Oleh pada 28 Mar 2023 kategori

Menjelang bulan Ramadan,  air katira menjadi pilihan penulis membasahkan tekak selepas penat seharian membanting tulang dan memerah otak. 

Oleh kerana popularitinya, ramai peniaga yang menawarkan jualan air katira namun bukan semua air katira sama. Ada yang ori, ada yang hanya nama saja 'katira.'

Di kalangan masyarakat, air katira asli ramai penggemarnya. Apa yang membuatkan resipi aslinya istimewa dan kenapa namanya 'air katira'?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Asal-usul perkataan 'katira'

goond katira rendam air

Bunyi istilah 'katira' kedengaran unik kan?

Ini kerana istilah ini bukanlah istilah orang Melayu, sebaliknya merupakan sebuah istilah pinjaman bahasa Sanskrit yang membawa bunyi yang sama.

'Katira' dalam Sanskrit mewakili sejenis tumbuhan yang lendir getahnya boleh digunakan untuk bermacam tujuan, sama ada melekatkan atau mencantumkan sesuatu ibarat gam. Masyarakat zaman dahulu juga menggunakan getah dari katira sebagai syampu untuk mencuci rambut.

Istilah ini daripada aspek bahasa mempunyai skop yang tidak terhad, juga digunakan sebagai nama individu biasanya merujuk wanita.

Dari kepercayaan masyarakat Kristian merujuk kepada kisah dalam Bible, nama isteri kedua Nabi Ibrahim as. (Abraham) iaitu Katurah/Keturah sebenarnya datang daripada istilah bahasa Paleo-Ibrani merujuk tumbuhan itu. 

Selain Katira/Keturah/Katurah sebagai nama wanita, antara nama biasa lain yang merupakan sinambungan istilah ini adalah Katrina dan Catherine. 

Perkembangan bahasa membawa kepada penambahan makna, apabila penggunanya mula merujuk 'katira' secara am sebagai sesuatu yang berbau harum atau membersihkan, tidak hanya eksklusif merujuk jenis tumbuhan. 

Dua kategori katira paling banyak digunakan

pokok yang menghasilkan getah katira

Dalam bahasa Melayu, bahan ramuan yang kita gunakan untuk menhasilkan air katira digelarkan sebagai getah anggur atau gam katira.

Di kalangan penyelidik bahasa dan saintis, gam ini mempunyai beberapa nama yang berbeza bergantung kepada jenis tumbuhan yang menjadi sumbernya.

Ada dua spesis tumbuhan yang biasanya digunakan untuk menghasilkan gam atau getah yang dapat kita lihat. 

Yang pertama adalah gam yang dihasilkan daripada pokok jenis Astragalus (gambar atas), sejenis tumbuhan renek tumbuh di kawasan tanah tinggi, ditemui di negara Asia seperti di Iraq, Iran, Syria, Pakistan, Afghanistan dan Russia.

pokok yang hasilkan getah katira 02

Jenis kedua pula adalah gam atau getah yang terhasil daripada nira pokok dari keluarga kekacang Sterculia,  banyak di India di kawasan seperti Gujarat, Madras dan Madhya Pradesh.

Dalam lapangan sains, getah yang terhasil daripada batang tumbuhan ini digelarkan sebagai tragacanth, tidak mempunyai bau dan rasa.

Selepas direndam dalam air, tindakbalas di antara getah dengan air yang diserap menyebabkan getah tadi bertukar bentuk bentuk gel, boleh digunakan dalam pelbagai jenis kegunaan.

Mempunyai khasiat, banyak pihak percaya gam ini mampu membantu merawat penyakit seperti batuk dan cirit birit.

Selain itu, gam tersebut juga digunakan dalam industri pembuatan makanan sebagai bahan pemekat dan penstabil serta digunakan terus sebagai gam untuk lekatan, seperti bahan pelekat yang digunakan dalam melekatkan rokok gulung.

Gula-gula berubat Fisherman Friends juga menggunakan gam ini dalam bahannya.

Walaupun secara saintifiknya digelar tragacanth, masyarakat dunia gemar memanggil gam dari pokok Astragalus sebagai gam tragacanth sementara gam dari pokok Sterculia sebagai gam tragacanth India atau gam karaya.

Tradisi katira India yang dimajmukkan di Malaysia

gam katira getah resipi air katira

Di India, mereka menamakan gam ini sebagai goond kateera, yang membawa maksud 'getah pokok katira', inilah asal-usul kenapa kita menggelarnya katira juga.

Teknik penghasilan minuman menggunakan gam katira merupakan resipi yang telah lama diamalkan masyarakat luar, kerana mereka percaya menikmati minuman yang telah dicampurkan gam ini mampu menyejukkan badan.

Boleh diminum hanya dengan air suam atau dicampurkan ke dalam hidangan pemanis mulut, kepelbagaian penggunaannya menyebabkan bahan gam ini popular dalam pelbagai variasi menu. 

Kita di Malaysia menggabungkan bahan seperti susu, biji selasih, pandan, kekacang, cincau, cendol dan bermacam lagi gabungan bahan bagi menghasilkan apa yang kita kenal sebagai air katira.

Sesuatu yang unik untuk kita - versi kita biasanya berwarna kehijau-hijauan disebabkan gabungan pandan ke dalam resipinya.

Air katira tak semestinya hijau warnanya

air katira balang hijau

Pendapat popular dalam membincangkan asal-usul dari mana datangnya air katira, menyebut kehadiran kumpulan pendatang dari bahagian selatan India ke sini, mempopularkan minuman ini ke dalam masyarakat kita.

Kami beranggapan pendapat ini ada benarnya kerana populariti penggunaan tumbuhan itu sudah lama bertapak dalam masyarakat mereka.

Cuma satu isu yang kami agak pelik - kenapa orang Johor claim air katira ni seolah-olah identiti mereka? Kenapa?

katira diguna dalam manisan

Katira dalam bentuk manisan.

Walau apa pun pandangan anda, sekiranya anda berkunjung ke pasar malam mencari air katira, lakukan pemilihan anda dengan berhati-hati.

Ramai peniaga kita menjual air katira cetak rompak, dibancuh dengan pewarna hijau yang terang-benderang nak menarik minat kita membeli.

Gam katira yang sepatutnya dijadikan ramuan utama minuman pun letak sejemput asal cukup syarat. Yang tak letak langsung pun ada!

Asal airnya hijau pun dianggap layak digelar air katira. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)