Oleh pada 26 Jul 2019 kategori

Tengok askar, terus terbayang warna hijau. Sebut polis, terus tergambar warna biru. Nampak jururawat, mesti terbayangkan gadis pakai baju putih. Kenapa ya?

Pernahkah anda terfikir bagaimana bermulanya standard warna uniform dalam profesion-profesion yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat? Uniform-uniform bukan saja berjaya memberikan identiti pada pemakainya bahkan berjaya memudahkan kita mengenali tanggungjawab yang mereka tanggung dengan sangat mudah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kenapa askar pakai hijau, polis pakai baju biru dan jururawat pula pakai baju putih? Tak ke kalau kena darah, nanti cepat kotor warna putih?

1. Kenapa polis berpakaian biru?

london met police dulu

Bila kita sebut anggota polis, kita akan terbayangkan mereka berpakaian uniform biru, tak kiralah warna biru muda macam tahun 80-an dulu atau warna biru gelap yang jadi standard sekarang. Kita abaikan dulu ya fakta yang satu masa dulu pasukan PDRM pernah menggunakan uniform berwarna coklat dan biru muda, semasa menjalankan tugas kepolisian.

Sejarah kenapa baju uniform polis menggunakan warna biru gelap berpunca daripada warna uniform pasukan polis pertama di dunia iaitu London Metropolitan Police Service. Sebelum pasukan itu ditubuhkan, penjagaan keselamatan orang ramai dibuat dengan menggunakan gabungan peronda waktu malam, pasukan konstabel yang dilantik dan juga ahli tentera.

pasukan polis 80 an

Melihat situasi caca-merba ini, Sir Robert Peel melaksanakan usaha reformasi sistem keselamatan yang dinamakan 'Metropolitan Police Act 1829' dan tertubuhlah pasukan polis moden pertama dunia. Pada era tersebut, masyarakat mempunyai persepsi negatif terhadap pasukan tentera.

Mengenalpasti masalah persepsi ini,  Peel mahu agar pasukan polis lebih bersifat terbuka serta mesra masyarakat, jadi semua pegawai dibekalkan dengan uniform berwarna biru gelap yang dinamakan 'Bobbies' bagi membezakan mereka dengan anggota tentera, yang ketika itu memakai uniform berwarna merah.

Langkah pengenalan pasukan petugas polis yang sama ditiru di Amerika Syarikat pada tahun 1845, dengan warna serupa biru gelap digunakan sebagai warna rasmi pasukan polis. (rujukan)

2. Mengapakah askar berpakaian hijau?

uniform tentera zaman dulu e.

Sejarah warna uniform tentera pula agak unik. Di Britain, askar memakai uniform berwarna merah dengan kolar putih. Pasukan perang Perancis di bawah kendalian Napoleon Bonaparte mempunyai uniform yang berwarna-warni. Warna terang ini perlu bagi memudahkan komander perang melihat formasi askar secara mudah ketika peperangan. 

Selain itu, medan perang juga mudah dipenuhi asap ekoran letupan meriam atau bom yang digunakan, memerlukan askar memakai pakaian terang bagi memudahkan mereka mengenali antara satu sama lain dalam keadaan jarak penglihatan terjejas.

baju khaki british

Persoalannya, sejak bila tentera berpakaian warna hijau?

Warna-warna pudar sememangnya ada digunakan sebelum era moden, namun permulaan perubahan kepada penggunaan warna hijau pudar untuk uniform tentera bermula sekitar penghujung abad ke 19 oleh tentera British, melibatkan pasukan tentera mereka yang ditempatkan di India.

askar wataniah hijau

Pada mulanya warna coklat khaki digunakan sebelum warna hijau zaitun atau 'olive drab' diperkenalkan pada tahun 1902 melalui sut pakaian yang dinamakan Sut Servis Britain. Semenjak itu, semua negara di bawah jajahan Britain menggunakan warna hijau zaitun itu.

Bagaimanapun, beberapa negara lain masih lagi mengekalkan penggunaan warna terang pada abad ke 20, khasnya semasa perang dunia pertama seperti tentera Perancis dan Belgium. Akibat kos peperangan yang semakin tinggi serta kos pengurusan uniform yang meningkat - warna khaki yang lebih murah buatannya digunakan oleh majoriti negara yang berperang seperti Russia, Turki, Jepun dan sudah tentulah Britain. Beberapa negara lain seperti Jerman dan Itali pula menggunakan warna kelabu.

Kita semua boleh agak kenapa warna hijau pudar dipilih - ini kerana warna tersebut lebih mudah menyembunyikan askar yang memakainya kerana corak peperangan juga sudah berubah. Bagaimanapun, jawapan paling tepat kenapa kedua warna itu dipilih British adalah kerana warna hijau zaitun pudar dan coklat khaki paling cepat tidak kelihatan dalam suasana gelap, berbanding warna-warna lain.

3. Kenapa pakaian jururawat putih?

jururawat malaysua

Kerjaya jururawat sebenarnya diasaskan oleh kumpulan-kumpulan biarawati yang bertugas menguruskan mereka yang sakit di gereja. Sudah pastilah pakaian mereka tidak berwarna putih, kerana biarawati kebiasaannya memakai pakaian berwarna biru gelap atau kelabu gelap.

Berdasarkan kepada tugas yang dilakukan oleh biarawati, pakaian seragam jururawat juga berubah menjadi lebih ringkas dengan penambahan poket dan potongannya dipermudahkan untuk pergerakan. Warnanya tidak banyak berbeza, mengekalkan warna yang dipakai biarawati di gereja sebelum tiba abad ke 20.

biarawati kristian nurse jururawat

Uniform jururawat yang berwarna biru atau kelabu mula digantikan dengan uniform warna putih, bagi membolehkan uniform yang sudah digunakan dibersihkan dengan lebih sempurna.

Kisahnya, oleh kerana petugas jururawat menghadapi kesukaran membersihkan uniform mereka, warna putih dicadangkan sebagai standard - kerana hanya warna putih boleh diletakkan peluntur bagi membunuh kuman tanpa terjejas warnanya. 

Ekoran kebangkitan pergerakan feminis yang muncul sekitar era 1960-an, pemakaian warna putih oleh jururawat dikritik sebagai satu usaha mengawal dan merendahkan taraf golongan wanita bekerja. Atas desakan ini, warna-warna uniform lain diperkenalkan bagi memuaskan hati semua pihak sebelum pakaian jururawat dibeberapa negara digantikan dengan pakaian 'scrubs' ala doktor bedah yang lebih ringan dan selesa.Di negara kita, pemakaian uniform jururawat formal masih lagi dilakukan kecuali dalam situasi tertentu, khasnya di hospital kerajaan.

 




Hakcipta iluminasi.com (2017)