Anda mesti pernah mendengar nama seperti Adolf Hitler, Joseph Stalin, Kim Jong-il atau Pol Pot. Nama-nama ini mempunyai persamaan di mana mereka adalah diktator kejam yang menyebabkan banyak nyawa terkorban dan jutaan lagi merana.
Sebenarnya, ramai lagi pemerintah kuku besi di seluruh dunia tetapi nama mereka kurang dikenali. Namun, kekejaman yang mereka lakukan boleh dikatakan hampir setanding dengan diktator popular yang disebutkan di atas tadi.
Berikut adalah lima diktator yang jarang anda dengar.
1. Mengistu Haile Mariam (Ethiopia 1977 – 1991)
BESARKAN TEKS A- A+
Mengistu adalah seorang pegawai tentera yang terlibat dalam rampasan kuasa terhadap Maharaja Haile Selassie I, sekaligus menamatkan pemerintahan beraja selama berabad-abad lamanya di Ethiopia.
Dia menggunakan pelbagai cara termasuklah membunuh untuk dalam Dergue (junta tentera yang memerintah Ethiopia). Pada 3 Februari 1977, Mengistu secara rasminya menjadi memimpin Dergue dan Ethiopia.
Ketika berkuasa, Mengistu telah melancarkan kempen Red Terror untuk menghapuskan para pembangkangnya. Kempen yang berlangsung selama setahun lebih itu menyaksikan seramai 750,000 orang terkorban.
Dia meletakkan jawatan sebagai presiden pada 1991 dan melarikan diri ke Zimbabwe apabila pemberontakan, kejatuhan ekonomi, kebuluran dan kemarau teruk melanda Ethiopia. Dianggarkan sebanyak dua juta nyawa telah terkorban atas kekejaman Mengistu.
2. Le Duan (Vietnam 1960 – 1986)
Walaupun Ho Chi Minh kekal sebagai pemimpin paling terkenal di Vietnam, Le Duan pula adalah antara pemimpin paling dibenci di negara itu.
Secara teknikalnya, dia tidak pernah menjadi pemimpin negara tetapi memegang jawatan yang amat berpengaruh ketika itu. Le Duan merupakan orang nombor dua paling berkuasa selepas Ho Chi Minh dalam Parti Komunis Indochina.
Ketika kesihatan Ho Chi Minh semakin merosot, Le Duan menjadi pemerintah de factoyang meneruskan tanggungjawab mengurus negara. Setelah Ho Chi Minh meninggal dunia pada 1969, Le Duan menjadi orang paling berkuasa di Vietnam Utara.
Ketika Vietnam Utara menawan Saigon pada 1975, Le Duan mengarahkan pembunuhan ribuan tentera Vietnam Selatan. Dia memenjarakan sehingga 300,000 tahanan lain tanpa pengadilan. Dianggarkan seramai dua juta rakyat Vietnam terpaksa berhijrah ke luar negara akibat pemerintahan kejamnya.
Dia turut menyebabkan ekonomi Vietnam jatuh dengan teruk. Peperangan demi peperangan semasa pemerintahannya memburukkan lagi keadaan negara itu. PBB menganggarkan seramai 400,000 pelarian Vietnam mati di lautan kerana cuba melarikan diri dari negara itu.
3. Yahya Khan (Pakistan 1969 – 1971)
Yahya Khan dilantik sebagai presiden ketiga Pakistan dan dilihat sebagai harapan untuk memulihkan negara itu daripada kacau-bilau di bawah pemerintahan presiden sebelumnya iaitu Ayub Khan.
Dia berjanji akan mengadakan pilihan raya umum pertama di Pakistan pada penghujung 1970. Keputusan pilihanraya itu menyaksikan Parti Liga Awami menang 160 daripada 162 kerusi di Pakistan Timur (kini Bangladesh).
Ketua Parti Liga Awami, Mujibur Rahman menuntut haknya sebagai Presiden Pakistan setelah menang majoriti dalam pilihanraya itu. Pakistan Barat (kini Pakistan) dan Pakistan Timur dipisahkan oleh India dengan jarak 1,600 km.
Sebaliknya, Yahya membubarkan kabinet awam pada 21 Februari 1971. Tidak lama kemudian, dia mengarahkan Operasi Searchlight bagi menentang gerakan nasionalis di Pakistan Timur yang menyaksikan hampir tiga juta nyawa terkorban.
Yahya meletakkan jawatan pada 20 Disember 1971 dan dikenakan tahanan rumah sehingga 1979. Dianggarkan seramai lima juta nyawa terkorban di bawah pimpinannya.
4. Francisco Macias Nguema (Equatorial Guinea 1968 – 1979)
Nguema dianggap sebagai salah seorang diktator paling teruk dalam benua Afrika. Dia menjadi presiden pada 1968 setelah berjaya mengalahkan Perdana Menteri Ondo Edu dalam pilihan raya umum Equatorial Guinea. Setahun kemudian, Ondo Edu telah membunuh diri tetapi ramai percaya ia adalah angkara Nguema.
Presiden yang sangat paranoia itu mula menyasarkan golongan berpendidikan dan membunuh sesiapa sahaja yang memakai cermin mata kerana percaya mereka akan menghasut rakyat untuk menentangnya.
Nguema telah memperkenalkan sistem buruh paksa kepada rakyatnya dan menamakan dirinya sendiri sebagai pemimpin seumur hidup. Dia juga menyimpan sebahagian khazanah negara di bawah katilnya kerana tidak percaya pada sesiapa untuk menguruskan wang itu.
Dia banyak menghabiskan masa di kampung halamannya berbanding ibu negara Equatorial Guinea. Atas arahannya, kuasa elektrik di mana-mana kota hanya boleh dihidupkan apabila presiden itu datang membuat lawatan.
Kebebasan bersuara tidak wujud semasa pemerintahannya dan ramai wartawan yang dibunuh kejam. Pada tahun 1979, Nguema akhirnya digulingkan oleh anak saudaranya sendiri, Teodoro Obiang Mbasogo yang kemudian menjadi presiden negara itu.
5. Rafael Trujillo (Republik Dominika 1930 – 1961)
Trujillo menggunakan pemerintahan kuku besi ke atas Republik Dominika selema lebih tiga dekad. Dia mulai berkuasa setelah berjaya menggulingkan Presiden Horacio Vasquez pada 1930.
Pegawai paling setia Trujillo iaitu Johnny Abbes akan membunuh sesiapa sahaja yang bersuara terhadap presiden itu dan membuatkannya seperti satu kemalangan.
Pada Oktober 1937, Trujillo telah memulakan penghapusan etnik terhadap warga Haiti yang tinggal di negaranya. Seramai 35,000 orang telah dibunuh kejam atas arahan presiden itu.
Dia telah membunuh ramai wartawan kerana mengutarakan soalan pelik tentang rejimnya. Trujillo juga telah banyak menyeleweng wang kerajaan untuk kegunaan peribadi.
Selain berkahwin sebanyak tiga kali dan mempunyai ramai perempuan simpanan, Trujillo juga dilaporkan sering merogol gadis muda dari masa ke masa. Pada 30 Mei 1961, Trujillo akhirnya terbunuh dalam satu serangan hendap oleh tujuh anggota Angkatan Bersenjata Dominican.