Salah satu kritikan paling pedas yang pernah dilakukan seorang pengurus kepada pemainnya sendiri adalah ketika seorang pemain yang penulis tidak mahu sebutkan, tidak berjaya menjaringkan gol ke dalam gawang yang terbuka. Pengurus tersebut berkata "neneknya pun mampu memasukkan ke dalam gawang, sekiranya neneknya sedang bermain." Tabiat kritikan berbentuk sebegitu, kebiasaannya dilakukan oleh penonton.
BESARKAN TEKS A- A+
Ketika sesuatu perlawanan bola sepak berlangsung di stadium, pasti ada individu-individu penyokong yang akan menjerit memaki hamun, seandainya ada peluang dilepaskan atau berlaku kesilapan. Ramai juga penyokong dengan bangganya mengatakan sekiranya dia yang bermain, sudah pastilah perlawanan itu dah berpihak kepada pasukan yang disokongnya.
Adakah benar dakwaan itu sekiranya diukur perbezaan keupayaan antara pemain bola sepak professional dan individu biasa? Berikut adalah lima contoh ciri-ciri yang diperlukan ketika perlawanan, yang membezakan pemain bola sepak bertaraf professional dan pemain amatur serta mereka yang berada di tepi padang.
1. Kelajuan dan momentum pantas sepanjang perlawanan
Dalamk sebuah pasukan professional, pemain sebenarnya mempunyai kebolehan larian yang jauh lebih tinggi berbanding pemain bola sepak amatur.
Seorang pemain penyerang professional mampu mencatat purata kelajuan larian terpantas 9.2m/s dalam satu perlawanan berbanding dengan seorang pemain amatur, yang hanya mampu mencapai 7.58m/s. Itu adalah perbezaan sebanyak 21.37 peratus hanya pada posisi penyerang.
Secara purata pada semua posisi, seorang pemain bola sepak professional mampu mencapai kelajuan 8.48 m/s sementara pemain amatur mempunyai purata terpantas 7.17 m/s. Untuk purata kelajuan manusia biasa, kebiasaannya pula 4 m/s.
2. Jarak larian yang perlu dilakukan dalam 90 minit
Bagi pemain amatur, purata seorang pemain pertahanan berlari sejauh 7.27 km dalam satu perlawanan 90 minit. Untuk pemain pertahanan professional pula, mereka secara purata perlu berlari sejauh 10.51 km dalam setiap perlawanan dan ini memberikan perbezaan 44.57 peratus dalam kadar jarak yang perlu dilakukan, antara pemain pro dan amatur.
Kajian mendapati sebuah pasukan professional lebih banyak memerlukan pemain naik ke atas bagi membantu serangan berbanding pasukan amatur, di mana pemain pertahanan lebih banyak duduk di dalam kawasan sendiri.
Jika dibandingkan dengan sukan-sukan lain kecuali acara sukan larian, sukan bola sepak memerlukan jarak larian paling panjang, dengan sukan ragbi menduduki tempat kedua. Sebagai perbandingan, rekod dunia acara maraton jarak 10 km dilakukan pada masa 26 minit 17.53 saat dan waktu yang diperlukan orang kebanyakan berlari dalam jarak 10 km adalah pada julat 45 hingga 75 minit.
3. Kuasa lompatan
Cristiano Ronaldo merupakan antara pemain yang mempunyai daya lompatan yang menakutkan. Pada posisi berdiri tegak atau 'vertical jump', dia mampu melompat setinggi 44 cm. Sekiranya dia berlari dan melompat atau 'running vertical jump', dia mampu melompat setinggi 78 cm. Sekiranya dibandingkan keupayaan beliau melompat, dia sebenarnya mampu melompat 7 cmlebih tinggi berbanding jarak lompatan purata pemain bola keranjang NBA.
Bagi tahun 2017, Cristiano Ronaldo dinobatkan sebagai atlit paling hebat dari segi kecergasan dan kekuatan badan dengan LeBron James berada di tempat kedua dan Roger Federer berada di tempat ketiga. Itu cerita pasal Ronaldo-lah.
Bagi tahap kita ni, seorang individu lelaki yang sihat secara purata mampu melompat menggunakan teknik 'running vertical jump' setinggi 40 cm sementara bagi wanita 32 cm. Berapa pula ketinggian kita boleh melompat?
4. Kemampuan mengekalkan badan pada tahap puncak
Semasa sesuatu perlawanan bertaraf professional, seseorang pemain perlu mengekalkan kadar degupan jantung mereka pada kadar purata 85 peratus keupayaan badan setiap masa dan ada ketikanya mampu mencapai 98 peratus, untuk mengekalkan tahap kecergasan mereka.
Kajian sudah membuktikan pemain bola sepak professional liga utama, seperti Serie A, EPL atau La Liga berlari pada kelajuan maksimum 28 peratus lebih tinggi berbanding pemain liga professional satu divisyen di bawah mereka.
Dalam mengukur jenis larian yang diperlukan semasa permainan pula, seorang pemain bola sepak yang secara puratany perlu berlari 10 km dalam 90 minit, berlari 6 km dalam kelajuan larian biasa, 3 km untuk larian pantas dan 1 km lagi, digunakan untuk berlari pada kelajuan maksima yang tubuh mereka mampu.
Jantung pemain secara purata berdegup sebanyak 157 bpm sepanjang perlawanan. Jika dibandingkan, kadar degupan jantung lelaki dewasa kita biasanya berada pada tahap 60 hingga 100 degupan seminit.
5. Ketahanan mental yang berada pada tahap yang lebih tinggi
Pemain bola sepak dan mana-mana atlit sebenarnya ada banyak faktor psikologi yang akan mendorong atau menghalang mereka daripada berjaya. Realitinya, kemampuan berfikir kognitif seorang atlit professional bertaraf elit sebenarnya adalah jauh lebih cepat berbanding orang kebanyakan. Namun apa yang kerap berlaku, pemain bola sepak khasnya dilihat sebagai golongan kurang cerdik kerana mereka tidak mementingkan pelajaran dalam hidup.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Current Biology mendapati mereka yang bermain sukan pada tahap professional, sebenarnya memerlukan kecerdasan otak yang jauh lebih tertekan berbanding banyak profesion lain, kecuali tentera yang dalam keadaan berperang.
Pemain bola sepak memerlukan ingatan yang baik untuk mengingat taktikal yang telah diaturkan, membuat keputusan dalam jangkamasa sangat singkat serta merancang apa akan berlaku selepas itu, serta mampu bertahan menghadapi kekalahan, kegagalan ataupun kecederaan.
Dalam perlawanan, pemain perlu berhadapan dengan pihak lawan yang mungkin akan mengutuk secara berdepan, menghina, memaki, menarik rambut atau pakaian, diludah dan juga terpaksa menanggung ejekan penonton serta jangkaan peminat di seluruh dunia.
Selain itu, kita harus ingat mereka juga berhadapan dengan banyak masalah biasa sama seperti individu lain, seperti masalah gagal menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, khasnya bagi pemain yang cuba bermain di negara lain atau kawasan lain.
Kami harap artikel ini sekurang-kurangnya membantu menjelaskan dengan lebih baik kepada anda, perbezaan sebenar di antara keupayaan sebenar seorang pemain bola sepak bertaraf professional bila dibandingkan dengan individu-individu lain, serta mengapa wujud perbezaan antara atlit elit dengan atlit biasa.
Rujukan
Gatorade Sports Science Institute