Amazon menjadi salah satu syarikat yang kebangkitannya kerap dijadikan contoh bagaimana untuk memulakan sebuah model perniagaan yang unik serta relevan dalam pasaran.
Bermula sebagai sebuah syarikat kecil menjual buku, Amazon yang diasaskan oleh Jeff Bezos kini merupakan gergasi terulung gedung perniagaan dalam talian, meletakkan Bezos sebagai individu paling kaya di dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, persepsi cantik Amazon mula dipalit kisah-kisah buruk yang kerap kali dikongsikan khasnya berkait cara mereka melayan pekerja mereka.
Bagaimanapun, kisah yang baru saja didedahkan besar kemungkinan mampu merajai takhta sebagai taktik paling keji amalan Amazon dalam memastikan kedudukan mereka sebagai peneraju, tidak mampu dicabar.
Perkembangan pesat yang sangat agresif
Taktik Bezos dalam membesarkan jaringan perniagaan syarikat miliknya sangat cermat, dilakukan satu per satu peringkatnya.
Bermula dengan jualan buku dalam talian, Amazon tidak gopoh menambah produk, sebelum mula menawarkan jualan DVD dan VCD dalam senarai jualan mereka. Beberapa tahun kemudian barulah Amazon mula menjual barangan elektronik, permainan dan barangan kelengkapan rumah.
Di sebalik perkembangan teratur yang dirangka secara strategik, Bezos serta pasukannya sebenarnya turut sama mencatur gerakan terancang dalam memastikan pesaing-pesaing mereka terkubur, tidak lagi mampu mencabar kedudukan mereka - tak kiralah syarikat besar atau syarikat kecil sekalipun.
Gergasi melawan gergasi adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan, tetapi langkah yang diamalkan Amazon tidak mengira saiz lawannya; semua pesaing perlu diketepikan.
Itulah yang berlaku kepada beberapa syarikat pengeluar produk kecil-kecilan yang akhirnya habis dimusnahkan perniagaan mereka oleh Amazon.
Apa yang menakutkan - syarikat-syarikat kecil ini adalah peniaga setia dalam Amazon sendiri!
Kaji, tiru dan hancurkan!
Taktik biasa yang diamalkan oleh Amazon dalam menghancurkan pesaing mereka, adalah dengan menubuhkan satu kumpulan khas untuk mengkaji mana-mana produk yang berjaya dalam pasaran Amazon.
Pasukan itu akan meneliti keseluruhan aspek perniagaan penjual itu, bagaimana penghasilannya, taktik pemasarannya serta kelebihan produknya.
Selepas kajian yang dijalankan selesai serta laporan dibentangkan, produk-produk yang dikenalpasti berpotensi tinggi akan disenaraikan...
...untuk dihasilkan semula oleh Amazon!
Begitulah yang berlaku kepada sebuah syarikat kecil bernama Pirate Trading LLC, yang memulakan perniagaan mereka dalam Amazon menjual peralatan audio visual untuk tempoh lebih 10 tahun.
Dalam tempoh tersebut, Pirate Trading berjaya mencatatkan angka jualan lebih RM14.22 juta untuk sebuah model tripod kamera hasil keluaran sebuah kilang yang tidaj dinamakan, menjadi produk paling laris mereka di Amazon.
Menyedari potensi yang ada, pasukan Amazon berjaya mengenalpasti kilang pengeluar tersebut, melakukan perjanjian kerjasama penghasilan model tripod serupa untuk dijual dibawah jenama Amazon Basics bermula tahun 2011.
Disebabkan kuantiti permintaan Amazon yang lebih tinggi, kos pembikinan lebih rendah membolehkan Amazon menjual tripod tersebut pada harga lebih murah.
Sekiranya Pirate Trading ingin menandingi harga tersebut, mereka akan menanggung kerugian.
Tidak cukup dengan itu pada tahun 2015 - Amazon menghantar notis agar Pirate Trading berhenti menjual model tripod tersebut di Amazon, atas dakwaan melanggar hak cipta produk di bawah jenama Amazon.
Enggan mengalah kerana tahu mereka tidak melakukan kesalahan, Pirate Trading cuba berkeras namun Amazon mengambil jalan mudah membekukan jualan tripod jualan Pirate Trading atas dakwaan produk ciplak.
Kini pengasas Pirate Trading tidak lagi terlibat dalam urusniaga perniagaan dalam talian, sebaliknya berkecimpung sebagai ejen hartanah.
Melumat dan menghancurkan pesaing
Kisah seperti di atas bukannya berlaku sekali dua, sebaliknya merupakan satu amalan biasa bagi Amazon.
Selain Pirate Trading, antara mangsa taktik serupa adalah sebuah syarikat kasut terkenal di Amazon bernama Allbirds Inc.
Seperti Pirate Trading, kasut keluaran Allbirds mendapat sambutan hangat sehinggakan dalam tempoh Allbirds dimulakan pada tahun 2016 hingga 2018, nilai syarikat itu naik mencecah nilai $1.4 billion (RM5.7 billion).
Kasut mereka popular disebabkan oleh faktor keselesaannya serta inisiatif pengeluarnya menggunakan bahan-bahan terpakai.
Idea penghasilan dan rekaan Allbirds memang pada awalnya dijangka akan dicedok oleh pengeluar lain oleh pengeluarnya, namun pengasas Allbirds tidak menjangkakan Amazon sendiri akan melakukannya.
Di bawah label kasut 206 Collective milik Amazon, jenama itu mula mengeluarkan kasut yang hampir serupa dengan produk paling popular keluaran Allbirds dengan harga hampir 3 kali ganda lebih murah tanpa penggunaan bahan kitar semula.
Apa yang lebih menyakitkan hati, enjin carian Amazon mula menghubungkan pengguna yang mencari kata carian 'Allbirds' kepada kasut di bawah jenama 206 Collective.
Kontroversi yang timbul serta dakwaan ke atas Amazon ditepis dengan mudah, menggunakan alasan bahawa adalah menjadi sesuatu amalan normal sebuah produk popular memberikan inspirasi kepada jenama lain untuk ditiru.
Menyedari tindakan saman hanya memakan masa dan wang ringgit, Allbirds mengambil pendekatan berbeza membuka paten penghasilan kasut tersebut kepada orang awam.
Ini diharap agar menggalakkan lebih banyak pihak mampu mengusahakan penghasilan produk kasut menggunakan hampas tebu, berdasarkan kepada teknologi yang telah mereka bangunkan sebelum itu.
Yang melucukan, pengasas jenama Allbirds menulis sepucuk surat kepada Jeff Bezos merayu agar Bezos dan Amazon untuj meniru teknik kitar semula yang telah dipelopori mereka, dalam penghasilan kasut di bawah jenama 206 Collective.
Gergasi yang tiada kawan
Dua kisah di atas hanyalah sebahagian kecil daripada kisah-kisah buruk, yang telah menimpa banyak peniaga di Amazon sebelum ini hasil kerakusan mereka sendiri.
Disebabkan monopoli yang dimiliki oleh Amazon khasnya apabila melibatkan ruang niaga digital di Amerika Syarikat dan Eropah, tindakan-tindakan sebegini telahpun memberikan kesan besar kepada banyak pengeluar produk yang perlu bergantung kepada skop pasaran besar dimiliki Amazon.
Banyak perkongsian di internet dan media sosial memuji tindakan kerajaan Indonesia membuka pintu kepada Amazon untuk bertapak di negara itu, yang diramalkan akan bermula pada tahun 2021 atau 2022.
Langkah itu bakal menjadikan Indonesia sebagai hab Amazon bagi pasaran Asia Pasifik.
Tindakan ini dilihat akan membantu mempercepatkan lagi proses pengurusan pesanan meliputi pengguna di rantau ini, yang sebelum ini seringkali dibebani kos penghantaran tinggi serta kelewatan penghantaran pesanan.
Dari aspek kepenggunaan, pembukaan hab Amazon di Indonesia perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif.
Tetapi seandainya Amazon mengulangi langkah serupa terhadap produk atau perniagaan anda di masa hadapan sekiranya anda peniaga gedung Amazon, seperti apa yang telah dilakukan ke atas Pirate Trading atau Allbirds - bagaimana pandangan anda?
Adakah langkah itu perlu dilihat sebagai norma dalam perniagaan, di mana pesaing perlulah bersedia dengan segala bentuk ancaman?
Atau sesuatu yang tidak sihat, membunuh minat masyarakat tempatan untuk cuba berniaga secara kecil-kecilan?
Rujukan