Jamal Khashoggi dan beberapa wartawan lain di seluruh dunia telah dinamakan sebagai "Person of the Year" (Tokoh Tahunan) oleh Majalah TIME edisi 2018. Mereka dipilih kerana berani membuat pelbagai pendedahan untuk mendapatkan kebenaran sehingga ada yang dibunuh dan dihukum penjara disebabkannya.
Antara wartawan lain yang dinamakan oleh Majalah TIME ialah Maria Ressa dari Filipina yang membuat pendedahan terhadap perang Presiden Rodrigo Duterte membanteras dadah sehingga mengorbankan lebih daripada 12,000 nyawa. Ressa telah berhadapan hukuman penjara 10 tahun kerana dituduh menipu dalam pembayaran cukai.
BESARKAN TEKS A- A+
Di Myanmar pula, dua orang wartawan iaitu Kyaw Soe Oo dan Wa Lone dari Reuters telah dipenjarakan selama tujuh tahun kerana membuat pendedahan tentang pembunuhan etnik Rohingya. Para pembunuh yang melakukannya pula dipenjarakan selama 10 tahun.
Walau bagaimanapun, golongan yang mempunyai keberanian, kepimpinan moral dan menentang kezaliman bukanlah selalunya menjadi pilihan oleh Majalah TIME untuk disenaraikan sebagai "People of the Year".
Mungkin ramai yang percaya bahawa mereka yang dinamakan oleh Majalah TIME ini merupakan seorang tokoh yang memberikan sumbangan besar dalam bidang masing-masing. Namun, editor TIME telah lama menyatakan bahawa mereka memilih individu yang mempunyai "kesan yang paling besar bagi sesebuah berita, tidak kira sama ada baik ataupun tidak.".
Ada juga individu yang dipilih ini merupakan tokoh yang mempunyai kontroversi dan dibantah oleh ramai pihak. Berikut adalah lima pilihan paling kontroversi yang dibuat oleh Majalah TIME untuk dinamakan sebagai "Person of the Year".
1. Joseph Stalin (1939 dan 1942)
Dari satu perspektif positif, pemimpin Kesatuan Soviet iaitu Joseph Stalin telah mengetuai pasukan tentera paling penting dalam memerangi Adolf Hitler dan tentera Nazi Jerman. Selain itu, dia juga telah mengetuai Kesatuan Soviet dalam menangani kebuluran, menghadapi perang saudara, melakukan penangkapan besar-besaran, pengusiran dan hukuman bunuh tawanan mereka.
Akan tetapi, Stalin juga seorang individu yang terlibat dengan kontroversi kerana bertanggungjawab menyebabkan kematian yang lebih banyak daripada Adolf Hitler sendiri.
Seperti kriteria pemilihan yang ditetapkan TIME, Stalin telah terpilih sebagai "Tokoh Tahun Ini" kerana memberikan impak besar terhadap berita pada tahun-tahun sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua. Stalin juga mempunyai personaliti yang menawan dan dipuja oleh ramai orang. Disebabkan itulah Majalah TIME telah memilih Joseph Stalin sebagai "Tokoh Tahun Ini" sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1939 dan 1942.
2. Ayatollah Ruholla Khomeini (1979)
Walaupun Ayatollah Ruholla Khomeini tidak begitu terkenal berbanding Joseph Stalin atau Adolf Hitler, namun sebahagian besar perang Amerika Syarikat di Timur Tengah mempunyai kaitan dengannya.
Khomeini merupakan seorang ulama Syiah di Iran yang lantang mengkritik dunia Barat serta berani mengisytiharkan Amerika Syarikat sebagai musuh terbesar Iran. Pemimpin ini juga terlibat dalam gerakan menggulingkan kerajaan Iran dan mencipta sebuah teokrasi (kerajaan yang dipimpin kesatuan agama) yang menyeru kepada pematuhan ketat hukum Syiah.
Pada 4 November 1979, kedutaan Amerika Syarikat di Tehran telah ditawan oleh penyokong Khomeini dan seramai 52 orang rakyat Amerika telah dijadikan tebusan selama 444 hari.
Selepas dua bulan pertama pengepungan itu dilakukan ke atas kedutaan Amerika Syarikat, Majalah TIME telah menamakan Khomeini sebagai "Person of the Year" dan menulis tajuk "Jarang sekali orang yang tidak disangka-sangka menjadi pemimpin mampu menggegarkan dunia".
3. Richard Nixon (1971 dan 1972)
Majalah TIME mengiktiraf Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon, sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1971 dan 1972 atas usaha diplomatik penting yang dilakukannya melibatkan kedua-dua negara China dan U.S.S.R. Akan tetapi, tidak lama selepas itu muncul pula Skandal Watergate.
Nixon bukanlah diktator yang kejam seperti Hitler atau Stalin yang menyebabkan jutaan kematian, kebuluran dan perhambaan. Namun, presiden itu telah terlibat dalam salah satu skandal paling terkenal dalam sejarah politik Amerika Syarikat.
Presiden Nixon telah menyebabkan ramai rakyat Amerika menjadi tidak percaya kepada pemimpin dan negara mereka sendiri apabila terlibat dalam memberi arahan untuk mengintip pesaing politiknya, menyekat dana kepada badan-badan kebajikan dan menggunakan badan-badan perisik negara sebagai senjata politiknya.
Ketika itu, U.S News & World Report menulis bahawa ia akan mengambil masa yang lama bagi politik di Amerika Syarikat untuk menjadi sama seperti keadaan sebelumnya.
Pada tahun berikutnya, Majalah TIME telah memilih John Sirica pula sebagai "Person of the Year" edisi 1973. Sirica merupakan Ketua Hakim bagi District of Columbia yang telah memerintahkan agar Nixon menyerahkan semua dokumen berkaitan Skandal Watergate.
4. Adolf Hitler (1938)
Pada 2 Januari 1939, Majalah TIME telah memilih Adolf Hitler sebagai "Tokoh Tahun Ini" bagi edisi 1938 atas alasan berikut: "Pada tahun 1938, Hitler merupakan kuasa ancaman paling besar yang sedang dihadapi oleh dunia demokrasi dan juga pencinta kebebasan masa kini." Hanya sembilan bulan kemudian, Hitler telah menyerang Poland serta memulakan Perang Dunia Kedua. Apa yang dilakukannya selepas itu sememangnya meninggalkan legasi yang menyedihkan dalam sejarah moden manusia.
Walau bagaimanapun, Majalah TIME tetap berpegang kepada pendirian mereka untuk memilih Adolf Hitler sebagai "Person of the Year" 1938. Mereka mengatakan Hitler memberikan impak yang besar dalam dunia berita dan dipilih oleh sebab yang demikian.
Namun, pendirian TIME terhadap kenyataan yang mereka berikan ini agak diragui apabila Adolf Hitler tidak pernah lagi dinamakan sebagai "Person of the Year" pada tahun-tahun yang berikutnya (walaupun Hitler mempunyai impak yang jauh lebih besar dalam berita dunia selepas tercetusnya Perang Dunia Kedua).
Atau mungkin juga editor TIME tidak sanggup lagi memilih Hitler ketika itu kerana diktator Nazi tersebut bertanggungjawab membunuh ratusan ribu tentera Amerika Syarikat sendiri.
5. Vladimir Putin (2007)
Tajuk berita pemilihan Vladimir Putin sebagai tokoh pilihan pada tahun 2007 sudahpun memberi gambaran jelas tentang segala-galanya. Baris ayat yang berbunyi "Pilih Perintah Sebelum Kebebasan" itu menegaskan pendirian dan kepentingan Rusia dalam geopolitik global. Ia mungkin disebabkan kestabilan pengeluaran minyak di sana, ekonomi membangun serta hubungannya dengan China dan Timur Tengah.
Hampir kesemuanya adalah hasil kerja keras Putin. Namun, Putin bukanlah seorang yang mengamalkan demokrasi atau penggerak kebebasan. Sejak pengiktirafannya sebagai Tokoh Majalah TIME 2007, dia mungkin telah menjadi diktator yang semakin mengamalkan polarisasi apabila memisahkan sebahagian daripada Ukraine, menyokong segala dasar besar anti-homoseksual dan membenamkan negara ke dalam politik yang penuh korupsi.
Walaupun begitu, dalam artikel sorotan yang sama, TIME mengingatkan para pembaca bahawa "Tokoh Tahunan TIME adalah bukan (dan tidak pernah) menjadi suatu penghargaan bagi mana-mana pihak. Ia bukan menandakan sokongan mahupun sebuah pertandingan populariti. Ia hanya memaparkan perkara yang sebenarnya tentang dunia dan individu-individu atau kuasa yang membentuknya - sama ada ke arah kebaikan ataupun keburukan."