Tak lama dahulu peminat kipas susah mati produk keluaran Apple hampir boleh disamakan dengan sebuah kultus, ekoran kesetiaan mereka mempertahankan apa saja produk yang ditawarkan syarikat kesayangan mereka.
Kesetiaan itu walaupun kini semakin lama semakin menipis, tetap tidak menghalang Apple mempergunakan kesetiaan pelanggan yang telah dibina - untuk menjual produk pada harga yang tak masuk akal permintaannya. Anehnya - masih ramai yang mempertahankan tindakan itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Adakah pelanggan fanatik Apple yang gila? Atau Apple yang semakin gila? Berikut adalah lima produk Apple yang menimbulkan tanda tanya berbaloikah barangan yang ditawarkan dengan harganya.
1. AirPods Max
Dijual pada harga permulaan RM2,399, jualan sistem hedfon AirPods Maxs ini memang membuka mata banyak pihak ekoran harga yang diminta.
Harganya yang tidak masuk akal bila dibandingkan dengan produk sama bertaraf profesional dari jenama lain, mengundang perbandingan. Lebih malang, bagi pengguna yang sudah mengeluarkan belanja setinggi itu - dilaporkan banyak unit mempunyai masalah sambungan Bluetooth yang menjejaskan hubungan audio yang sepatutnya lancar.
Rekaan 'kotak pemegangnya' yang unik mirip (maaf!) baju dalam wanita turut dikritik, sehinggakan divisyen rekaan Apple perlu mengeluarkan maklum balas terhadap semua kritikan yang diterima.
Tidak datang dengan sambungan 3.5mm secara standard, unit ini hanya boleh disambungkan secara berwayar menggunakan penukar kepala khas jenis Lightning, yang dijual berasingan pada harga RM55. Jika anda tergolong dalam kumpulan B40 dan anda memiliki produk ini, anda memang perlu mengatur semula belanja anda.
2. Mac Pro
Dikenali sebagai komputer paling berkuasa dalam senarai produk Apple, rekaan setiap unit Mac Pro memang mencerminkan visi yang sinonim dengan jenama tersebut; elegan, mewah dan mahal.
Diperbuat daripada kerangka besi dengan pemegang dipasangkan di atas rangka bagi memudahkan pengalihannya, permukaan depan Mac Pro direka untuk memudahkan pengaliran angin pada tahap maksima; walaupun ramai menggelarkan rekaan itu seperti papan pemarut dapur.
Harganya jangan ceritalah - memang tak masuk akal bermula daripada RM25,999 pada konfigurasi paling rendah. Jika dibandingkan pada harga yang sama dengan komponen PC biasa, seseorang tidak pun perlu membelanjakan wang setinggi itu untuk mendapatkan prestasi serupa.
Semua komponen dalaman pilihan Mac Pro juga dijual pada harga yang terlalu tinggi kadar keuntungannya, walaupun bagi mereka yang tahu sebenarnya tidak ada bezapun komponen yang dijual oleh Apple dengan komponen dalam ekosistem PC Windows.
Sekiranya semua komponen ditempah pada spesifikasi tertinggi, sebuah harga Mac Pro mampu mencapai sehingga RM210,000. Bayangkan.
Dengan harga setinggi yang ditetapkan, sekurang-kurangnya semua pelanggan akan mendapatkan set monitor untuk kegunaan kan? Tidak. Monitor perlu dibeli asing.
3. Buku 'Designed by Apple in California',
Kami tidak pasti buku ini pernah dijual di Malaysia atau tidak sebelum ini.
Buku ini adalah sebuah projek buku fotografi yang merakamkan kesemua jenis peranti pernah dihasilkan syarikat tersebut dalam 20 tahun terawal penubuhannya.
Diberikan judul 'Designed by Apple in California', buku ini dijual dalam dua versi berbeza saiznya, yang kecil pada harga RM840 dan RM1260 bagi versi besar.
Didedikasikan kepada pengasas syarikat Apple iaitu Steve Jobs, buku ini memaparkan 450 foto berkualiti tinggi bahagian dalaman peranti Apple yang dirasakan layak untuk dijadikan bukti hasil kerja Apple yang paling ikonik.
Berbeza dengan buku lain, buku ini hanya dijual melalui Apple.
Ekoran tingginya harga yang ditetapkan, kritikan terhadap isi kandungan buku ini mula kedengaran selepas ramai pembaca mendapati ada gambar yang dipilih untuk paparan, pernah digunakan dalam penerbitan sebelum-sebelumnya.
Bagaimanapun, kritikan itu tidak menghalang jualan buku ini laris selama diterbitkan dari tahun penghujung 2016 sehinggalah pertengahan tahun 2019. Hanya peminat Apple yang benar-benar setia sanggup membeli katalog produk Apple pada harga yang diminta.
4. Mac Pro Wheels dan Feet Kit
Berbeza dengan pengeluar produk elektronik lain, Apple berani menjual roda dan kaki unit komputer sebagai aksesori pada harga kayangan. Itulah yang ditawarkan Apple bagi pembeli unit Mac Pro seperti yang kami telah kami sebutkan lebih awal di atas.
Semua unit standard Mac Pro datang dengan empat kaki penyokong dijual dalam pakej semasa pesanan. Bagi pembeli yang menukarkan pesanan agar unit mereka dipasangkan dengan roda - hanya roda akan diberikan. Kaki penyokong perlu dibeli secara berbeza sebagai aksesori tambahan.
Untuk mendapatkan roda atau kaki ini, pembeli perlu membayar RM1,199 untuk empat buah kaki penyokong. Bagi mereka yang mementingkan mobiliti, roda unit Apple Mac Pro Wheels Kit dijual pada harga RM2,799 untuk empat buah roda.
Sukar untuk dipercayai bagaimana roda keluaran Apple yang dipasangkan pada komputer, hampir sama harganya dengan 4 set tayar kereta sedan standard negara kita.
5. Apple Pro Stand
Bagi kami aksesori ini adalah raja aksesori paling mengarut Apple.
Dijual pada harga yang sama dengan beberapa popular produk Apple seperti iPhone dan juga MacBook Air, Apple Pro Stand hanyalah penyokong monitor berspesifikasi tinggi Apple Pro Display XDR.
Pro Stand dijual sebagai aksesori tambahan yang boleh dibeli sekiranya seseorang membeli monitor kerana monitor itu tidak hadir dengan pemegangnya
Apple Pro Display XDR. dijual pada harga RM19,999 pada spesifikasi terendah sementara penyokongnya Apple Pro Stand pula dijual berasingan pada harga RM4,499.
Walaupun banyak pihak memuji kualiti penyokong monitor Pro Stand yang dibina oleh Apple serta kemampuannya membolehkan monitor ditukar menegak atau melintang dengan mudah, hendak tak hendak kita haruslah mengakui harganya memang luar biasa.
Ya kami tahu sasarannya bukanlah untuk pengguna biasa; lebih kepada pengguna profesional. Tetapi RM4,499 untuk penyokong monitor?
Susah untuk kami melihat bagaimana nak menjustifikasikan pembeliannya walaupun kami di Iluminasi ni semuanya berpoket lebat dan mampu beli kain buruk dari kayangan.