Oleh pada 28 Oct 2017 kategori

Nabi Adam as. merupakan khalifah pertama yang diturunkan di muka bumi bersama pasangannya, Hawa.

Pasti ramai di antara kita yang menganggap turunnya Adam dan Hawa ke bumi, adalah kerana mereka berdua melanggar larangan Allah swt. akibat memakan buah khuldi akibat hasutan syaitan.

Ada beberapa perkara berkaitan kisah Nabi Adam as. ini yang sebenarnya wujud banyak kekeliruan di antara kita dan kami harap hari ini, kami dapat menjelaskan serba sedikit berkenaan kisah manusia pertama ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Jika Adam tidak dibuang ke bumi, kita akan terus hidup dalam syurga

pemandangan yang cantik

Salah satu mitos paling kuat berlegar berkenaan turunnya Adam as. ke bumi, adalah disebabkan oleh hukuman yang dikenakan ke atas mereka oleh Allah swt. sehinggakan ada yang beranggapan jika Adam dan Hawa tidak terpedaya pengaruh syaitan, manusia akan masih kekal di syurga.

Jawapan kepada persoalan ini terkandung dalam ayat ke 30 surah al-Baqarah, yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".

Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?".

Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Ayat ini menerangkan memang sejak mula penciptaan Adam lagi telah ditetapkan yang Adam as. akan diturunkan untuk menjadi khalifah di bumi jadi persoalan adakah Adam dan Hawa akan terus kekal di syurga, sepatutnya tidak ditimbulkan. Adam sudahpun dipenuhi dengan ilmu yang diperlukan untuk dia menjadi khalifah ketika masih di Syurga.

2. Mitos buah khuldi

pokok di tengah padang

Adakah anda mengetahui nama pokok larangan yang buahnya dimakan oleh Adam dan Hawa itu, sebenarnya tidak mempunyai sebarang nama?

Khuldi sebenarnya adalah nama yang diberikan sebagai gelaran untuk merujuk kepada pokok larangan itu oleh Iblis untuk memujuk Adam dan Hawa supaya melanggar perintah Allah swt. Dalam al-Quran hanya terkandung satu ayat merujuk kepada 'buah khuldi' dalam ayat 120 surah at-Thaha;

"Lalu syaitan membisikkan fikiran yang jahat kepadanya dengan katanya: “Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pokok khuldi (hidup kekal) dan kerajaan yang tidak akan musnah?“

Khuldi itu membawa makna hidup kekal atau eternity dalam bahasa Inggeris. Gelaran khuldi itu bukanlah nama sebenar pokok itu tetapi hanyalah pembohongan Ibilis untuk merosakkan pegangan Adam dan Hawa ketika itu.

3. Hawa yang pujuk Adam

lego patung

Ini mitos paling kerap disebarkan dan paling bahaya, sehinggakan ramai di antara kita menggunakan kepercayaan ini sebagai satu hujah untuk membuktikan wanita perlu diawasi.

Hujahnya mudah sahaja. Rujuk balik pada ayat ayat 120 surah at-Thaha yang dinyatakan di atas berkenaan kisah ini, sudah jelas tidak wujud sebarang bukti yang mengatakan Hawa yang memujuk Adam untuk melanggar perintah Allah swt.

Tidak cukup dengan itu, dalam surah al-A'raf ayat 20 juga dinyatakan;

"Lalu syaitan menghasut mereka berdua (memakan buah pokok larangan) dengan tujuan untuk mendedahkan aurat mereka yang selama ini terlindung dari mereka, lalu ia berkata:

Tuhan kamu tidak melarang kamu mendekati pokok ini melainkan supaya kamu tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi dari kalangan mereka yang hidup kekal abadi."

4. Asal-usul kepercayaan Hawa yang memujuk Adam

ular melingkari epal

Kepercayaan itu datangnya daripada kisah Adam dan Eve melalui kitab Bible, di mana diceritakan dalam Bible, Iblis datang menyerupai ular lalu memujuk Eve (Hawa) untuk memakan buah larangan itu.

Dengan menggunakan pujuk rayu untuk memujuk Hawa dengan menjanjikan kekuasaan yang sama seperti Tuhan, selepas memakan buah larangan, membuatkan Eve tergoda melihat pokok larangan yang dikatakan rupanya cantik dengan buah-buahan yang segar.

Sehingga kini, wujud pelbagai perbincangan tentang isu ini dalam pengkaji agama Kristian yang mempunyai bermacam pandangan tentang adakah Eve berseorang semasa dipujuk Iblis atau Adam ada bersamanya? Adakah Eve yang makan terlebih dahulu kemudian Adam?

Hujah paling kuat menyalahkan Eve adalah melalui 1 Timothy 2:14 (King James Version) yang dengan jelas menyebut - "Dan Adam tidak diperdaya, yang diperdaya hanya wanita itu yang melanggar peraturan Tuhan." Anda boleh rujuk sini jika mahu membaca lebih lanjut.

5. Mitos halkum dan buah dada adalah buah khuldi

halkum lelaki ini besar

Ramai yang masih mempercayai halkum di tekak lelaki dan dua buah dada wanita adalah buah larangan yang tersangkut ketika di telan, bagi menunjukkan yang Hawa makan buah itu terlebih dahulu lalu sangkut di dada kemudian Adam makan, lalu sangkut di tekak.

Hahaha. Maaf. Kami terpaksa ketawakan mitos ini kerana menurut Islam, tidak ada langsung asas kepada kepercayaan ini. Jadi, usahlah menyebarkan lagi kisah palsu ini yang langsung tidak ada asas melalui pandangan agama Islam.

6. Adam dan Hawa berbogel di dalam syurga

20171028 173407

Tidak. Adam dan pasangannya sudah diberitahu sebenarnya berpakaian ketika hidup di dalam syurga melalui ayat 121 surah at-Thaha;

"Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersesatlah dia."

Hanya selepas termakan pujukan Iblis, baharulah terserlah aurat sesama mereka yang memerlukan Adam dan pasangannya menggunakan daun-daun untuk menutup aurat mereka berdua.

Jadi, elakkanlah diri anda daripada kerap kali tersalah apabila membayangkan kisah Adam dan Hawa, kerana apa yang selalu tergambar dalam fikiran kita adalah dua manusia yang hidup dalam taman yang indah, tanpa berpakaian seurat benang pun, seperti apa yang selalu divisualkan oleh pelukis bukan Muslim.




Hakcipta iluminasi.com (2017)