Berbeza dengan zaman sekarang di mana setiap orang memiliki 'komputer peribadi' dalam poket masing-masing dalam bentuk telefon pintar, awal era 2000 menyaksikan majoriti pengguna masih bergantung kepada peranti komputer untuk mengakses internet. 

Tidak menghairankan pun jika ada pengguna khasnya di kalangan generasi muda kini yang bijak menggunakan telefon pintar tanpa pernah sekalipun menyentuh tetikus komputer. Bagi mereka yang sempat atau masih menggunakan komputer, pasti ada beberapa perisian atau aplikasi yang menjadi tempat kita bergantung untuk menemani kita semasa bekerja atau melayari internet.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Masih ingatkah anda dengan beberapa aplikasi popular ini yang satu ketika dulu cukup terkenal namanya di kalangan pengguna? Berikut adalah lima perisian komputer perlu ada setiap masa untuk majoriti pengguna komputer kita.

1. Winamp

winamp classic screenshot

Kita mulakan dengan perisian yang pernah menjadi pemain muzik nombor satu dunia, Winamp.

Cukup terkenal sebagai perisian yang ringan serta membenarkan antaramukanya ditetapkan sendiri oleh pengguna menggunakan kulit-kulit yang boleh dimuat turun, Winamp ikonik disebabkan oleh rekaannya yang lebih mirip sebuah pemain radio kereta serta fungsi visualisasinya yang cukup diminati sesetengah pengguna.

Winamp juga biasanya menjadi aplikasi pertama yang akan dibuka setiap kali ada kenalan kita membeli pembesar suara baru, kan?

Ketika ini Winamp sudah jauh ketinggalan walaupun hak miliknya sudah berpindah tangan ke syarikat baru. Usaha untuk melancarkan versi terbaru Winamp sehingga kini gagal walaupun dijanjikan pada tahun 2019.

Dalam era di mana muzik mampu dimuat turun secara mudah secara strim, pengguna juga sudah jarang menyimpan fail-fail audio yang mereka dengari secara lokal - membuatkan aplikasi seperti Winamp sebuah relik yang enak untuk diingati tetapi tidak lagi relevan masakini.

2. Real Player

real player antaramuka lama

Bagi mereka yang enggan menggunakan Winamp serta memilih sesuatu yang lebih profesional, biasanya Real Player adalah pilihan utama mereka. Ada yang kata kualiti audio dimainkan Real Player lebih jelas. Entahlah benar atau tidak.

Pada awal kemunculannya dalam tahun 1995, Real Player terkenal kerana menyatukan dua format media iaitu audio dan video dalam satu perisian. Popularitinya menyerlah sehingga menjadi salah satu perisian yang akan dipasang pada setiap komputer Windows 98. 

Berbeza dengan pesaingnya, Real Player menawarkan fungsi strim video, menjadi antara servis terawal membenarkan pengguna melanggan video secara langsung di internet seperti siaran sukan. Bagaimanapun perubahan teknologi pengekodan video yang akhirnya beralih kepada video berasaskan Flash dan seterusnya video HTML5 menamatkan keperluan Real Player di kalangan pengguna.

Aplikasi Real Player masih wujud serta dikemaskini sehingga sekarang dalam versi komputer dan juga mobil, namun jika dibandingkan dengan nama-nama besar dalam industri audio dan video masakini - tampak mustahil untuk Real Player kembali memulihkan reputasinya satu masa dahulu.

3. Limewire

limewire software

Sebelum wujud sistem protokol BitTorrent yang kekal popular sehingga kini, para pengguna internet yang ingin mendapatkan fail-fail yang mereka perlukan sama ada yang sah atau tidak sah biasanya menggunakan perisian Napster untuk carian lagu dan Limewire untuk semuanya.

Populariti Limewire banyak didorong oleh kemampuannya memindahkan data sama ada dalam bentuk audio, video, dokumen, fail dan apa saja informasi yang ingin anda kongsikan, untuk carian pengguna lain.

Disebabkan itu jugalah Limewire sering kali menjadi sumber utama kemasukan virus ke dalam komputer, kerana kebebasan yang diberikan untuk pengguna memuat naik dan turun tanpa had. Selain Limewire dan Napster, satu lagi perisian yang cukup popular di kalangan pengguna yang membawa fungsi serupa adalah Kazaa.

4. Napster

napster interface

Napster adalah ibarat Spotify zaman sekarang - sekiranya Spotify memerlukan anda memuat turun satu lagu terlebih dahulu yang memakan masa 2 ke 3 hari. Tetapi berkat kesabaran itu berbaloi, bagi mendapatkan lagu-lagu secara percuma dan tidak sah disisi undang-undang.

Ketika kemuncak popularitinya, Napster mempopular format audio MP3, sejenis format yang sangat mendahului zaman kerana mampu memampatkan audio ke dalam satu saiz yang mustahil difikirkan zaman tersebut.

Jika sebelum itu cakera padat hanya mampu memuatkan 12 ke 13 lagu, MP3 membolehkan antara memiliki keseluruhan diskografi seseorang artis dalam satu cakera padat. 

Napster mula berdepan dengan tuntutan saman daripada pihak penerbitan karya dari tahun 1999, dengan kontroversi melibatkan kumpulan Metallica menjadi antara kes paling hangat dibincangkan. Napster akhirnya menyerah kalah, mula menjalankan proses pencairan aset bagi membayar denda dan menutup pintu sekitar tahun 2002. 

5. mIRC

interface mirc

Sebelum wujud media sosial, semua interaksi antara pengguna internet lebih bersifat primitif terhad hanya kepada bilik-bilik bualan yang diwujudkan. mIRC merupakan antara aplikasi perisian paling popular terutamanya di Malaysia, menjadi pilihan utama ramai anak muda kita untuk berbual dan juga melakukan aktiviti ringan seperti bermain kuiz.

Bilik popular di kalangan anak muda ketika itu sudah pastilah bilik '@Kampung' yang menjadi antara komuniti terbesar dalam internet setiap hari. 24 jam sehari bilik bualan itu hidup dengan individu yang langsung kita tidak kenali, kecuali dengan nama samarannya.

Ketika ini jugalah seni reka grafik menggunakan askara ASCII cukup popular, disebabkan oleh kekangan kemampuan grafik mIRC memerlukan pengguna jadi lebih kreatif. Rekaan-rekaan grafik mudah dibentuk menggunakan huruf dan simbol, kadangkala hasilnya mampu mengagumkan orang ramai ketika itu. 

mIRC juga menjadi medan penting orang ramai mencari jodoh. Kisah-kisah bagaimana ada lelaki kena prank 'blind date' dengan seorang 'wanita' yang dikenali melalui mIRC adalah satu perkara normal. Bukan susah pun nak mengaku kita ni wanita, dalam era di mana profil dan identiti kita masih tersembunyi.

Tetapi mIRC juga mampu menemukan jodoh, seperti mana beberapa orang kenalan penulis yang berani berkenalan tanpa nampak dengan siapa dia berinteraksi sehingga akhirnya membawa ke jinjang pelamin.

Zaman sekarang nak dengar kisah macam tu, dah susah. Kalau tak suka dan tak berkenan, tinggal kita nak swipe left saja.




Hakcipta iluminasi.com (2017)