Oleh pada 09 Feb 2023 kategori

Sebuah kugiran biasanya memilih satu nama yang mencerminkan identiti keseluruhan anggota kumpulan, yang dipersetujui bersama-sama. Syarat begitu bagaimanapun tak terpakai untuk semua.

Wujud beberapa kumpulan pemuzik dalam industri muzik baik antarabangsa mahupun tempatan, memilih untuk melawan arus; popular sebagai sebuah kugiran muzik dengan nama salah seorang ahli dalam kumpulan mereka menjadi identiti mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kugiran manakah yang duduk dalam kategori ini dan kenapa nama itu yang mereka pilih? Jom kita baca kisah lima kugiran yang dinamakan secara tidak konvensional ini.

1. Bon Jovi

bon jovi kumpulan rock

Jon Bongiovi Jr. merupakan seorang anak muda berketurunan Itali, menetap di New Jersey, Amerika Syarikat yang bercita-cita besar dalam bidang penciptaan muzik.

Dia mula mencipta lagu sejak usia muda, menyertai beberapa buah kugiran lebih awal sebelum satu lagu ciptaan beliau iaitu 'Runaway' terpilih untuk dirakamkan semula, ke dalam sebuah album kompilasi.

Lagu yang dirakamkan semula dengan bantuan kumpulan pemuzik undangan mengangkat namanya sebagai seorang artis solo dengan gelaran 'Bon Jovi', nama yang dibentuk hasil ejaan semula nama sebenarnya.

Walaupun bermula solo, Bon Jovi sedar dia lebih selesa bergerak bersama sebuah kumpulan pemuzik tetap, jadi dia mula menyatukan beberapa orang pemuzik yang dikenali serta mampu menerima konsep muzik beliau untuk menjadi anggota tetap.

Nama 'Bon Jovi' dikekalkan sebagai nama kumpulan bagi meneruskan momentum yang telah dicapai hasil populariti 'Runaway', walaupun mereka bergerak sebagai sebuah kugiran.

Kumpulan Bon Jovi melancarkan album pertama pada tahun 1984 sebagai sebuah kumpulan tetapi mengekalkan versi rakaman semula 'Runaway' dalam album pertama mereka.

2. Van Halen

van halen 1978

Peminat kumpulan Van Halen pasti dah tahu kenapa kumpulan itu dinamakan sedemikian rupa, adalah disebabkan kehadiran adik beradik Eddie dan Alex Van Halen sebagai tonggak utama.

Dimulakan hanya sebagai hobi bersama Eddie dan Alex, kedua-duanya mula mengadakan persembahan secara kecil-kecilan dengan nama Broken Combs, Trojan Rubber sehinggalah Mammoth bermain di parti atau pertunjukan.

Perkenalan mereka dengan seorang anak muda bernama David Lee Roth membawa kepada perubahan identiti yang ketara, dek karisma Roth yang agak menonjol.

Bagi menamakan kumpulan mereka selepas kemasukan Roth, Eddie dan Alex mahu menggunakan nama yang diambil daripada judul salah satu lagu kumpulan Black Sabbath iaitu 'Rat Salad.'

Mujurlah Roth nampak ketidaksesuaiannya.

Dia sebaliknya mencadangkan agar mereka bergerak menggunakan nama keluarga Eddie dan Alex sendiri iaitu 'Van Halen', yang lebih sesuai dengan identiti karya yang mahu mereka perkenalkan serta jauh lebih sedap didengari.

3. The Jimi Hendrix Experience

jimi hendrix experience

Mendiang Jimi Hendrix dikenali sebagai pemain gitar legenda yang telah mengubah pandangan pemuzik terhadap apa yang mampu dipersembahkan dengan instrumen gitar. 

Bagaimanapun seperti pemuzik-pemuzik lain, untuk naik mencapai status itu - Hendrix tetap perlu berdepan detik sukar.

Seorang peminat muzik yang membesar dalam situasi miskin dalam keluarga yang berpecah, Hendrix mengalihkan fokusnya kepada muzik. Dia mula belajar bermain gitar pada usia 15 tahun dan giat bermain bersama bermacam jenis kugiran.

Semasa dalam tentera, dia menemui sahabat sejiwanya dalam muzik bernama Billy Cox, yang menjadi regu utama beliau melakukan persembahan. Selepas kedua-duanya tamat perkhidmatan Hendrix dan Cox meneruskan minat mereka, bermain di kelab-kelab malam.

Nasib tidak menyebelahi Hendrix kerana kebanyakan syarikat rakaman yang menyaksikan persembahannya gagal menilai bakat sebenar yang beliau ada. Sehinggalah Hendrix bertemu dengan seorang pemuzik bertukar produser bernama Chas Chandler, yang menawarkan Hendrix peluang merakamkan album.

Chandler bijak memahami kemahiran dan pesona yang dimiliki Hendrix jarang ditemui, berusaha mendapatkan khidmat pemain muzik yang setanding dengan kemahiran yang dimiliki Hendrix.

Meletakkan kemampuan Hendrix sebagai fokus utama, Chandler menubuhkan The Jimi Hendrix Experience, bertindak sebagai mentor serta membantu kumpulan yang baru meningkat naik itu mendapat slot-slot persembahan.

4. Dio

dio band ronnie james

Pada tahun 2010 mendiang Ronnie James Dio telah meninggal dunia, mengakibatkan dunia muzik heavy metal kehilangan salah seorang ikon yang disegani.

Dio mula dikenali ramai bersama kumpulan Rainbow bersama pemain gitar handalan Ritchie Blackmore, sebelum mengambil alih tugas vokalis Black Sabbath menggantikan Ozzy Osbourne pada tahun 1979.

Menerbitkan 3 album bersama Black Sabbath, Dio memilih untuk membawa haluan sendiri selepas sengketa tercetus bertindak menubuhkan sebuah kugiran baru.

Mempunyai nama sebenar Ronald James Padavona, nama pentas Ronnie James Dio yang digunakan beliau sudah dikenali ramai. Kugiran baru yang dimulakan Dio dan bekas pemain dram Black Sabbath, Vinny Appice bersetuju untuk dikenali hanya sebagai Dio, disebabkan reputasi Dio.

Lucunya, walaupun ramai tersalah anggap nama 'Dio' itu diambil daripada istilah Itali yang membawa makna 'Tuhan', nama itu sebenarnya diambil daripada nama seorang ketua sindiket kongsi gelap di Itali bernama Giovanni Dioguardi.

5. Iqbal M

iqbal m band malaysia

Cuba mencipta lagu sebagai tugasan semasa pengajian di Fakulti Muzik UiTM sekitar tahun 2006, karya-karya yang dihasilkan anak muda bernama Iqbal Othman dirasakan rakan-rakannya mampu pergi jauh.

Bagaimanapun dia mengambil masa hampir 4 tahun untuk menghasilkan terbitan pertama 'Tembak Tepat' yang memperkenalkan Iqbal kepada industri muzik.

Penerbitan EP 5 lagu itu membolehkan Iqbal kerap menerima jemputan melakukan persembahan, memaksa Iqbal mendapatkan bantuan pemuzik jemputan mengiringi setiap persembahan. 

Menyedari dia sukar bergerak tanpa sebuah kugiran tetap serta tidak gemar bergelar artis solo, Iqbal memutuskan untuk mendapatkan barisan pemuzik tetap yang membolehkan dia memfokuskan dirinya kepada tugas vokal serta menghiburkan orang ramai.

Memikul tanggungjawab sebagai vokalis dan komposer utama, Iqbal dan 4 rakannya menubuhkan 'Iqbal M' pada tahun 2013, dinamakan berdasarkan nama Iqbal sendiri.

Kini di bawah syarikat rakaman Luncai Emas milik sifu Dato' M.Nasir, Iqbal M kekal menghiburkan orang ramai dengan lagu rock bersulamkan elemen nusantara dengan lirik bahasa Melayu yang unik jika dibandingkan dengan kugiran lain segenerasinya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)