Kewujudan lambakan laman rangkaian sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya membuatkan ramai pakar psikologi mahu memahami bagaimana aplikasi media sosial ini mempengaruhi cara manusia berfikir dan bertindak.
Walaupun majoriti penyelidikan yang dijalankan masih baru, namun ada beberapa penemuan yang telah dijumpai menerusi beberapa kajian psikologi yang berbeza. Iluminasi kongsikan 8 perubahan perilaku dan kehidupan yang berpunca daripada media sosial:
BESARKAN TEKS A- A+
#1 Buat anda berasa sunyi
Walaupun anda membuka akaun media sosial untuk berhubung dengan orang lain, tapi terdapat kajian yang mendapati Facebook dan laman-laman lain seperti itu sebenarnya membuatkan seseorang berasa lebih sunyi daripada biasa. Jika anda lebih banyak meluangkan masa dengan Facebook, tahap kegembiraan dan perhubungan sosial anda dengan dunia sebenar semakin berkurang.
#2 Buat anda rasa cemburu
Satu kajian lain pula mendapati Facebook boleh meningkatkan rasa iri hati dalam diri seseorang, walaupun mereka pada asalnya bukanlah kategori manusia yang berhati busuk.
Individu yang banyak menghabiskan masa melayari dan membaca status-status yang dimuat naik rakan-rakan (berbanding memuat naik sendiri status atau gambar) akan lebih cenderung untuk berasa iri hati dalam diam.
#3 Rasa benci pada rakan-rakan
Ada satu gejala yang dipanggil perbandingan sosial yang digunakan oleh sekumpulan penyelidik dari Berlin, Jerman di mana ia terjadi apabila seseorang individu melihat kejayaan rakan-rakan dan orang lain melalui media sosial sehingga merasa benci kepada mereka serta kejayaan yang dikecapi. Rasa benci yang meluap ini lebih kuat sekiranya rakan itu daripada latar belakang atau kumpulan yang sama dengan individu terbabit.
#4 Ketagihan
Saya pasti, ramai antara kita yang sudah ketagihan dengan laman rangkaian sosial. Kadang-kadang sampai terlanggar tiang, terlanggar pintu atau buat tak endah dengan orang di sekeliling. Punyalah khusyuk dengan telefon masing-masing.
Bila dibuka aplikasi Facebook pula, laju jari-jemari menatal newsfeed untuk mengetahui perkembangan hidup orang lain selain memberitahu berita terkini kehidupan sendiri. Secara tidak langsung, ia menjadi masalah apabila setiap orang perlu menjaga imej dan air muka masing-masing dalam alam maya.
#5 Mengawal kesakitan dan tekanan
Salah satu kebaikan menggunakan media sosial ialah ia mampu menjadi penghalang kepada kesan kesakitan dan tekanan. Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2009 mendapati kesakitan fizikal dapat di'kurang'kan hanya dengan melihat gambar orang yang disayangi di Facebook.
#6 Buat anda gembira
Dipercayai orang yang sering aktif dalam memuat naik status, menulis komen dan mengetik "Like" di Facebook merasai nikmat kegembiraan semasa melakukannya. Orang yang hanya melayari dan melihat tanpa berbuat apa-apa tidak akan merasai nikmat yang sama. Jadi, anda perlu libatkan diri terlebih dahulu untuk tahu perbezaannya.
#7 Melahirkan generasi yang kurang daya imaginasi
Sebelum wujudnya Facebook dan media sosial, manusia akan menggunakan otak untuk berangan, berfikir dan berimaginasi tentang pelbagai perkara apabila mereka berasa bosan. Tapi kini rata-rata manusia terus beralih kepada rangkaian sosial apabila mereka rasa seperti 'tidak ada apa nak dibuat'. Lama-kelamaan, kita tidak lagi menggunakan akal fikiran untuk merangsang otak dan hanya bergantung kepada internet dan media sosial.
#8 Lari daripada masalah
Yang ini selalu sangat kita nampak, terutama sekali dalam laman confession atau luahan perasaan. Ramai orang kini terlalu gemar menggunakan Facebook dan media sosial untuk mengelakkan diri daripada berhadapan dengan masalah secara realiti.
Ada masalah dengan pasangan? Tulis status berbaur sedih-sedih. Kawan satu bilik tak gosok gigi? Perli dia di Facebook. Ada penjual tersilap pulangkan baki wang kurang 20 sen? Viralkan.
Walhal semua masalah itu boleh saja diselesaikan sendiri dengan bersemuka serta berterus-terang, bukan?
Bidang media sosial dan kesan psikologi penggunaannya masih lagi perlu diterokai dengan lebih mendalam. Tapi, pokok pangkalnya terpulang pada diri sendiri. Jika anda menggunakan media sosial dengan niat yang tidak betul, maka kesannya terhadap diri anda juga boleh menjadi sangat negatif.
Jadilah pengguna media sosial yang bijak. Jangan sampai ia mengawal hidup anda.
Rujukan:
1. PLOS One
2. American Psychological Association (1)
3. American Psychological Association (2)
4. Envy on Facebook: A Hidden Threat to Users’ Life Satisfaction?
5. CHI2010 Proceeding ACM Conference on Human Factors in Computing Systems