Oleh pada 10 Nov 2022 kategori

Dalam industri muzik kita, sudah banyak karya yang layak disifatkan klasik terhasil oleh kumpulan-kumpulan tempatan.

Karya klasik yang mengenengahkan penggunaan bahasa Melayu dalam lirik, mampu memperkuatkan penggunaan bahasa kebangsaan kita dalam budaya popular masyarakat.

Di kalangan sesetengah kugiran yang terkenal dengan karya berbahasa Melayu, ada juga kumpulan yang menampilkan vokalis bukan Melayu. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima kugiran berbahasa Melayu yang vokalis handalan mereka bukan Melayu dan langsung tak pelat menyanyi dalam bahasa kebangsaa kita, layak dijadikan simbol kemajmukan masyarakat kita.

1. iamNeeta

iamneeta kugiran vokalis bukan melayu

Kita mulakan dengan kumpulan paling muda dalam senarai iaitu iamNeeta.

iamNeeta merupakan kumpulan yang diasaskan 3 orang anak muda sekitar tahun 2011, diwakili Neeta Manisha Manogaran dari Sungai Petani, Kedah sebagai vokalis, Patrick Anohada dari Kota Kinabalu sebagai pemain gitar dan Anas Azhar sebagai pemain bass.

Mula popular selepas lagu 'Tuhan Tolong Aku' ciptaan sepenuhnya Patrick diterima baik peminat muzik rock alternatif, kemampuan vokal Neeta yang baik dipuji ramai. Pada penulis, agak mirip muzik dan karya mereka dengan kumpulan Paramore dari Amerika Syarikat, cuma dalam versi lebih ringan.

Neeta seorang gadis kacukan India, Cina dan Thailand, mempunyai kemampuan bertutur dalam lima bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Hokkien dan juga Thai - jadi sebutan bahasa Melayunya memang asli. Respek!

2. Flybaits

kumpulan band flybaits

Kami yakin peminat muzik di Malaysia pasti menggemari lagu 'Kenangan Lalu' dan 'Kasih Berubah' dendangan kumpulan Flybaits.

Kedua-dua buah karya ciptaan komposer legenda Dato' M.Nasir benar-benar hidup hasil kekuatan vokalis Flybaits, Alfredo Villenguez Valentino atau Fredo, seorang warga Singapura berketurunan Filipina.

Aktif dalam industri muzik sejak penghujung dekad 1970-an, Flybaits menjadi antara kugiran paling diminati semasa zaman kemuncaknya.

Menerbitkan 4 album sepanjang karier bersama Flybaits, Fredo kekal sebagai vokalis utama tetapi ada ketikanya memberikan laluan kepada anggota lain menyumbang suara.

Setelah memeluk Islam pada tahun 1996, Fredo memilih nama Mohd. Amani Abdullah, tetapi mengekalkan nama pentas 'Fredo' yang ikonik untuk persembahan. Beliau masih aktif melakukan persembahan secara solo, sekali-sekala tetap menyuarakan hasrat terpendam mahu menyatukan kembali Flybaits untuk melakukan kemunculan semula.

3. Gingerbread

gingerbread band kumpulan

Kumpulan Gingerbread juga merupakan sebuah kumpulan yang berasal dari Singapura seperti Flybaits, menampilkan dua beradik berketurunan India iaitu Moses dan Chris Vadham berkongsi tugasan vokal utama.

Tona vokal yang berbeza di antara keduanya memberikan karya Gingerbread identiti unik dan berubah wajahnya. Mereka mula popular dengan lagu 'Ku Cari Damai di Hati' sekitar tahun 1982, sempat merakamkan dua album yang diterima baik peminat. 

Selepas Gingerbread dibubarkan, Moses dan Chris memilih untuk memulakan karier sebagai artis solo, meninggalkan legasi yang telah tersemat dalam masyarakat - kerana banyak sebenarnya lagu mereka masih didengari sehingga ke hari ini.

Anda mungkin tak tahu siapa Gingerbread, tetapi kami sangat yakin anda tahu bagaimana nak menyanyikan lagu-lagu popular mereka.

4. Kamikaze

kumpulan band kamikaze

Sebut tentang kumpulan Kamikaze, peminat muzik kita pasti lebih mengenali pemain gitar kumpulan ini iaitu Sham Kamikaze, yang masih aktif bermain sebagai pemuzik undangan dan juga seorang pendakwah.

Apa pula ceritanya dengan vokalis Kamikaze?

Vokalis kumpulan ini, Terence Law atau lebih dikenali dengan nama jolokan 'T-Rex' masih aktif menyanyi dan melakukan persembahan secara solo pada usia 47 tahun. 

Memulakan karier dalam bidang industri muzik sebagai seorang jurutera bunyi, Terence diberikan peluang untuk menyertai sebuah kumpulan lain sebelum menyertai Kamikaze. 

Berketurunan Cina dan berasal dari Sarawak, Terence mempunyai kemampuan vokal yang mempunyai keunikan sendiri - membolehkan setiap lagu Kamikaze mudah dikenali. 

5. Alleycats

alleycats kugiran vokalis bukan melayu

Nama kumpulan Alleycats dah tak perlu diperkenalkan kepada orang ramai, kerana mereka adalah antara kumpulan paling ikonik negara kita.

Dengan identiti rambut afro yang digayakan adik-beradik pengasas kumpulan ini iaitu David dan Loganathan Arumugam, mereka berdua sama-sama berkongsi tugas vokal dalam setiap karya kumpulan ini.

Pengaruh ibu mereka yang aktif dalam seni hiburan moden dan irama klasik banyak memberi kesan kepada kedua-dua adik beradik itu, untuk berani menceburi bidang nyanyian secara serius. Perjalanan Alleycats dalam industri bagaimanapun bukan mudah.

Alleycats ditubuhkan pada tahun 1969, hasil gabungan pemuzik-pemuzik handalan sekitar Pulau Pinang. Mereka mula bermain sebagai kugiran di kelab-kelab, sebelum ditawarkan menjadi artis residen bersama sebuah kelab malam di Hong Kong.

Pengalaman yang dikutip beraksi, membolehkan Alleycats ditawarkan untuk merakamkan album di Singapura. 'Terima Kasih' dilancarkan pada tahun 1978 membariskan lagu klasik 'Senandung Semalam' dan 'Jika Kau Bercinta Lagi.'

Kejayaan album pertama yang lebih ringan muziknya berbanding trend industri ketika itu banyak dibantu sentuhan emas Dato' M.Nasir.

Kerjasama kedua-dua pihak membolehkan Alleycats membina asas kukuh meneruskan kerjaya panjang, hampir setiap tahun melancarkan album baru serta kekal bertahan walaupun industri muzik rock telah menguasai citarasa muzik Malaysia.

Alleycats menerbitkan album terakhir mereka 'Rasa' pada tahun 2006, sebelum Loganathan meninggal dunia pada bulan Jun tahun 2007 akibat kanser.

Alleycats tidak lagi mengeluarkan album namun kekal bersatu dan masih bertahan. Dato' David Arumugam juga masih aktif melakukan persembahan, menyanyikan lagu-lagu hits mereka pada usia 72 tahun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)