Polemik berkaitan penggunaan kalimah Allah di kalangan masyarakat Kristian sekali lagi melanda negara.

Mahkamah Tinggi pada penghakiman bertarikh 10 Mac 2021 membenarkan penggunaan empat istilah yang berkait dengan masyarakat Islam iaitu 'Allah', 'Baitullah', 'Kaabah' dan 'solat' dalam mana-mana penerbitan yang bertujuan untuk pendidikan ajaran Kristian.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sudah banyak perbincangan berkaitan isu ini ditimbulkan dan apa yang unik masalah ini boleh dikatakan banyak berkisar di negara kita. Kenapa?

Penggunaan istilah 'Allah' oleh penganut Kristian

perarakan komuniti kristian

'Allah' sebagai nama bagi merujuk kepada Tuhan Yang Satu memang digunakan di kalangan kelompok minoriti masyarakat Arab beragama Kristian, yang tinggal di Asia Barat.

Ini kerana penggunaan istilah itu berakar umbi dalam dialek bahasa yang mereka warisi iaitu 'al-Ilah' yang bererti 'Tuhan', sudah digunakan sebelum Rasulullah saw. memulakan gerakan dakwahnya lagi. Istilah ini diambil dan digarap daripada istilah-istilah Semitik lama yang merujuk kepada Tuhan iaitu il, el atau eloah.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan yang jelas di antara pemahaman masyarakat Arab beragama Islam dan masyarakat Arab beragama Kristian berkenaan istilah Arab ini.

'Allah' dalam konteks masyarakat Muslim merujuk kepada Tuhan yang satu, tiada dua sementara bagi masyarakat Arab Kristian pula, mereka memecahkan istilah 'Allah' ini kepada tiga:

Allah al-Ab merujuk kepada Tuhan, Allah al-Ibn yang merujuk kepada anak Tuhan dan Allah al Ruh al kudus merujuk kepada roh suci; ketiga-tiga ini membentuk triniti yang menjadi doktrin utama kepercayaan masyarakat Kristian terbesar di dunia.

Allah, Baitullah dan Abdullah

protes kalimah allah

Polemik berkaitan penggunaan nama 'Allah' di kalangan masyarakat Arab beragama Kristian juga sebenarnya menjadi topik besar di kalangan cendekiawan Islam dan Kristian di Eropah dan Asia Barat.

Tetapi perspektif perbincangannya agak berbeza dengan kita!

Ini kerana di kalangan sarjana Kristian sendiri, terdapat desakan agar masyarakat Arab beragama Kristian supaya menghentikan amalan menggunakan istilah 'Allah' bagi merujuk kepada Tuhan yang mereka sembah, digantikan dengan perkataan yang lebih mirip dengan ajaran Kristian iaitu Gott, God atau dalam bahasa kita 'Tuhan.'

Pendapat ini pula disokong oleh ketiadaan dokumen, buku atau bukti berbentuk formal yang menunjukkan penggunaan kalimah 'Allah' dalam bahasa Arab oleh komuniti Kristian.

Kajian menunjukkan masyarakat Arab Kristian yang hidup pada zaman sebelum tibanya era Muhammad saw. lebih kerap meminjam istilah daripada bahasa-bahasa Yunani, Koptik dan Aramaik (Syria) untuk upacara keagamaan mereka.

Mereka hanya menggunakan istilah 'Allah' dalam pertuturan seharian disebabkan oleh dialek yang mereka biasa gunakan.

Legasi ini berterusan ke hari ini. Sebagai contoh, video di bawah memaparkan seorang penyanyi dari Lubnan beragama Kristian menyanyi lagu yang memuji Allah sempena sambutan Krismas.

Di kalangan masyarakat Arab pada ketika itu pun sudah lama menggunakan istilah seperti 'Abdullah' (Hamba Allah) dan 'Baitullah' (Rumah Allah) bagi merujuk nama dan binaan Kaabah.

Hanya selepas era awal penyebaran Islam di kalangan masyarakat Arab, kitab Bible yang ditulis dalam bahasa Arab mula diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dengan menggunakan istilah 'Allah' secara rasmi di dalamnya.

Adakah Kristian patut menggunakan istilah 'Allah'?

arab kristian komuniti minoriti

Walaupun di negara kita banyak pihak pendokong ajaran Kristian mahu membenarkan penggunaan kalimah 'Allah', di negara-negara barat khasnya wujud pertelagahan di antara pendokong dan penentang amalan ini yang membawa hujah masing-masing.

Yang menyokong membawa hujah berdasarkan tradisi bahasa dan dialek, serta penggunaan istilah 'Allah' yang sudah sekian lama berlaku merujuk kepada masyarakat Arab.

Sementara penentangnya pula merasakan perbuatan individu Kristian yang merujuk Tuhan mereka dengan istilah 'Allah' merupakan satu bentuk kekeliruan, kerana secara amnya masyarakat dunia sekarang tahu 'Allah' merujuk kepada Tuhan yang disembah orang Muslim.

Dalam satu kontroversi yang berlaku tahun 2007 melibatkan dua perspektif masyarakat Kristian berbeza; Bishop Martinus Petrus Muskens seorang Bishop dari Breda, Belanda melontarkan idea agar semua penganut beragama Kristian agar memanggil Tuhan yang mereka sembah 'Allah', sehingga mendapat kritikan penganut Kristian di sana.

Pendapat itu mendapat kritikan lantang Dr. R. Albert Mohler, presiden gereja The Southern Baptist yang menyifatkan idea itu karut serta merosakkan kepercayaan masyarakat Kristian sendiri.

Apa yang unik serta sedikit berkait dengan kita dalam kontroversi ini, Bishop Musken menamakan Indonesia sebagai contoh negara yang berjaya melaksanakan pertukaran istilah 'Tuhan' kepada 'Allah.'

Ini kerana beliau sendiri mengakui pernah berkhidmat di negara republik itu, berdakwah menyebarkan ajaran Kristian di kalangan penduduk tempatan berusaha  mempopularkan penggunaan istilah 'Allah' dalam amalan mereka, berbanding penggunaan istilah 'God' atau 'Tuhan'.

Apa jalan penyelesaiannya?

terjemahan bible kontroversi kalimah allah

Di Eropah, pertikaian berkaitan isu ini selalunya menjurus kepada hujah-hujah dari aspek bahasa dan warisan masyarakat Arab yang beragama Kristian.

Bagaimanapun perbincangan berkenaannya pasti berkait dengan etnik Arab.

Di Malaysia pula perbincangan masyarakat kita seringkali dikaitkan dengan penggunaan kalimah 'Allah' oleh masyarakat setempat, khasnya mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak yang telah lama menggunakan istilah itu.

Apa yang merumitkan situasi, diskusi berkaitan isu kalimah 'Allah' di Malaysia selalunya berlaku di antara komuniti Muslim dan Kristian serta campur tangan kerajaan, yang mengakibatkan wujudnya unsur provokasi dan konfrontasi - apatah lagi dalam era media sosial.

Sedangkan di Eropah, perbincangan sebegini biasanya berlaku di antara dua kelompok penganut Kristian yang mempunyai persepsi berbeza.

Kami sudah menulis berkenaan sejarah bagaimana kitab Bible diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan dilema yang dihadapi penterjemahnya, dalam mentafsirkan istilah 'God'.

Semasa proses penterjemahan kitab Bible ke dalam bahasa Melayu - salah satu aspek yang diambil kira pada awalnya adalah kesesuian penggunaan kalimah 'Allah' bagi menggantikan 'God.'

Pengaruh bahasa Arab ke atas masyarakat Melayu mengakibatkan wujud perdebatan berkenaan penggunaan kalimah Allah dalam terjemahan, namun dikhuatiri akan menyinggung perasaan umat Islam.

Akhirnya, versi-versi awal kitab Bible berbahasa Melayu diterjemah tanpa penggunaan kalimah Allah digantikan dengan istilah 'Tuhan' dalam terjemahannya.

Tetapi jelas sekali usaha dakwah Kristian seperti yang telah dilakukan oleh pendakwah seperti Bishop Musken berdekad lamanya, sedikit sebanyak memberi kesan mengakar umbikan penggunaan 'Allah' di kalangan penganut Kristian - walaupun mereka bukan dari etnik Arab.

Sama ada penggunaan istilah yang berasal dari bahasa Arab itu seiring dengan kepercayaan masyarakat Kristian sendiri - perdebatannya masih belum nampak ada penyudahnya; disebabkan perbezaan pandangan penganut Kristian sendiri yang menyokong atau menyesatkan penggunaannya.

Rujukan

Is it appropriate that Arab Christians call God Allah? (PDF)

Dr. R. Albert Mohler Jr.




Hakcipta iluminasi.com (2017)