Oleh pada 06 Jun 2023 kategori

Sukan bola sepak merupakan sukan paling popular di dunia. Sukan ini telah wujud sejak puluhan tahun dahulu. Sudah tentu, sukan ini turut melalui proses revolusi dari segi cara bermain dan undang-undang permainan bola sepak itu sendiri.

Persatuan Bola Sepak England (The Football Association) telah ditubuhkan pada 1863 oleh beberapa kelab bola sepak dan persatuan ini dipercayai yang pertama menggubal undang-undang formal bola sepak yang pertama di dunia. Undang-undang ini kemudian berkembang menjadi undang-undang bola sepak yang kita kenali hari ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Urusan Undang-undang Bola Sepak dikendalikan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (International Football Association Board). Lembaga ini ditubuhkan pada 1886 dan mempunyai lapan ahli – empat wakil FIFA, empat wakil persatuan bola sepak England, Scotland, Wales dan Ireland Utara.

Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini FIFA, iaitu badan induk bola sepak antarabangsa telah memperkenalkan beberapa perubahan baru dalam permainan bola sepak atas sebab-sebab tertentu. Berikut merupakan 5 pemain yang telah menyebabkan perubahan undang-undang sedia ada bola sepak.

1. Emi Martinez

emi martinez

Bagi yang tidak tahu, sepakan penalti merupakan saat yang sangat genting dan biasanya pemain yang mengambil sepakan penalti berada di bawah tekanan untuk memasukkan bola ke dalam jaringan gol. Ketika itu, mereka perlu kekal tenang dan fokus.

Walau bagaimanapun, segelintir penjaga gol didapati cuba mengganggu psikologi pemain lawan sehingga mereka hilang fokus - menyebabkan bola yang disepak terkeluar. Ketika Piala Dunia lalu, penjaga gol Argentina, Emi Martinez atau 'Dibu' dilihat mengganggu pihak lawan secara keterlaluan.

Penjaga gol ini akan mengejek dan mengutuk pihak lawan secara keterlaluan sehingga mengganggu emosi dan fokus mereka. Akibat, peratusan baru telah menetapkan bermula 1 Julai 2022 penjaga gol tidak boleh mengganggu pihak lawan yang mengambil sepakan penalti dengan cara apa pun.

Malah, penjaga gol juga tidak boleh menyentuh tiang atau palang gol.

2. Peter Schmeichel

Seperti mana yang kita tahu, penjaga gol tidak boleh memegang atau menyentuh bola yang dihantar oleh kaki pemain mereka sendiri. Walau bagaimanapun, sekiranya pemain menghantar boleh menggunakan kepala kepada penjaga gol, penjaga gol boleh menangkap bola tersebut.

Walau bagaimanapun, ramai yang tidak tahu undang-undang ini hanya digubal disebabkan oleh Peter Schmeichel. Pada kejohanan EURO 1992, beliau menggunakan taktik membazirkan masa dengan melampau untuk menang.

Beliau akan membuat hantaran ke pemain pertahanan dan menangkap kembali bola tersebut setelah menerima kembali hantaran dari pemainnya sendiri. Tindakannya ini dilakukan secara berulang-ulang kali untuk membazirkan masa setelah pasukannya menjaringkan gol.

3. Jean-Marc Bosman

jean marc bosman 865

Pada masa kini, pemain bola sepak yang sudah tamat kontrak bebas mencari pasukan lain sebagai ejen bebas (free agent). Ini bermakna, pasukan lain boleh membayar mereka tanpa perlu membayar yuran perpindahan yang mahal kepada kelab terakhir mereka.

Tahukah anda, ketika dahulu pemain yang tamat kontrak mereka tetap tidak boleh berhijrah kepada kelab baru secara percuma. Sebaliknya, kelab lain yang berkhidmat mendapatkan khidmat pemain tersebut tetap perlu membayar yuran perpindahan kepada kelab lama sekiranya kelab tersebut tidak mahu melepaskan secara percuma. 

Jean-Marc Bosman, pemain profesional Belgium merupakan pemain pertama yang cuba melawan undang-undang mengarut dengan mengheret pasukannya ke mahkamah setelah kontraknya tamat pada tahun 1990. Setelah itu, undang-undang perpindahan pemain secara ejen bebas telah diperkenalkan.

4. Diego Forlan

diego forlan 24

Diego Forlan merupakan seorang bekas pemain bola sepak. Selain gaya permainannya yang menarik, beliau terkenal dengan tindakannya membuka baju bagi meraikan jaringannya.

Walau bagaimanapun, tindakannya itu dilihat membazirkan masa kerena pemain perlu mengambil masa beberapa saat sebelum perlawanan boleh dilangsungkan semula. FIFA tidak menggemari keadaan ini maka undang-undang sedia ada telah digubal.

Satu undang-undang telah diperkenalkan pada tahun 2004 yang menyatakan pemain tidak boleh menanggalkan baju untuk meraikan jaringan atau mereka menghadapi risiko dikenakan layangan kad kuning. 

5. Bill McCracken

bill mccracken

Pada zaman 1920-an, undang-undang ofsaid bola sepak bukanlah seperti yang kita lihat pada hari ini. Seorang pemain dianggap ofsaid melainkan tiga pemain dari pihak lawan berada di hadapannya (termasuk penjaga gol). 

Bill McCracken, seorang pemain pertahanan Newcastle merupakan seorang yang pakar dalam strategi ofsaid ini. Strategi yang dilakukannya ketika itu adalah meletakkan dirinya dan pertahanan pasukannya berhampiran dengan garisa tengah padang.

Dengan cara itu, adalah hampir mustahil bagi pemain lawan untuk melakukan hantaran kepada penyerang mereka tanpa dikenakan ofsaid. Akibatnya, purata bilangan gol berkurangan secara drastik menyebabkan undang-undang ofsaid telah digubal kemudiannya.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)