Semua perniagaan mahu menjana keuntungan namun untuk mencapai tujuan itu, bukanlah sesuatu yang mudah - ada kalanya memerlukan pihak peniaga menjana kerugian terlebih dahulu untuk kembali untung di masa hadapan.
Teknik perniagaan yang dikenali dengan istilah 'loss leader' atau 'pemula kerugian' adalah satu teknik yang sering diamalkan syarikat, tak kiralah kecil atau besar dalam menarik minat pelanggan bersandarkan kepada kerugian awal.
BESARKAN TEKS A- A+
Kerugian yang perlu ditanggung memang disengajakan dengan harapan agar pembeli akan kekal komited atau menambah pembelian lain, seraya menutup kerugian bagi membolehkan keuntungan walau sedikit pun dijana.
Berikut adalah 5 teknik 'loss leader' paling berkesan yang masih diamalkan, sehingga mengakibatkan kerugian pada syarikat.
1. Pisau cukur Gillette
Gillette merupakan antara nama paling terkenal dalam membicarakan berkenaan taktik perniagaan ini - kerana mereka antara syarikat paling berjaya dalam pelaksanaannya.
Kisahn popular menceritakan berkenaan pengasas kepada jenama Gillette, King Gillette menggunakan taktik menjual batang pemegang pisau cukur pada harga sangat rendah, sehinggakan syarikatnya perlu menanggung kerugian - untuk memperkukuhkan jumlah pengguna pisau cukur yang berulang.
Idea untuk menjual batang pisau pada harga rugi itu sebenarnya bukanlah idea asal Gillette, namun dia adalah individu yang berjaya menjalankan model itu secara besar-besaran seterusnya memperkembangkan perniagaannya menjadi empayar yang ada ketika ini.
Konsep yang dipopularkan Gillette ini diikuti dan diubahsuai oleh pengeluar produk-produk lain, bagi membolehkan rutin pengguna dibentuk agar setia dengan satu jenama atau produk semata-mata.
2. Konsol permainan video
Setiap kali generasi permainan video generasi baru dilancarkan, kebiasaannya syarikat-syarikat pengeluar konsol seperti Sony dan Microsoft perlu menanggung kerugian untuk setiap unit terjual.
Semakin baru dan unik yang dipasangkan ke dalam setiap konsol, semakin tinggilah kerugian yang ada disebabkan kos teknologi baru yang akan dipasangkan.
Kisah pelancaran Sony Playstation 3 pada tahun 2006 menjadi antara kisah paling popular - kerana kos kerugian ditanggung Sony ketika itu amat tinggi; sekitar RM980 untuk setiap satu unit disebabkan pertambahan teknologi pembaca cakera Blu-Ray dan prosesornya yang dibangunkan sendiri oleh Sony.
Hanya 4 tahun selepas pelancarannya sekitar penghujung tahun 2010, Sony mengumumkan mereka sudah mula mampu menjana keuntungan bagi menampung kos pembinaan konsol tersebut.
Walaupun teknik 'loss leader' ini diamalkan secara meluas dalam pemasaran konsol moden, kebiasaannya kerugian dapat ditampung selepas setahun atau dua tahun pelancaran dengan penjualan perisian.
Sony Playstation 3 menjadi antara teknik 'loss leader' berisiko tinggi yang hampir merugikan Sony dan syarikat itu nampak mengambil pengajaran mereka, semasa membangunkan generasi konsol mereka seterusnya.
3. Aplikasi mobil
Sekarang ini banyak model perniagaan aplikasi dan perisian berbentuk digital, baik untuk kegunaan komputer mahupun mobil - dibangunkan dengan sistem 'loss leader.'
Aplikasi akan dibangunkan, diedarkan secara percuma tanpa sebarang kos kepada pengguna dalam bentuk 'freemium' (urgh!) dengan harapan pengguna aplikasi akan membayar semula kos pembangunan perisian melalui pembelian dan transaksi.
Model perniagaan ini sangat bergantung kepada 'ketagihan' pengguna untuk kekal komited dan hasilnya terbukti benar-benar berjaya; khasnya melibatkan aplikasi mobil.
Aplikasi permainan video 'Pokemon GO' yang diedarkan secara percuma berjaya menjana pulangan setakat ini sebanyak RM19.8 billion lebih selepas dilancarkan tahun 2016. Sementara judul keluaran Jepun 'Monster Strike' menjadi judul menjana kutipan tertinggi sebanyak RM33.9 billion keseluruhan sejak 2013.
4. Mesin kopi Nestle
Salah satu trend terbaru yang dilihat semakin berkembang, adalah penjualan mesin pembancuh kopi peribadi daripada beberapa jenama terkenal seperti Nescafe yang kini menjadi trend penggemar kopi di negara kita.
Minat orang ramai untuk menggirup kopi yang seakan-akan baru dibancuh membuatkan Nestle melancarkan beberapa mesin kopi khas, untuk memenuhi permintaan ini bergantung kepada sasaran pasaran.
Mesin-mesin kopi bancuhan automatik Nescafe itu dibina oleh syarikat Delonghi dari Itali, dijual pada harga subsidi yang jauh lebih murah berbanding mesin serupa jenama sama - yang dijual 3 ke 4 kali ganda harganya.
Untuk pengguna yang sudah komited membeli mesin bancuhan pada harga ratusan ringgit bagi mendapatkan kualiti yang dicari-cari, mereka akhirnya akan kekal melanggan kapsul-kapsul kopi yang dijual dan disinilah keuntungan sebenar untuk Nestle diperolehi.
5. Laman web Amazon
Pengasas Amazon, Jeff Bezos ketika ini merupakan individu terkaya di dunia - dianggarkan dirinya saja mempunyai nilai kekayaan setinggi RM824.7 billion. Itu menyamai perbelanjaan bajet negara kita untuk hampir 3 tahun!
Untuk mencapai tahap itu, sesuatu yang sukar perlu dihadam beliau dalam membangunkan empayar perniagaan beliau - dia terpaksa bertahan menjalankan perniagaannya sejak mula berada dalam situasi rugi....selama 6 tahun.
Bermula daripada penjualan buku dari garaj rumahnya, Bezos memperkembangkan Amazon dengan mula menambah penjualan cakera padat sebelum produk-produk lain mula dijual dalam laman web beliau.
Semasa penjualan saham terbitan awam (IPO) Amazon berlaku pada tahun 1997, syarikat itu sebenarnya sedang menanggung kerugian dan trend itu kekal sehinggalah tahun 2001.
Ini menyebabkan ramai pemegang saham syarikat itu putus harapan selepas melihat nilai sahamnya jatuh menjunam, mengakibatkan penjualan saham Amazon mula berlaku. Mereka yang kekal dengan Amazon hanya mendapat khabar gembira pada awal bulan Januari tahun 2002 - apabila Amazon mengumumkan sedikit keuntungan.
Apa yang unik, model ini sedikit sebanyak dikekalkan Amazon walaupun ketika ini mereka sudah menjadi gergasi jualan dalam talian, Bezos kekal dengan strateginya.
Amazon diwajibkan perlu kekal untuk tidak takut rugi, dalam memastikan kehendak pelanggan dipenuhi, memperbesarkan lingkungan pelanggan setia dan memastikan pelanggan yang ada tidak beralih kepada pesaing lain.