Isi hati seseorang wanita memerlukan seorang peneman di sisi mereka. Walaupun begitu, bukan semua wanita bernasib baik jatuh hati pada lelaki yang belum berpunya.
Ada situasi di mana seorang wanita tersuka kepada seorang lelaki lain, yang sudah mendirikan rumahtangga. Dalam situasi sebegini, yang biasa kita dengar kisahnya berakhir dengan tragedi kecurangan suami menduakan isteri tercinta.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun realitinya, masih ada jalan untuk setiap pihak dapat hidup bahagia bersama-sama. Bagaimana kaedahnya?
Berikut adalah lima langkah paling ikhlas dan terbaik untuk seorang wanita memikat hati suami orang, sehingga menjejak ke alam rumahtangga.
1. Mesrakan diri anda dengan si dia
Anda tidak merancang tetapi Tuhan menemukan anda dengan seorang jejaka yang sudah berpunya. Luluh hati anda.
Jangan! Ada jalannya asalkan anda tahu batas-batas anda. Tidak salah untuk anda belajar mengenali lelaki itu.
Kenalpasti siapakah dia yang sebenar, perangai dan perwatakannya, tutur katanya. Semua ini perlu anda lakukan dengan sulit, kerana menghormati status dia sebagai suami orang.
Ini juga satu-satunya peluang untuk anda tahu di mana kedudukan anda. Jatuh cinta tak semestinya akan membawa kepada perkenalan lebih mesra. Kenali lelaki itu.
Adakah benar dia seseorang yang mampu anda terima atau hanya sekadar crush pejabat semata-mata? Wanita lebih tahu, jadi percayalah firasat anda.
Seandainya anda yakin anda bukan sekadar jatuh cinta tetapi sudah tertarik dengan peribadi dia, teruskan ke langkah kedua.
2. Berani luahkan isi hati anda dan lihat penerimaan dia
Langkah kedua memerlukan anda berani meluangkan lebih masa dengan dia.
Bagi rakan sepejabat, situasi sebegini lebih mudah untuk dilaksana. Untuk yang berbeza tempat kerja, usahakanlah agar anda boleh terlibat bersama kerap pula.
Pada tahap ini biasanya seorang lelaki akan mula sedar ada sesuatu yang aneh sedang berlaku, seandainya dia seorang yang peka. Anda sebagai wanita jangan gopoh. Lelaki dalam peringkat ini sering salah faham, takut dia ingat anda perempuan jenis tergedik-gedik pula.
Baca reaksi dia. Lihat bagaimana dia menguruskan 'minat' anda. Jika dia tergopoh-gapah nak beralih ke tahap yang tak sepatutnya, maaflah - anda lupakanlah dia.
Selepas tahu dia bagaimana orangnya, luahkan isi hati anda dan beritahu yang anda sedar dia dah berumahtangga. Tunggu reaksi dia.
Jika negatif, move on. Jika dia kata 'saya akan cerita pada isteri saya, tengok apa dia kata' - berdoalah agar peluang anda ada.
3. Minta dia menyampaikan hajat kita pada isterinya
Bila dah tiba di tahap ini, debaran kuat mula terasa.
Ingat batas-batas anda, hormati isteri dia. Jangan sama sekali rancang keluar berdua atau cuba melakukan sesuatu di luar batasan, kerana pengkhianatan adalah racun yang akan merosakkan banyak kebahagiaan.
Minta dia sampaikan hajat anda kepada isterinya. Kenapa nak malu? Lebih baik kita buat begini daripada rampas suami orang. Sudahlah curang, kita juga merosakkan rumahtangga yang mungkin sedang bahagia.
Tanam sikap sabar dalam diri, jangan mendesak lelaki itu untuk mempercepatkan semuanya. Berikan dia dan isterinya masa kerana dengan memberikan ruang, anda boleh menduga keikhlasan dia sama ada dia benar-benar ikhlas atau sekadar nak cuba-cuba saja.
Kami tidak mampu menduga apa reaksi seorang wanita sekiranya diberitahu ada wanita lain mahu berkongsi kasih dengan dia. Apa yang kami tahu, sekiranya anda jaga batas pergaulan anda dan tidak melakukan perkara yang tak sepatutnya - peluang untuk si isteri mahu sekurang-kurangnya duduk bertemu dan berbincang dengan anda lebih cerah.
Fahami sempadan anda. Sekiranya anda dah keluar dating berdua tanpa pengetahuan isteri dia, dosa itu akan anda tanggung sepanjang hayat anda walaupun anda dan dia sudah mendirikan rumahtangga. Kita tak mahu itu berlaku.
4. Aturkan temujanji dengan bakal madu
Musa bersama kedua isterinya. Kredit foto Zulfadhli Zulkifli
Anda diberitahu si isteri terkilan mendengar hajat anda. Itu normal. Tak ada wanita suka berkongsi kasih, walaupun mulut dia kata dia mampu terima.
Sebarang maklum balas daripada pihak isteri melalui suami sebagai orang tengah perlu anda terima dengan terbuka. Sekiranya anda sudah ke tahap ini memang sukar untuk terus menamatkan semua hanya kerana si isteri berkata tidak, tetapi realitinya itulah jalan terbaik.
Berdoalah mana tahu 2-3 bulan lepas tu, si isteri berubah fikiran pula.
Dalam situasi paling optimum di mana si isteri melakukan keajaiban alam semesta bersetuju untuk berbincang tentang hajat kita, hendak tak hendak anda kenalah memberanikan diri bersua muka.
Gusar dan takut memang akan ada tetapi ingat, niat anda baik dan sepanjang usaha anda, anda tak pernah melangkaui batas anda dan kekal hormat dia sebagai isteri pertama.
Langkah kelima dan terakhir bergantung dengan reaksi si isteri semasa pertemuan anda.
5A. Jika isteri dia setuju dengan cadangan anda
WAH! Wanita bergelar isteri itu bersetuju walaupun dalam terpaksa.
Dia mengaku dia redha, mungkin sudah jodoh suami dia. Tahniah kami ucapkan kepada anda.
Sekarang masuk tahap paling susah antara semua; meyakinkan pihak keluarga anda tentang pilihan hati anda. Kami yakin akan ada di kalangan ahli keluarga anda membantah keputusan yang anda buat dengan hujah 'punyalah ramai lelaki, suami orang juga yang kau nak.'
Tak apa. Ceritakan kepada mereka semua yang telah anda usahakan. Perjelaskan kepada mereka si isteri sudah memberi kebenaran dan mungkin itu tandanya jodoh ada.
Dalam fasa ini pasti akan ada pihak keluarga sendiri yang bermasam muka dengan anda, khususnya pihak wali anda sendiri. Usahakanlah memujuk dan buktikan keikhlasan anda. Mungkin juga memperkenalkan lelaki itu kepada mereka, boleh membantu meredakan suasana - dengan keizinan isteri dia.
Janganlah pula ajak bakal suami kahwin lari pula ya. Benda baik memang susah nak dikecapi. Yang senang dapat ni, biasanya runtuh sekejap saja. Selepas semuanya selesai dan anda berjaya meyakinkan pilihan anda tak salah - TAHNIAH kami ucapkan! Jemputlah kami makan nasi minyak.
5B. Jika isteri dia tak setuju dengan cadangan anda
WAH! Si isteri tiba-tiba mengeluarkan parang dari bawah meja dan menjerit-jerit ibarat orang gila sambil mengejar anda!
Apa lagi? Larilah! Anda ingat semudah itu seorang isteri nak melepaskan suami yang dia sayang kepada wanita lain untuk berkongsi hidup?
Selamatkan diri anda terlebih dahulu.
Bila dah berada di tempat yang selamat, hubungi bakal suami anda dan tanya pula keadaan dia. Ye lah, kita takut juga dia pun jadi mangsa parang isteri dia.
Ingatkan si bakal suami, jika selepas ini isterinya bersetuju untuk berjumpa; syaratnya tidak boleh membawa sebarang senjata tajam dalam tas tangan atau di bawah meja.Mungkin juga lebih baik anda bersemuka melalui bualan secara video maya sahaja.