Russia walaupun merupakan salah satu kuasa besar dunia, tidak mempunyai jaringan jenama produk yang kuat serta mampu menguasai pasaran antarabangsa.
Jika kita tanyakan mana-mana rakyat Malaysia apakah jenama keluaran Russia yang anda tahu atau pernah gunakan, pasti tidak ramai yang mampu menjawabnya.
Walaupun demikian, memang ada beberapa jenama produk Russia yang sebenarnya popular atau sekurang-kurangnya dikenali kita di sini. Tahukah anda produk Russia berikut?
BESARKAN TEKS A- A+
1. Tetris
Bagi kanak-kanak era 80-an dan 90-an yang meminati permainan video, 'Tetris' mungkin merupakan antara judul yang pernah anda mainkan.
Ini disebabkan semua katrij permainan video ketika itu, pasti menyelitkan judul ini ke dalam senarai judul yang dipasangkan.
Direkabentuk dan dibangunkan oleh seorang jurutera perisian Russia bernama Alexey Pajitnov, 'Tetris' berkembang daripada hanya sebuah judul permainan video sehingga menjadi antara budaya besar yang popular, bukan saja di negara asalnya bahkan di seluruh dunia.
Lebih unik, beberapa versi 'Tetris' terawal turut menjadi pengenalan kita kepada lagu-lagu yang menjadi latar belakang judul tersebut, kesemuanya diambil daripada lagu-lagu rakyat Russia.
Sehingga kini Pajitnov dan rakan kongsinya Henk Rogers menguruskan 'The Tetris Company Inc.' yang bertanggungjawab menjaga dan melesenkan sebarang bentuk penggunaan elemen berkonsepkan 'Tetris' di dunia.
2. Sukhoi
Kontroversi di negara kita berkenaan pesawat pejuang Sukhoi, sering kali menjadi bualan hangat bukan?
Sukhoi adalah sebuah syarikat pengeluar pesawat yang berpengkalan di Okrug, Moscow sejak tahun 1939.
Nama syarikat itu diambil daripada nama pengasasnya Pavel Sukhoi, seorang jurutera penerbangan yang mempunyai kemahiran mereka bentuk pesawat sendiri.
Berdasarkan sumbangan beliau kepada negara, Sukhoi pernah dianugerahkan darjah kehormat tertinggi bagi orang awam semasa Russia masih lagi dalam gabungan Kesatuan Soviet.
Pesawat keluaran Sukhoi mempunyai legasi terkenal di kalangan kerajaan-kerajaan dunia sebagai pesawat mampu milik jika dibandingkan pesawat keluaran syarikat lain dalam kelas yang sama.
Angkatan tentera udara kita pun pada 13 Februari 2022 baru saja mengumumkan rancangan untuk menaik taraf pesawat Sukhoi kita ke model lebih baru.
Tawaran itu telah dibuat secara rasmi oleh kerajaan Russia. Kita doakan agar tidak ada kontroversi timbul lagi lah ya, berikutan pembelian ini.
3. Zenit dan Zenitar
Bagi peminat fotografi, nama kamera Zenit serta lensa Zenitar merupakan antara jenama yang selalu didengari tetapi jarang ditemui.
Ini kerana kedua-duanya mempunyai peminat fanatik tersendiri, di kalangan jurufoto baik yang profesional mahupun berstatus amatur.
Zenitar terkenal sebagai jenama lensa jenis tetap, khasnya lensa 'mata ikan' yang boleh disesuaikan dengan beberapa sistem kamera jenama berbeza.
Sementara itu Zenit pula lebih terkenal sebagai jenama kamera yang dibangunkan, hasil pinjaman teknologi kamera yang dikeluarkan oleh Leica.
Semua produk Zenit dan Zenitar dihasilkan di sebuah kilang milik syarikat yang dikenali sebagai Krasnogorsky Zavod atau KMZ.
KMZ mula menghasilkan peranti optik sejak tahun 1952 ekoran daripada permintaan tinggi terhadap produk-produk tersebut, selepas pencerobohan Jerman ke dalam Kesatuan Soviet memaksa banyak kilang pengeluar barangan optikal ditutup atau ketiadaan pekerja.
Bermula pertengahan dekad 1950-an, KMZ mula memperlahankan pengeluaran ekoran pembukaan kilang-kilang lain yang mampu menampung permintaan.
Kerajaan Soviet menggerakkan KMZ sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan peranti optikal, membolehkan penambah baikan ke atas produk mereka dilakukan.
KMZ selamat melancarkan siri generasi pertama kamera Zenit pada awal dekad 1960, memulakan legasi jenama itu dalam sejarah teknologi fotografi dunia.
4. Karpersky
Sehingga ke hari ini jenama Karspersky cukup sinonim dikenali sebagai aplikasi perlindungan komputer dan perisian telefon pintar antara yang terbaik.
Diasaskan oleh seorang jurutera perisian bernama Eugene Karspersky (nama asal Yevgeny Valentinovich Kaspersky), Karspersky mendapat pendidikan berkenaan teknologi sekuriti komputer di institut latihan yang dikendalikan agensi keselamatan Russia KGB.
Menjadi antara individu terkaya di Russia, hidup Karspersky yang mempunyai profil tinggi tidak mudah. Anaknya pernah menjadi mangsa penculikan pada tahun 2011, di mana kumpulan penculik meminta wang tebusan sebanyak RM18.5 juta untuk membebaskan anaknya.
Anaknya selamat setelah sistem keselamatan polis Russia berjaya mengesan lokasi penculik dan sindiket tersebut berjaya diserbu.
Sehingga ke hari ini Karspersky Lab yang ditubuhkan beliau, terus beroperasi dari ibu pejabat mereka di Moscow, menjadi antara benteng awal dunia dalam mengenalpasti mana-mana serangan siber yang bakal berlaku.
5. LOMO
Siapa sini suka dengan kamera LOMO?
Tahukah anda nama LOMO sebenarnya hadir sebagai singkatan daripada Leningradskoye Optiko-Mekhanicheskoye Obyedinenie atau Leningrad Optical Mechanical Association - sebuah syarikat pengeluar alatan optikal untuk kegunaan umum dan juga bidang perubatan.
Ditubuhkan sejak tahun 1914 di Petrograd, kisah bagaimana jenama ikonik ini menemui produk popularnya yang cukup terkenal di peringkat antarabangsa.
Sekitar awal dekad 1980-an, pegawai kanan kepada Menteri Pertahanan Kesatuan Soviet, Jeneral Igor Petrowitsch Kornitzky mengarahkan agar pengarah kilang LOMO untuk menghasilkan semula sejenis kamera keluaran Jepun bernama Cosina CX-1.
Kornitzky melihat tahap kejuruteraan yang berjaya dicapai syarikat Jepun itu sangat jauh mendahului zaman, berbanding apa yang mampu dikeluarkan LOMO sendiri ketika itu. Jadi mereka menggunakan asas kamera Jepun itu tanpa pengetahuan orang luar.
Kilang LOMO mengambil masa lebih 18 bulan mereka bentuk kamera baru, sebelum berjaya menyiapkan produk mereka yang paling ikonik dinamakan LOMO LC-A.
Populariti lensa kamera itu yang mampu menghasilkan gambar warna yang mempunyai identiti sendiri mula tersebar, diterima baik bukan saja di Russia bahkan di Poland, Czechoslovakia dan Cuba.
Populariti LOMO sebagai peranti optik kamera terpahat selepas penubuhan Lomographic Society International pada tahun 1992, yang menggabungkan semua pengguna dan peminat kamera LOMO dalam satu bumbung.
Trend ini kekal sehingga kini, dengan kewujudan genre fotografi unik yang dinamakan sebagai 'Lomografi', yang cukup popular di kalangan anak muda serta pempengaruh Instagram dan media sosial.