Terlalu banyak kes melibatkan keganasan polis berlaku di Amerika Syarikat, walaupun dalam masa yang sama kerajaan mereka sibuk nak jadi polis dunia.
Setiap tahun pasti ada kes baru dilaporkan melibatkan mangsa sama ada yang cedera ringan, cedera berat atau lebih malang, mengalami kematian. Sudah dilapor media mereka terlalu tinggi nilai pampasan yang perlu dibayar kerajaan negeri yang dipercayai sudah mencecah billion ringgit atas semua kesalahan.
BESARKAN TEKS A- A+
Di antara banyak kes yang berlaku, beberapa kes menampakkan keunikan. Mangsanya datang bukan dari golongan dewasa, sebaliknya turut melibatkan kumpulan OKU dan kanak-kanak bawah umur; yang menjadi mangsa kesilapan atau kerakusan.
1. Joseph Hamley
Joseph Hamley sedang mencari jalan pulang pada 7 Mac 2006 selepas sesat, sambil bermain dengan bola yang disimpan dalam poketnya. Walaupun tampak dewasa, tahap mental Hamley terjejas berikutan 'cerebral palsy' yang dihadapinya.
Kelakuan aneh Hamley mundar-mandir membuatkan seorang pengguna jalan raya melakukan laporan polis. Kumpulan peronda polis tempatan hadir pantas, mengarahkan agar Hamley baring meniarap di atas tanah.
Hamley yang tidak faham arahan itu baring terlentang sebelum diminta mengangkat tangan.
Tetapi Hamley memasukkan tangannya ke dalam poket; dianggap sedang cuba mencapai senjata senjata - hanya dalam perbicaraan diketahui itu adalah tabiatnya ketika dia rasa gementar.
Salah seorang peronda bernama Larry Norman melakukan tembakan menggunakan senapang patah, membunuh Hamley ditempat kejadian bimbang dengan ancaman yang ada di depan matanya.
Siasatan berjaya menemui pengakuan bahawa pihak polis tersilap menyangkakan Hamley adalah seorang banduan yang baru saja dilaporkan terlepas.
Waris Hamley dianugerahkan $1 juta sebagai pampasan, sementara Norman pula hanya dipenjarakan selama 54 hari dan denda $1,000.
2. Jeremy Mardis
Jeremy Mardis seorang kanak-kanak autistik yang baru berusia 6 tahun, sedang dalam perjalanan pulang bersama ayahnya Christopher Few pada 3 November 2015.
Few pada ketika itu baru saja bertengkar dengan tunangannya disebabkan dakwaan tunangnya ada hubungan dengan lelaki lain.
Dipengaruhi emosi yang tidak stabil, Few diekori sebuah peronda yang mengarahkan dia berhenti. Dia enggan memberhentikan kereta memaksa pasukan peronda yang mengekorinya mengejar sejauh 3.5 km, sebelum tiba di sebuah jalan mati.
Few memberhentikan keretanya lalu mengangkat tangan.
Hasil rakaman video kamera badan yang ditayangkan dalam mahkamah, menunjukkan pasukan polis yang mengekori kenderaan milik Few melepaskan tembakan sebanyak 18 das, dua mengenai Few dan empat terkena pada anaknya yang tidak disangka ada di tempat duduk penumpang depan.
Mardis mati ditempat kejadian, sementara ayahnya pula terselamat walaupun kritikal.
Dalam insiden tersebut melibatkan empat anggota, hanya dua melepaskan tembakan, 14 das daripadanya ditembak Derrick Stafford; selebihnya oleh seorang lagi bernama Norris Greenhouse Jr.
Stafford dihukum penjara 40 tahun sementara Greenhouse pula dihukum 7 tahun, tetapi telah pun dibebaskan selepas hukumannya diringankan. Punca semua kejadian ini?
Greenhouse dikatakan individu yang menjalin hubungan dengan tunang ayah Mardis.
3. Otto Zehm
Pada 20 Mac 2006, Otto Zehm seorang lelaki dewasa yang mengalami masalah kecacatan mental meneruskan rutin hidupnya setiap hari, pergi bekerja sebagai seorang tukang cuci dan pulang.
Setiap kali pulang, Zehm akan hadir ke sebuah mesin ATM bagi mengeluarkan duit dan membeli minuman soda di kedai berhampiran.
Gerak-geri Zehm pasti akan menimbulkan keanehan pada mereka yang tidak mengenali dia, membuatkan dua orang wanita melakukan laporan polis; bimbang Zehm akan bertindak merompak mesin ATM tersebut.
Zehm yang tidak menyedari dirinya sedang diperhati dan dilaporkan, berjalan kaki ke kedai membeli minuman mengikut rutinnya.
Di dalam kedai itulah anggota polis bertindak menahannya, namun Zehm yang terpinga-pinga gagal menurut arahan dengan betul.
Ini menyebabkan anggota polis menyerang beliau dengan kayu baton dan taser selepas arahan supaya menyerah diri diabaikan Zehm, sebelum Zehm digari dan dibiarkan terbaring meniarap selama 15 minit.
Anggota polis mula menyedari kesukaran dia bernafas.
Pihak polis akhirnya berjaya mendapatkan topeng pernafasan tetapi malangnya topeng itu tidak disambungkan ke bekalan oksigen, menyebabkan pernafasan Zehm terhenti dua minit kemudian.
Pegawai yang memukul kepala Zehm berulang kali, Karl Thompson hanya mula dibicarakan pada tahun 2011, 5 tahun selepas kejadian berlaku.
Thompson dijatuhkan hukuman penjara 51 bulan dan telahpun dibebaskan pada tahun 2016. Perbicaraan itu turut mendedahkan bagaimana pihak polis di daerah tersebut cuba menutup kes dan memalsukan bukti, demi melindungi rakan sejawat mereka.
Zehm dilaporkan meninggal dunia kerana bekalan oksigen kepada otaknya terputus.
4. Johnny Robinson
Pada 15 September 1963, berlaku insiden pengeboman gereja yang dikunjungi masyarakat kulit hitam di Birmingham, Alabama, dipercayai didalangi ahli kumpulan Ku Klux Klan - membunuh empat orang kanak-kanak kulit hitam sementara 22 lagi cedera.
Insiden itu menyebabkan masalah perkauman mula marak, sehinggakan konfrontasi antara etnik berlaku secara terbuka.
Johnny Robinson sedang melepak di sebuah stesen minyak bersama rakan-rakannya 6 jam selepas insiden pengeboman, sebelum diganggu beberapa kumpulan anak muda kulit putih lain yang mula mengutuk komuniti kulit hitam tanpa rasa malu.
Sebagai tindak balas, Robinson dan rakan-rakannya membaling batu ke arah kumpulan pengacau mengakibatkan laporan polis dibuat.
Sebuah kereta peronda hadir ke tempat kejadian, dengan petugas bernama Jack Parker membuka tingkap mengacukan senapang patah. Robinson dan rakan-rakannya yang takut, cuba melarikan diri.
Dua das tembakan dilepaskan, membunuh Robinson di tempat kejadian sementara rakan-rakannya yang lain selamat.
Mahkamah bagaimanapun gagal mensabitkan kesalahan ke atas Parker; membolehkan dia terlepas daripada hukuman.
5. Aiyana Jones
Cubaan untuk pasukan unit tindakan khas polis Detroit menangkap suspek berakhir dengan tragedi menyayat hati.
Dalam insiden yang berlaku pada awal pagi 16 Mei 2010, pasukan khas itu menyerbu masuk sebuah unit pangsapuri sebelum membaling suar cahaya atau 'flashbang'.
Menyedari selimut yang menutupi cucunya Aiyana Jones telah terbakar disebabkan suar yang jatuh di atasnya, Mertilla Jones cuba memadamkan api yang pada ketika itu belum marak.
Situasi kelam kabut yang terhasil akibat letupan cahaya, turut menyebabkan salah seorang anggota polis bernama Joseph Weekley hilang hala tuju, mengakibatkan dia bertindak menembak apa yang dirasakan sebagai ancaman.
Salah satu peluru tembakan senapang MP5 milik Weekley mengenai Aiyana yang sedang keliru dengan kekecohan yang berlaku, tepat di kepalanya membunuh anak kecil itu yang sedang nyenyak tidur tak lama sebelum itu.
Satu fakta yang sangat menyedihkan - pasukan polis itu sebenarnya menyerbu rumah yang salah, kerana suspek sebenar tinggal di unit atas kediaman yang didiami Aiyana serta neneknya.
Ironinya, semua kejadian yang terjadi direkodkan oleh petugas media, bagi pembikinan drama realiti berkisarkan operasi polis.
Kes ini diisytiharkan selesai pada 4 April 2019, selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan nilai pampasan sebanyak $8.25 juta, dibayar kepada keluarga waris.