Salah satu spesies bunga paling rare di dunia adalah Neelakurinji yang akan berbunga setiap 12 tahun dan hanya terdapat di sebuah daerah yang terletak di Kerala, India.

Munnar ialah sebuah perkampungan sunyi di kawasan pergunungan Western Ghats yang berada pada ketinggian 1,600m dari paras laut. Perkampungan ini popular dengan penghasilan teh, kopi dan ladang rempah-ratus yang berlatarbelakangkan pemandangan indah gunung yang menghijau dan berkabus.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di sinilah terletaknya salah satu rahsia khazanah negara India iaitu bunga Neelakurinji yang telah berkembang mekar tahun ini.

pejalan kaki gemar menikmati pemandangan indah neelakurinji

"Super bloom" bunga biru

Neelakurinji, atau sering disebut "Kurinji" ialah sejenis Strobilanthes, iaitu genus yang mempunyai sekitar 350 tumbuhan berbunga. Sebanyak 59 daripadanya terdapat di seluruh kawasan semenanjung India. Banyak spesies Strobilanthes yang berbeza memiliki tempoh berbunga yang berlainan. Ada yang mekar selepas empat, lapan atau sepuluh tahun. Malah, ada yang mengambil masa sehingga 12 atau 16 tahun.

Walau bagaimanapun, pertumbuhannya adalah tidak sekata dan hampir tidak dapat dikesan. Kewujudan ladang-ladang teh dan rempah, ditambah pula dengan peningkatan kawasan-kawasan pembangunan serta pembinaan untuk melebarkan jalan raya misalnya, berkemungkinan besar telah mengambil alih kawasan di mana bunga-bunga ini sepatutnya berkembang.

Namun begitu, Neelakurinji atau Strobilanthes kunthiana lebih mudah dikesan kerana ia berbunga dalam bilangan yang besar dan tumbuh di kawasan yang dilindungi. Nama bunga yang memberi maksud "bunga biru" ini seolah-olah menjadi hamparan permaidani berwarna biru yang akan bertukar menjadi violet pada penghujung musim.

neelakurinji bunga rare setiap 12 tahun di kerala india

Bunga ini kebiasaannya bermula pada bulan Ogos dan berakhir sehingga penghujung Oktober. "Super bloom" yang hanya terjadi sekali dalam masa 12 tahun boleh dilihat di kawasan berkelompok luas sekitar Kerala termasuklah di Kawasan Perlindungan Kurinjimala yang terletak 45km dari Munnar.

Menurut seorang aktivis alam sekitar, R. Mohan, disebabkan bunga Neelakurinji ini amat istimewa, dia sangat teruja menantikan ketibaan musimnya kerana dikhuatiri dia tidak akan lagi berada di situ dalam masa 12 tahun akan datang. 

Bunga cinta dan kasih sayang

Bunga kurinji merupakan tumbuhan monokarpa. Ini bermakna pohon renek ini hanya membiak sekali sahaja selepas berbunga dan akan terus mati. Selain itu, ia juga memerlukan tempoh tertentu bagi biji benih untuk bercambah sehingga berbunga. Musim berbunga besar-besaran setiap 12 tahun membantu kelangsungan hidup pokok ini disebabkan haiwan pemangsa tidak boleh menghabiskan kesemua biji benih pada satu-satu masa. Ia juga memberikan peluang terbaik agar bunga ini dapat dilihat dan dikaji oleh para saintis.

Disebabkan ia tidak terdapat di mana-mana negara lain dalam dunia, Neelakurinji mempunyai beberapa kaitan rapat dengan budaya warga India. Dalam buku berjudul "Kurinji: The Flower of the Blue Mountains," bekas editor The Hindu iaitu Roy Mathew menulis tentang puak Muthuvan yang mempercayai bahawa bunga ini merupakan simbol cinta dan kasih sayang. Tuhan mereka iaitu Dewa Muruga, mengahwini Valli yang merupakan seorang gadis puak pemburu dengan menganyam bunga Neelakurinji dan mengalungkannya di leher Valli.

Lain pula kisahnya dengan puak Paliyan iaitu sebuah komuniti nomad di Western Ghats. Mereka mengira usia seseorang dengan bilangan kitaran musim bunga Neelakurinji yang pernah disaksikan.

gambar lama penduduk tempatan bergambar bersama bunga neelakurinji

Walaupun kehadiran bunga ini mempunyai makna tersendiri dalam tradisi tempatan, tempoh musimnya yang unik juga memainkan peranan penting di kawasan itu kerana ia telah berjaya meningkatkan industri pelancongan. Bagi tahun 2018, kesemua hotel dan rumah tumpangan di seluruh Kerala, terutamanya Munnar terpaksa menghadapi lebihan tempahan daripada pengunjung yang ingin menyaksikan sendiri hamparan indah 'permaidani biru' berketinggian 30 ke 60 cm.

Menurut Harish Chawda yang merupakan salah seorang pemilik pusat peranginan di situ, semua pihak turut sama-sama bersiap sedia menerima kebanjiran pengunjung. Bukan sahaja pemilik perniagaan, bahkan pihak kerajaan juga sibuk membesarkan jalan raya di sekitar kawasan itu selepas menganggarkan yang jutaan pelawat akan tiba.

Kerala mengalami bencana alam

Dalam keterujaan menyambut ketibaan tetamu, Kerala telah mengalami banjir yang dahsyat pada bulan Ogos 2018 sehingga lebih 10,000km binaan jalan raya hancur dibawa arus. Seramai 483 nyawa terkorban manakala puluhan ribu lagi pengunjung dipindahkan ke kawasan lain. Binaan bangunan bernilai jutaan rupee telah musnah dan punca pendapatan teruk terjejas akibat pengunjung yang membatalkan tempahan.

Jika dilihat pada kemusnahan yang menimpa kawasan itu serta cuaca buruk yang melanda, bagaimanakah agaknya bunga Neelakurinji boleh tumbuh dan berbunga dengan baik? Bunga ini memerlukan cahaya matahari sekurang-kurangnya 10 hari secara berterusan. Jadi, apabila hujan turun tanpa henti, pertumbuhan bunga itu serta-merta terbantut.

tanah runtuh akibat banjir di kerala neelakurinji

Tiada siapa yang menyangka kejadian seumpama itu boleh berlaku. Lapangan terbang utama di negeri itu dihentikan operasi selama beberapa hari dan dalam tempoh hampir sebulan berikutnya, mereka tidak didatangi mana-mana pelawat. Menurut Chawda, walaupun matahari mula kelihatan pada bulan September dan Neelakurinji akhirnya berbunga, namun kawasan itu masih sunyi sepi tanpa kehadiran pelancong.

Taman Negara Eravikulam yang berkeluasan 97km persegi merupakan kawasan pemuliharaan flora dan fauna di wilayah tersebut. Ia sepatutnya menjadi tarikan dan destinasi utama pelancong yang ingin menyaksikan Neelakurinji namun pohon-pohon renek di sini telah hanyut dibawa arus deras semasa krisis banjir tersebut.

Berpindah ke lokasi lain

Situasi menyedihkan itu telah menyebabkan pelancong yang ingin melihat bunga unik Neelakurinji perlu ke kawasan tanah tinggi lain seperti Top Station dan Vattavada di Kerala serta Kolukkumalai yang bersempadan dengan Tamil Nadu.

banjir kerala menyebabkan perbungaan neelakurinji terjejas dan tiada pelancong datang

Selepas 12 tahun menanti, musim bunga Neelakurinji tidak seperti yang dijangkakan. Kebiasaannya, kawasan bukit sarat dan dipenuhi bunga-bunga ini menjelang September, namun tahun 2018 menyaksikan taburan kepadatan bunga yang jelas berkurangan. Menurut Antonyn Thomas yang merupakan seorang pemandu pelancong pengembaraan, para pelawat perlu berjalan kaki mengikut trek ke beberapa lokasi berbeza untuk melihatnya.

Tambahan pula laluan trek menuju ke Kolukkumalai, misalnya, adalah satu perjalanan yang sukar. Dari Munnar, mereka perlu bergerak sejauh 30km terlebih dahulu menuju ke sebuah penempatan kecil di Suryanelli sebelum menaiki bukit melalui jalan tanah sepanjang 18km.

Walaupun perjalanan mencabar ini hanya boleh dibuat menggunakan kenderaan pacuan empat roda, namun pemandangan di akhir destinasi dilaporkan sangat berbaloi-baloi.

Madu 'rare'

Terdapat satu benda yang lebih sukar didapati daripada menikmati keindahan bunga Neelakurinji iaitu madu yang dipanggil Kurinjithen. Perbungaan Neelakurinji secara kelompok besar menarik minat lebah untuk melakukan proses pendebungaan yang akan menghasilkan madu yang amat sukar diperolehi ini.

Laluan untuk mendapatkan madu Kurinjithen juga amat rumit dan dikhabarkan hampir mustahil bagi orang kebanyakan. Hanya suku kaum tempatan sahaja dibenarkan mengumpulkan madu ini dan ia amat jarang dijual di pasaran selain beberapa buah kedai yang terletak jauh di pedalaman Shola di lembah gunung.

madu rare neelakurinji

Walaupun tiada penyelidikan saintifik pernah dijalankan kerana kesukaran mendapatkannya, warga tempatan percaya madu ini mempunyai kebaikan dari segi perubatan yang dapat menghalang masalah jantung tersumbat. Tambahan pula, agak mustahil untuk tahu dari bunga mana madu ini dihasilkan.

R. Mohan berkata, disebabkan Munnar dan kawasan sekitarnya menjadi habitat kepada pelbagai flora dan fauna, hakikatnya tiada siapa yang dapat mengetahui jika kumpulan lebah di situ hanya mengambil nektar daripada bunga Kurinji. Kebanyakan madu yang dihasilkan di sini merupakan 'madu campuran' iaitu kombinasi beberapa jenis bunga berbeza. Walau bagaimanapun, disebabkan musim bunga Neelakurinji berlaku dalam kelompok yang sangat besar selama beberapa bulan, banyak pihak membuat anggaran antara 35-70% kandungan madu itu datang daripada bunga ini.

Perubahan iklim dan kelangsungan hidup Neelakurinji

Menurut R. Mohan lagi, bunga ini adalah sangat jarang ditemui sehinggakan ramai orang sering terlupa akan kewujudannya. Kitaran musim bunga Neelakurinji seterusnya adalah pada tahun 2030 namun kelangsungan hidup bunga ini ketika itu masih menjadi tanda tanya.

bunga neelakurinji rare jarang berbunga hanya setiap 12 tahun dan unik di india

Disebabkan pemanasan global yang menyebabkan perubahan iklim, pembangunan dan industri pertanian yang pesat, kerja-kerja pemuliharaan habitat semula jadi perlu dilaksanakan, terutama sekali dalam memelihara dan memulihara spesies seperti Neelakurinji. Sebuah pertubuhan NGO "Save Kurinji Campaign Council" sentiasa memberikan kesedaran kepada orang awam melalui pelbagai kempen dan ekspedisi trek secara berterusan yang dimulakan sejak tahun 1989.

Koordinator kempen tersebut iaitu Ansar Mangalathop menjelaskan, jika apa yang dilakukan organisasi itu boleh menyebabkan satu perubahan kecil agar generasi seterusnya dapat melihat bunga Neelakurinji, perubahan kecil itu juga sebenarnya adalah sangat berbaloi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)