Sebut Seattle, peminat muzik akan membayangkan bagaimana negeri tersebut menjadi tempat bermulanya gerakan yang dilabelkan sebagai 'Seattle Sound' yang akhirnya memberikan impak besar pada dunia.

Pengaruh dan budaya Seattle di Amerika Syarikat serta masyarakat dunia, sebenarnya bukan sekadar terhad dalam industri muzik sahaja. Starbucks dan Microsoft juga berasal dari sana! Nak kami senaraikan terlalu banyak rasanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seattle amat terkenal di kalangan masyarakat Amerika Syarikat sendiri, sebagai komuniti yang kreatif dan senantiasa mencuba sesuatu yang baru. Tahukah anda pada ketika ini - komuniti Seattle telah berjaya memulakan apa yang layak dikategorikan sebagai 'zon bebas' dalam negara mereka?

Visi kewujudan komuniti bebas polis

seattle chop area kawasan autonomi

Ekoran daripada insiden pembunuhan George Floyd yang mengakibatkan kebangkitan besar-besaran warga Amerika Syarikat yang anti kekejaman polis, beberapa kawasan di negara tersebut mula mengalami gelombang perubahan ketara.

Ura-ura tentang usaha konkrit mahu menamatkan terus keperluan wujudnya sistem kepolisian di beberapa kawasan dibincangkan secara serius, dengan kumpulan ahli jawatankuasa majlis perbandaran Minneapolis misalnya sedang giat menjalankan usaha dan kajian, bagi menutup terus sistem polis di sana.

Bunyinya agak radikal, namun nampaknya idea agar 'Amerika Syarikat bebas polis' telah menjadi antara slogan paling diterima penyokong gerakan ini.

acab all cops are bastard new america

Jika di Minneapolis perubahan yang cuba dilakukan, dilakukan dengan berlandaskan kepada perubahan sistem dan birokrasi; di Seattle pula jauh lebih radikal tindakan mereka.

Satu kawasan di Seattle yang kini dinamakan sebagai Free Capitol Hill, Capitol Hill Autonomous Zone (CHAZ) atau nama barunya Capitol Hill Organized Protest (CHOP) telah berjaya membuka sebuah zon di mana semua orang di dalamnya bebas untuk melakukan apa saja, tanpa ada ancaman daripada pihak polis.

Apabila kuasa autonomi dirampas oleh orang ramai

seattle autonomous zone has a border wall

Disebabkan oleh rusuhan yang melanda banyak tempat di Amerika Syarikat, Seattle juga mengalami nasib serupa apabila penunjuk perasaan terpaksa berhadapan dengan kekangan pihak polis, yang menggunakan taktik agresif.

Selepas beberapa hari tunjuk perasaan di Capitol Hill berdepan dengan polis, akhirnya polis bertindak mengosongkan kawasan tersebut termasuklah bangunan balai polis yang terletak di East Precinct, milik Seatlle Police Department (SPD).

Setakat ini belum jelas kenapa SPD bertindak mengosongkan kawasan tersebut, disebabkan oleh banyak kekeliruan yang timbul. Ada pihak mendakwa arahan pihak atasan dikeluarkan bagi melindungi keselamatan anggota polis sendiri.

Ada juga beberapa pihak mendakwa mereka menerima arahan untuk mula bertugas di West Precinct oleh panggilan telefon individu yang mereka dakwa kenali.

Apa yang penting, kekeliruan ini menyebabkan wujudnya peluang untuk penyokong dan penunjuk perasaan yang telah berkumpul mengambil alih bangunan East Precinct SPD sepenuhnya serta mewujudkan perimeter di sekeliling kawasan tersebut, bagi menghalang pencerobohan dilakukan.

Mendapat sokongan Datuk Bandar Seattle

capitol hill seattle mayor jenny durkan trump

Reaksi kerajaan pusat Amerika Syarikat terhadap pengambil alihan kawasan tersebut, berbunyi sangat keras. Presiden Donald Trump menyifatkan usaha penduduk Seattle mendirikan perimeter serta mengusir keluar polis adalah tindakan pencinta gerakan anarki.

Pendapat ini bagaimanapun disanggah secara tersirat oleh Datuk Bandar Seattle, Jenny Durkan yang menyifatkan tindakan komuniti Seattle mewujudkan CHOP adalah selari dengan perkara satu dalam perlembagaan negara mereka, yang menjamin hak dan kebebasan setiap individu.

Berikutan kerjasama yang wujud antara kerajaan tempatan dan pihak yang menguasai kawasan tersebut, pihak majlis perbandaran turut bekerjasama membantu mendirikan tembok-tembok batu mengelilingi kawasan 'milik mereka', diperbuat daripada konkrit dan kayu.

seattle chop area

Selepas perbincangan pada 12 Jun 2020 di antara pihak Datuk Bandar, ketua polis dan majlis perbandaran dijalankan, pihak penyokong CHOP bersetuju dengan arahan Jenny Durkan untuk membuka perimeter kurungan yang ada; bagi membolehkan pasukan kecemasan khasnya ambulans dan pasukan perubatan masuk.

Ini disebabkan oleh aduan yang dilakukan pemilik-pemilik kediaman serta premis dalam kawasan tersebut yang bimbang dengan keselamatan mereka, selepas tindakan penunjuk perasaan berisiko untuk menjadi semakin liar.

Bagaimanapun, anggota polis masih lagi tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan yang telah mereka kuasai, dengan penunjuk perasaan sendiri bekerjasama menghalang petugas polis yang cuba masuk dengan batang tubuh mereka.

Kematian pertama dalam 'wilayah merdeka Capitol Hill'

permintaan penduduk chop

Pada 20 Jun 2020, kematian pertama melibatkan orang awam telah pun dilaporkan di CHOP, dengan mangsa adalah seorang pemuda berusia 19 tahun. Pemuda itu meninggal dunia selepas tiba di hospital sekitar jam 2.20 pagi 20 Jun 2020.

Insiden kedua pula berlaku setengah jam selepas itu, melibatkan seorang mangsa tembakan berusia 33 tahun yang kini berada dalam keadaan kritikal.

Dua insiden pembunuhan itu yang sehingga setakat ini gagal dikenalpasti siapa pelakunya mula menyebabkan penduduk sebenar Capitol Hill lebih resah, menyalahkan pihak kerajaan khasnya Datuk Bandar kerana gagal bertindak lebih keras terhadap kumpulan penyokong Black Lives Matter; yang dikatakan menjadikan mereka tebusan dalam kawasan kediaman mereka sendiri.

Datuk Bandar Jenny Durkan hanya mengeluarkan kenyataan rasmi 40 jam selepas dua insiden tersebut, menyifatkan perbincangan di antara pihak beliau, polis dan majlis perbandaran dengan ketua kumpulan penunjuk perasaan masih lagi sedang diusahakan.

Penduduk Capitol Hill menyifatkan apa yang sedang berlaku ketika ini sudah tidak lagi layak dianggap sebagai tunjuk perasaan, sebaliknya jika tidak dikawal - akan merebak menjadi satu perkara lebih buruk dan mereka yang tidak terlibat, akan menjadi mangsa.

Pihak penunjuk perasaan pula menyifatkan insiden pembunuhan yang berlaku adalah disebabkan perang antara kumpulan samseng. Mereka tetap berkeras akan terus menguasai Capitol Hill selagi mana permintaan mereka tidak dipenuhi.

Rujukan

Mayor issues statement on deadly CHOP shooting




Hakcipta iluminasi.com (2017)