Rakyat atau orang awam dalam sesebuah negara itu sangat mengharapkan pihak polis bagi menjaga keselamatan mereka. Tiada tempat lain akan ditujui oleh seseorang jika berlaku jenayah, melainkan kepada pihak polis. Kepercayaan kepada pihak polis oleh orang awam menjadikan mereka satu organisasi yang sangat penting bagi masyarakat.
Namun, seperti badan-badan lain, pihak polis tidak dapat lari daripada gejala kotor seperti rasuah yang membuatkan integriti mereka terjejas yang menyebabkan korupsi. Dan jika korupsi ini tidak dibanteras, ia bukan sahaja menjejaskan organisasi polis itu sendiri, malah meletakkan negara tersebut dalam keadaaan bahaya.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com ingin berkongsi antara 5 negara yang mempunyai polis yang paling korup di atas muka bumi.
5. Polis Iraq
Berada di tempat ke-5 senarai polis paling korup di dunia ialah Iraq. Polis Iraq sememangnya sudah mempunyai sejarah lama mengenai korupsi. Walaupun sudah banyak dana dikeluarkan dan usaha melatih semula anggota polis bagi mengurangkan korupsi, namun ia tidak membuahkan hasil.
Polis Iraq meneruskan korupsi mereka dan terlibat dalam penculikan, pembayaran wang tebusan serta rasuah. Polis Iraq sememangnya terbukti tidak berkesan dalam mengawal keganasan di negara mereka dan tidak efisyen dalam menjaga keselamatan orang awam yang sepatutnya mereka lakukan.
4. Polis Burma
Di Burma, korupsi dan rasuah adalah satu perkara yang sangat biasa. Bagi mangsa yang melaporkan sesuatu jenayah, polis Burma akan membuatkan mangsa sendiri yang membayar kos penyiasatan jenayah. Mereka juga sangat terkenal dengan peras ugut terhadap orang awam. Disebabkan Burma diperintah oleh rejim tentera tertinggi, ia membuatkan polis Burma dan hak orang awam berada di bawah kuasa tentera.
3. Polis Kenya
Kenya berada di tangga ke-3 polis paling korup di dunia. 92% daripada rakyat Kenya mengundi bahawa polis Kenya adalah antara yang paling korup, menurut satu survey oleh Transparency International. Disebabkan itu, ramai antara mereka yang merasuah polis Kenya dalam masa setahun kebelakangan ini.
Rasuah diberikan kepada pihak polis untuk mendapatkan beberapa servis termasuklah kastam, pendidikan, pendaftaran, permit dan kesihatan.
2. Polis Mexico
Polis Mexico merupakan antara polis yang paling bermasalah dalam dunia dan semakin menjadi-jadi. Mexico City yang merupakan bandar yang diselubungi jenayah namun anggota polis Mexico hanya membuatkan keadaan menjadi semakin buruk. Disebabkan gaji anggota yang rendah, polis Mexico menggunakan korupsi sebagai sumber pendapatan, termasuklah merasuah penjenayah dan memeras ugut pelancong.
Mereka menggunakan pendekatan "plata o plomo" yang bermaksud terima rasuah ataupun dibunuh, seperti yang digunakan oleh Pablo Escobar. Polis Mexico juga bekerjasama dengan pengedar dadah bagi melindungi mereka serta membenarkan pengedaran dadah. Jenayah yang dilaporkan diabaikan dan tidak disiasat, serta memenjarakan rakyat yang tak bersalah bagi menutup kerja kotor mereka.
1. Polis Haiti
Pasukan polis yang paling korup di dunia adalah polis Haiti. Sebagai pasukan polis, amalan tak beretika oleh polis Haiti telah memberikan pengaruh yang sangat negatif terhadap budaya dan masyarakat Haiti. Polis Negara Haiti telah melanggar banyak hak asasi manusia serta termasuk melanggar undang-undang dengan menculik, mengedar dadah serta menggunakan keganasan.
Mereka juga enggan membanteras atau memberikan respon terhadap keganasan yang dilakukan oleh gangster. Selepas gempa bumi pada tahun 2010, kerosakan kepada Polis Negara Haiti menjadi semakin berkurangan namun tidak pasti sama ada ia akan bertahan atau tidak.
Rujukan : Hello Travel