Tahukah anda bahawa burung gagak adalah salah satu spesies burung paling pintar? Mereka boleh mengenal pasti wajah, menggunakan peralatan malah menjatuhkan kacang di atas jalan supaya kereta melanggar dan membuka kulit kacang yang keras.
Malah, kepintaran burang gagak ini dikatakan menyamai kepintaran kanak-kanak manusia berusia tujuh tahun. Disebabkan kepintaran mereka jugalah, burung gagak juga dilabelkan sebagai penjenayah yang hebat. Berikut adalah lima kisah yang menunjukkan kepintaran burung hitam ini sebagai penjenayah hebat.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Mencuri kad kredit untuk membeli tiket
Dalam satu kejadian di Stesen Kinshicho di Tokyo, Jepun, seekor burung gagak telah dirakam melakukan sesuatu yang mengejutkan. Burung gagak itu dilihat sedang memeriksa mesin tiket kereta api sebelum melompat ke pelanggan yang berada di mesin sebelah.
Ketika mesin tiket sebelah itu mengeluarkan kad kredit pelanggan, burung gagak itu telah mencurinya dan kembali semula ke mesin yang diperiksanya sebelum itu. Selepas itu, burung gagak itu tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan mengembalikan kad kredit itu kepada pemiliknya semula.
Tiada bukti nyata bahawa burung gagak dalam video ini tahu bagaimana kad kredit berfungsi atau cara menggunakan mesin itu untuk membeli tiket. Namun, ia tidak mustahil bagi seekor burung gagak yang pintar untuk merungkai persoalan ini. (sumber)
2. Mencuri bahan bukti kes jenayah
Pada tahun 2016, pihak polis Vancouver, Canada, telah menerima panggilan mengenai sebuah kereta yang terbakar di tempat parkir McDonald di timur bandar itu. Setibanya mereka di sana, seorang lelaki telah bertindak ganas dengan mengacu pisau kepada pihak polis.
Pihak polis telah menembak lelaki itu setelah amaran diberikan. Suspek telah dirawat kerana luka tembakan dan pisau yang tidak mengancam nyawa. Apa yang mengejutkan selepas itu, datang seekor burung gagak lalu membawa lari pisau yang sepatutnya menjadi bahan bukti.
Salah seorang pegawai polis terpaksa mengejar gagak itu sebelum ia melepaskan semula pisau yang dicurinya. Bahkan, gagak itu juga cuba mencuri sepasang cermin mata hitam dan peralatan milik pengendali kamera berita.
Bergman bersama Canuck
Setelah diteliti, burung yang mempunyai gelang kaki berwarna merah itu bukanlah gagak biasa. Gagak itu bernama Canuck dan mempunyai laman Facebook sendiri yang dicipta oleh tuannya, Shawn Bergman.
Setahun sebelum itu, anak tuan rumah Bergman menemui Canuck yang masih kecil jatuh dari pokok lalu dia mengambil dan membela burung itu. Setelah dua bulan, Bergman cuba melepaskan burung itu tetapi ia tidak berhijrah begitu jauh dan menganggap Bergman sebagai teman baiknya. (sumber)
3. Membuli haiwan lain
Bukan sahaja mereka sangat pintar tetapi gagak juga dikenali sebagai pembuli yang licik. Salah satu tingkah laku gagak yang dikenalpasti adalah mereka cenderung untuk menarik ekor haiwan lain sama ada kecil atau besar seperti kucing dan anjing.
Ketika haiwan yang dibuli cuba membalas, gagak-gagak ini akan cuba mengelak. Tingkah laku ini juga dianggap sebagai salah satu cara untuk menipu pemangsa yang lebih besar supaya mereka dapat mencuri makanan haiwan lain.
Malah, satu kajian mendapati gagak juga berupaya untuk mencuri makanan secara berkumpulan. Sebagai contoh, seekor gagak akan ditugaskan untuk mengalihkan perhatian haiwan lain dengan menarik ekornya manakala gagak lain pula akan menjadi pencuri apabila mempunyai peluang.
Ini membuktikan gagak sangat bijak dan mampu menyelesaikan masalah rumit dengan berevolusi mengikut keperluan. Mereka juga diketahui mencuri makanan dengan agresif dari burung pemangsa lebih hebat seperti helang. (sumber)
4. Gagak menyamun pelanggan pasaraya
Anda mungkin akan berasa lebih selamat berjalan dari keluar dari pasaraya ke parkir terbuka pada waktu siang sehinggalah anda bertemu dengan Edgar. Edgar adalah seekor gagak liar yang tinggal di papan tanda sebuah pasaraya Wawa di Philadelphia, Amerika Syarikat.
Dari papan tanda itu, Edgar dapat memantau lot parkir dengan lebih jelas untuk melakukan "jenayahnya". Seorang pemuzik, Curtis Remarc, menyaksikan seluruh kejadian itu.
Ketika dia keluar dari kereta menuju ke pasaraya Wawa, dia melihat beberapa orang sedang berbual dan menunding jari ke arah Edgar yang berada di papan tanda itu.
Edgar telah mencuri wang USD 1 daripada seorang lelaki yang sering memberinya makan. Penyelia pasaraya Wawa berkata, Edgar mencuri pelbagai benda dari para pelanggan lain seperti rokok, makanan dan banyak lagi. (sumber)
5. Pencuri seluar dalam wanita
Tan meninjau masalah gagak di Melaka
Kali ini, kejadian jenayah melibatkan gagak berlaku di negara kita. Di bandar Melaka, gagak telah menjadi satu ancaman kepada penduduk di sana. Apa yang peliknya seluar dalam wanita menjadi sasaran burung pintar ini.
Ketua Pengarah DUN Kawasan Kota Laksamana, En Tan Chin Gwan, berkata beliau bingung mengapa gagak-gagak ini mencuri pakaian dalam yang dijemur terutamanya di kawasan bandar. Dia juga tidak tahu di mana gagak-gagak itu menyembunyikan pakaian dalam yang dicuri.
Tan juga mendakwa bahawa gagak-gagak ini sering terbang ke premis-premis hotel, restoran dan sekolah untuk mencuri makanan. Orang ramai yang menyaksikan keadaan itu juga berasa agak takut. Selain itu, gagak yang mempunyai kuku dan paruh yang tajam juga sering menakutkan pelancong di Melaka.
Ada laporan mengatakan gagak-gagak yang lapar pernah mencederakan pekerja hotel dan memusnahkan tong-tong sampah di kawasan perumahan. Ia adalah perkara biasa di Melaka tentang laporan pelajar diserang gagak di kantin sekolah. Beberapa sekolah di Bandar Hilir terpaksa memasang jaring keselamatan bagi mengelak pemangsa ini daripada menyerang. (sumber)