengkalan Diego Garcia banyak memainkan peranan besar dalam menjadi pusat operasi pencerobohan tentera Amerika Syarikat ke negara seperti Iraq.
Untuk melindungi kepentingan di sana, kerajaan British dengan kerjasama tentera Amerika Syarikat mewujudkan sistem dwi-kuasa yang diamal bagi menjalankan pentadbirannya.
Secara rasmi, Pulau Diego Garcia ditadbir oleh seorang pesuruhjaya dan pegawai gabenor yang berpusat di London, United Kingdom. Perjalanan undang-undang di Diego Garcia dijalankan oleh pasukan Royal Overseas Police Officer di bawah seliaan British. Jabatan imigresen dan kastam juga di bawah kendalian British.
Oleh kerana wujud kedudukan istimewa Amerika Syarikat di sana, kesemua pegawai tentera Amerika Syarikat yang bertugas di pulau itu berikan keistimewaan oleh British, kebal daripada sebarang dakwaan undang-undang jenayah ketika berada di pulau tersebut.
Semua urusan perniagaan dan transaksi pula dibuat menggunakan matawang Dollar Amerika Syarikat.
Walaupun kerjasama di antara British sebagai tuan rumah dan Amerika Syarikat sebagai penyewa tampak erat, hubungan di antara kedua-dua negara apabila topik berkenaan Diego Garcis dibincangkan sebenarnya banyak kerenggangannya - khususnya tentang hala tuju pengkalan milik Amerika Syarikat itu di masa akan datang dan tuntutan Mauritius ke atas pulau itu.
Buat masa sekarang, pengaruh Amerika Syarikat ke atas pulau itu masih kukuh dan kontrak sewaan dengan British sudah dipanjangkan sehingga ke tahun 2036.
Biarpun British menguasai pentadbiran Diego Garcia, populasi Diego Garcia pula dipilih Amerika Syarikat yang menyelia lebih 4,500 orang penduduk sementara, kesemuanya boleh digolongkan ke dalam dua kategori.
Yang pertama adalah individu berstatus tentera sekitar 1,000 orang dan kedua adalah individu berstatus kontraktor sokongan berjumlah 3,500 orang. Di kalangan kontraktor sokongan ini, warga Filipina menjadi komuniti terbesar yang menetap di Diego Garcia sebagai kontraktor.
Ini disebabkan oleh hubungan baik yang telah wujud di antara kerajaan Amerika Syarikat dan Filipina, ekoran daripada hubungan sejarah kedua-dua negara dan perjanjian yang telah mereka meterai.
Komuniti Filipina di Diego Garcia
Bagi menjayakan hasrat itu, sebuah syarikat dilantik bagi menguruskan urusan perlantikan kontraktor.
Ketika ini sebuah syarikat bernama KBR Diego Garcia LLC adalah syarikat yang dilantik, bagi menjalankan pelbagai bentuk khidmat sokongan di pulau tersebut.
Sebuah syarikat usahasama di antara usahawan dari United Kingdom dan Amerika Syarikat, KBR bertanggungjawab menyediakan pekerja mahir yang mampu menguruskan fasiliti dan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pengurusan.
Operasi KBR bukan saja terhad kepada Diego Garcia, sebaliknya turut sama melibatkan lantikan kontraktor di negara seperti Bahrain, Djibouti, UAE, Iraq dan Afghanistan.
KBR gemar menggunakan khidmat warga Filipina atau dalam terma di Filipina 'Overseas Filipinos Worker' (OFW) di mana saja KBR beroperasi, termasuklah di Diego Garcia.
Atas sebab OFW memang menjadi pilihan utama KBR untuk dilantik bekerja, OFW jugalah membentuk komuniti majoriti kontraktor berkhidmat di sana.
Kerja teruk dengan gaji kecil
Kisah berkenaan warga Filipina mencari peluang kerja sehingga dieksploitasi di Diego Garcia, telahpun dilaporkan oleh kumpulan New Internationalist; yang menjalankan siasatan lebih 2 tahun bagi mengenalpasti kondisi sebenar warga Filipina di sana.
Setiap OFW yang hadir biasanya diikat kontrak selama 2 tahun, ditawarkan jawatan sebagai tukang cuci, penjaga gudang atau buruh binaan bergantung kepada kemahiran atau kemampuan.
Bagaimanapun lantikan OFW perlu melalui orang tengah yang bertindak sebagai ejen di Filipina, seperti sebuah syarikat di Filipina bernama Centerra Parsons LLC.
Centerra bertanggungjawab mencari calon dan menyediakan bekalan pekerja dari Filipina untuk dihantar ke Diego Garcia.
Mana-mana individu yang terdesak mencari kerja, mudah bersetuju kerana melihat ada prospek bekerja dengan tentera Amerika Syarikat.
Realitinya, wujud jurang perbezaan yang sangat besar di antara harapan dan realiti.
Lantikan OFW dikawal selia oleh kontraktor seperti Centerra akan menghantar pekerja-pekerja ini untuk bekerja dengan KBR.
Setiap bulan, pendapatan yang mereka terima akan dikenakan potongan bagi membayar upah ejen dan juga potongan wajib atau remittance, yang akan dihantar terus kepada keluarga di Filipina.
Bunyinya macam sedap, tetapi realitinya tidaklah seindah yang kita sangka.
Pendapatan pekerja Filipina di Diego Garcia dikatakan rendah, tanpa ada pihak mahu mengubah nasib mereka. Majoriti OFW di Diego Garcia mempunyai purata pendapatan sekitar USD400 (RM1750) ke USD500 (RM2250) dengan jadual kerja 9 jam sehari, 6 hari seminggu atau kira-kira USD2 satu jam.
Bagi sesetengah pekerja yang telah lama bekerja di situ, kadar purata gaji USD2.50 (RM11.30) satu jam dikatakan lumayan berbanding pekerja lain.
Untuk mencapai tahap tersebut OFW haruslah bersedia melakukan kerja lebih masa sehingga 12 jam sehari, 7 hari seminggu bagi mendapatkannya.
Tiada pilihan lain selain terus bertahan
Centerra ketika ditemuramah oleh wartawan, menyifatkan gaji minima yang akan diberikan dalam kontrak adalah USD400 untuk mana-mana jawatan.
Potensi untuk kenaikan gaji pula bergantung kepada kemahiran dan pengalaman pekerja ketika berkhidmat.
Angka ini nampak sikit, tetapi lebih tinggi jika dibandingkan dengan gaji minima sehari untuk kerja 8 jam di Filipina yang ditetapkan pada kadar P537 (RM42.30) bersamaan USD9.42. Itu kadar gaji minima tertinggi.
Jika kita bercerita tentang kawasan pinggiran atau luar bandar di Filipina, kadar gaji minimanya jauh lebih rendah berbanding angka standard yang kami nyatakan di atas.
Selain masalah gaji, pekerja Filipina di Diego Garcia juga berdepan beberapa masalah berbeza.
Passport mereka biasanya ditahan. Mereka juga tidak dibenarkan meninggalkan pulau itu selagi mana kontrak mereka berjalan.
Jika ada keperluan untuk menamatkan perkhidmatan lebih awal, mereka haruslah membayar pampasan kepada syarikat kontraktor sekitar USD3,200 (RM14,375) untuk membatalkan kontrak sebelum dibenarkan terbang pulang.
Adakah ini menjawab persoalan anda?
(Kapsyen dalam gambar tertulis 'Pinoy Night 23 June 2018@The FilMau Club Diego Garcia BIOT')
Jika anda belum maklum, angka jumlah OFW yang dihantar berkhidmat ke Diego Garcia semakin meningkat tahun ke tahun, berdasarkan rekod kerajaan Filipina.(pautan PDF)
Ini kerana warga Filipina dilihat mempunyai tahap kemahiran yang baik, rajin bekerja serta mempunyai permintaan gaji yang tidaklah terlalu tinggi jika dibandingkan dengan kumpulan pekerja dari negara lain, menyokong permintaan khidmat mereka.
Jadi sekiranya anda membuka laman web berkaitan dengan Diego Garcia dan anda mendapati banyak muka mirip orang Melayu ada di sana, besar kemungkinan individu dalam gambar itu adalah orang Filipina.
Warga Filipina di Diego Garcia berhijrah ke sana bagi mencari rezeki sehingga sanggup berdepan masalah gaji, tekanan dan rindu berjauhan dari keluarga. Hidup mereka sudah cukup susah.
Janganlah disusahkan lagi dengan menyamakan wajah mereka dengan mangsa korban nahas MH370, hanya kerana kening mereka kelihatan sama. Dah memang kita berketurunan sama, jadi apa nak hairan kalau 'orang Melayu' ada di Diego Garcia.
Rujukan
EXCLUSIVE: INSIDE DIEGO GARCIA, AMERICA’S HIGHLY SECRETIVE MILITARY BASE