Facebook adalah platform media sosial terbesar di Malaysia. Walau demikian evolusi kepada platform senantiasa berlaku yang turut sama mengubah trend pengguna. Pengguna akan melompat dari satu trend ke satu trend berbeza bergantung kepada jumlah pengguna serta tahap populariti sesuatu platform.

Perubahan Facebook yang akan mula meletakkan elemen meta atau 'metaverse' sebagai komponen utama platform baru yang bakal mereka bangunkan, sudah tentulah sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pengguna Facebook sedia ada.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Anda suka Facebook tetapi bimbang pengaruh dunia-meta ke dalam Facebook bakal membuatkan anda menyampah dengan tatacara penggunaannya? Berikut adalah lima alternatif kepada Facebook yang boleh menggantikan

1. Clubhouse

club house app

Platform yang masih muda dan baru saja dilancarkan pada bulan Mac tahun 2020, membawa keunikan tersendiri dari segi interaksi di antara penggunanya.

Pada mulanya Clubhouse hanya membuka keahlian kepada pengguna yang menerima jemputan saja, tetapi kini sudah dibuka untuk semua - menambah bilangan pengguna dari 1,500 pada peringkat awal kepada lebih 1 juta akaun berdaftar ketika ini.

Penggunaannya ringkas. Paparannya hanya akan menampakkan gambar profil anda dan semua perkongsian berlaku secara audio secara langsung atau melalui rakaman yang boleh anda muat turun. Anda boleh melakukan carian berkenaan sesuatu topik atau terus ke profil ikutan anda, bagi mengikuti perkongsian mereka.

Salah satu tarikan utama Clubhouse adalah apabila aplikasi ini membenarkan anda berinteraksi terus dengan tokoh-tokoh nama besar, secara langsung.

Elon Musk, pemilik syarikat Tesla pernah membuka bilik perbualan melalui Clubhouse yang menerima lebih 5,000 orang peserta. 5,000 adalah had kapasiti setiap bilik Clubhouse setakat ini.

2. Vero

vero media social

Menjenamakan diri mereka sebagai 'platform media sosial paling tulen', Vero tidak gentar untuk menyatakan mereka bakal mengubah tabiat penggunaan media sosial dunia.

'Vero' diambil dari istilah Itali, yang bermakna 'kebenaran' jadi tidak dapat dinafikan dari segi kredibiliti, pengendali Vero seakan-akan mendabik dada serta yakin mereka bukan sahaja mampu menandingi Facebook bahkan mungkin juga mengatasinya.

Tulang belakang Vero yang bertindak sebagai CEO adalah Ayman Hariri, anak kepada bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafiq Hariri yang mati dibunuh sekitar tahun 2005.

Selepas bekerjasama dengan beberapa syarikat dari Arab Saudi yang berakhir dengan kontroversi, Ayman memulakan kerjasama dengan pembangun perisian bagi membangunkan platform media sosial.

Dilancarkan pada tahun 2015, populariti Vero memuncak pada tahun 2018 menjuarai carta aplikasi di Apple App Store membawa lebih 3 juta pengguna baru. Lebih berfokus kepada perkongsian imej ala Instagram, aplikasi ini malangnya hanya terhad dalam bentuk mobil tanpa ada versi sokongan peranti laman web.

3. Ello

ello media sosial

Jika anda seorang pengkarya yang gemar berkongsikan karya-karya ciptaan anda kepada umum, Ello mungkin platform paling sesuai untuk anda.

Mengklasifikasikan platform mereka sebagai 'rangkaian pengkarya kreatif', Ello menyediakan kepada semua karyawan dalam bidang fotografi, animasi, visual komputer, realiti maya dan pelbagai lagi bidang berbeza peluang untuk berkongsi secara lebih fokus - terus kepada mereka yang berkongsi minat sama.

Pelancarannya yang telah berlaku pada tahun 2014 menyaksikan Ello berkembang secara organik, menarik minat pengkarya yang benar-benar serius berbanding pengguna media sosial biasa dan 'kaki troll.'

4. Linkedin

linkedin media sosial

Penulis sebagai seorang pengguna Linkedin yang agak lama sendiri tidak menjangkakan Linkedin, sebuah laman web bagi menghubungkan kumpulan profesional boleh menjadi sebuah platform media sosial yang efektif.

Selain itu Linkedin juga kini mampu dijadikan platform pencarian kerja yang sangat berkesan, untuk mereka yang mahu memulakan atau bertukar karier.

Disebabkan oleh latar belakang profesionalnya, perkongsian dalam Linkedin juga lebih bersifat serius, membawakan topik-topik yang lebih fokus kepada sesuatu bidang bergantung dengan rangkaian hubungan kita dalam platform tersebut.

Walaupun begitu menelaah Linkedin lama-lama pun bosan juga. Ramai sangat pengguna di dalamnya seolah-olah nak menunjuk-nunjuk kejayaan mereka dalam karier. Penulis pun dah lama tak buka Linkedin selepas membaca perkongsian kenalan yang agak poyo.

5. Minds

minds sosial media network

Dilancarkan dalam tahun 2015, perkembangan Minds sebagai sebuah platform media sosial agak perlahan walaupun menjanjikan pelbagai perkara yang kurang disenangi pengguna-pengguna Facebook.

Jika Facebook meminta pengguna membayar bagi memaksimakan capaian perkongsian, Minds pula memilih jalan berbeza - membayar pengguna menggunakan matawang kripto untuk setiap interaksi yang berlaku.

Matawang dalam Minds yang dinamakan sebagai 'Wire' menjadi nadi penghubung setiap pengguna, di mana anda boleh menderma kepada perkongsian yang anda rasakan bermanfaat atau membayar untuk kandungan-kandungan eksklusif.

'Wire' pula boleh diperolehi sama ada melalui bayaran interaksi yang kita lakukan atau boleh dibeli menggunakan dana wang ringgit sebenar.

Mempunyai sistem antaramuka yang hampir mirip dengan Facebook, 'Minds' ketika ini mempunyai anggaran 14 juta akaun berdaftar.

Meletakkan dasar desentralisasi, privasi dan penyulitan data (encryption) sebagai fokus utama, semua kertas kerja dan program yang digunakan dalam membangunkan Minds dikongsikan secara terbuka - bagi memudahkan penambahbaikan dilakukan ke dalam sistem tersebut secara berkomuniti.




Hakcipta iluminasi.com (2017)