Usaha untuk memperbaiki tahap kesihatan seringkali membuatkan segelintir individu bertindak mencuba apa saja kaedah rawatan yang ditawarkan.
Apatah lagi sekiranya teknik rawatan itu pula dikatakan mempunyai khasiat, penawar dan penyembuh kepada banyak masalah kesihatan yang dihadapi seseorang. Hanya berdasarkan kepada logik akal, banyak kaedah rawatanditawarkan dengan pemasaran yang mampu menjentik sesiapa saja untuk berani mencubanya.
BESARKAN TEKS A- A+
Di kalangan ahli masyarakat kita, ada lima jenis teknik rawatan yang sangat popular serta banyak ditawarkan, walaupun daripada aspek saintifik tiada keberkesanannya.
1. Lilin telinga
Sehingga kini 'rawatan' lilin telinga atau 'thermal-auricular therapy' masih menjadi salah satu tarikan utama pusat-pusat spa yang beroperasi di negara kita.
Ditawarkan dengan janji bahawa teknik rawatan ini mampu membersihkan telinga serta memperjelaskan pendengaran, tidak ramai menyedari kaedah ini sudah diharamkan di negara seperti Kanada manakala kerajaan Amerika Syarikat sudah mengkategorikannya bukan kaedah rawatan sebenar.
Ini disebabkan oleh banyak kes yang berlaku melibatkan pesakit yang mengalami kesan lecur selepas rawatan, selain kes gegendang telinga koyak akibat tekanan yang akhirnya memerlukan pembedahan.
Tidak diketahui dari mana asal-usul rawatan ini. Pendapat paling popular mengatakan kaedah ini diamalkan masyarakat pribumi Hopi di sekitar kawasan Arizona, Amerika Syarikat sekarang. Bagaimanapun, pendapat itu dinafikan sendiri jurucakap masyarakat itu.
2. Pelekat buang toksin
Apabila tiba musimnya, ramai ahli masyarakat kita khasnya mereka yang sudah berusia akan mula mencuba pelekat yang dikatakan mampu membuang toksin dalam badan.
Dipakai pada tapak kaki semasa tidur, pelekat kaki itu yang diisikan dengan herba-herba didakwa mampu menyerap sisa-sisa besi dalam badan kita seterusnya membantu merawat penyakit seperti darah tinggi, diabetes dan bermacam lagi. Lebih keruh warna pelekat, itu menandakan banyak toksin dalam badan kita.
Ramai dah tertipu dengan produk sebegini bukan? Kajian sains telah membuktikan bahan herba yang ada dalam pelekat kaki itu akan bertukar kehitaman apabila didedahkan kepada kelembapan, walaupun kelembapan dari udara sahaja.
Sementara itu setelah diuji hasil toksin yang terkumpul, didapati tidak wujud 'bahan toksin' seperti yang diperkatakan atau apa saja bahan berbahaya yang digembar-gemburkan penjualnya.
3. Gelang magnetik
Gelang-gelang bermagnet masih menjadi antara produk yang cukup popular. Dijual sebagai satu kaedah terapi dibawah kategori 'bio-magnetic therapy', gelang-gelang ini sering dipakai mereka yang percaya dengan khasiatnya.
Didakwa selamat serta tidak mempunyai kesan sampingan, pemakaian gelang ini dikatakan mampu melancarkan peredaran darah seterusnya meningkatkan tenaga pemakainya.
Hasil daripada dua kesan itu, kesan positif lain seperti kawalan ke atas penyakit diabetes, tahap kolestrol, migrain dan mengurangkan kesan sakit tulang juga akan mula dirasai.
Kekal sehingga dijual di antara puluhan ringgit dan ada juga yang mencecah ratusan ringgit, apa yang paling ditakuti berkenaan tabiat pemakaian gelang magnetik ini adalah keengganan pemakainya gagal mendapatkan rawatan yang betul - hanya kerana terlalu percayakan khasiat gelang ajaib.
4. Cermin mata stenopeic
Dijual dengan bermacam jenama, cermin mata yang biasa berwarna hitam dan dibuat beberapa lubang kecil pada bahagian cerminnya dipasarkan sebagai satu kaedah yang mampu memperbetulkan taraf penglihatan - sekiranya kerap dipakai.
Lebih popular dengan nama 'pinhole glasses', cermin mata ini dikatakan mampu memperkuatkan otot mata seterusnya menarik kembali lensa mata kita yang sudah hilang bentuk; mengembalikan penglihatan seseorang secara semulajadi tanpa perlu melakukan pembedahan.
Seseorang pemakai dikatakan akan mula menyaksikan sendiri perubahan selepas beberapa minggu pemakaian, bagi rabun dekat dan penambah baikan dalam rabun jauh selepas tempoh beberapa bulan.
Walaupun kesannya dapat dilihat sekelip mata pada pemakainya, pemakaiannya dalam tempoh lebih panjang sebenarnya tidak mampu memberikan kesan positif seperti yang dikatakan. Apa yang sangat dibimbangkan, ada pemakai yang terlalu percaya dengan kemampuannya - sehinggakan hendak keluar memandu ketika pemakaian.
Kesan positif cermin mata itu sebenarnya terhasil akibat kekangan yang dikenakan ke atas mata daripada melihat secara penuh.
Orang rabun pun sebenarnya boleh melakukannya tanpa cermin mata itu. Mereka hanya perlu memejamkan sedikit mata ketika melihat tanpa cermin - fokus mata mereka akan menjadi lebih baik untuk seketika.
5. Terapi ikan
Berlaku secara bermusim khasnya di kompleks beli belah, terapi rendam kaki dalam baldi berisi ikan memang menarik untuk dilihat. Apatah lagi apabila ramai rakyat Malaysia mengakui keberkesanannya.
Seseorang yang dirawat akan diminta meletakkan kaki ke dalam baldi atau akuarium berisi ikan jenis gaffa selama 15 ke 30 minit. Ratusan ikan-ikan kecil yang ada kemudiannya akan bertindak menggigit kaki individu itu, yang dipercayai menawarkan 1001 khasiat.
Faedah utamanya adalah membersihkan kaki daripada sel-sel yang telah mati serta mampu melancarkan peredaran darah. Selain itu terapi ini juga dikatakan mampu menangani masalah stres di kalangan individu.
Dinamakan sebagai Ichthyotherapy bagi menunjukkan 'sisi saintifiknya', terapi ini dimulakan dari Turki selepas masyarakat di sana mula mempopularkan aktiviti merendam kaki di sebuah kolam ikan bernama Kolam Air Panas Kangal - bermula daripada khabar angin berkenaan seorang individu yang sembuh penyakit kaki selepas merendam kaki di situ.
Walaupun begitu kebanyakan kajian yang dijalankan mendapati kesan positif hasil rendaman itu bukanlah datang daripada gigitan ikan yang berlaku.
Sebaliknya disebabkan oleh suhu air dalam Kolam Air Panas Kangal yang lebih hangat mampu memberikan kesan kelegaan pada pesakit yang mengalami masalah kulit psoriasis.
Kerajaan Turki sendiri melalui kementerian kesihatan mereka mendeklarasikan kolam tersebut sebagai pusat kesihatan berasaskan air panas, bukan disebabkan ikan yang memakan kulit-kulit mati pengunjung.