Oleh pada 28 May 2023 kategori

Budaya penerimaan muzik telah mengalami perubahan yang sangat ketara dari satu dekad ke satu dekad, akibat pengenalan teknologi yang mengubah sesuatu kelaziman yang telah ada.

Kemasukan teknologi yang ada membentuk malahan menggantikan trend yang telah lama wujud, mengakibatkan tradisi bagaimana mahu mengikuti perkembangan muzik itu berubah dari satu generasi ke satu generasi lain; cukup ketara perubahannya dalam dua dekad sebelum ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima budaya masyarakat Malaysia yang terbentuk akibat minat kita kepada muzik, tetapi kini telah tiada atau mungkin diolah ke dalam bentuk berbeza.

1. Pergi kedai berorientasikan muzik

kedai berorientasikan muzik

Sebelum hadir era format Napster MP3 yang membawa kepada apa yang kita kenali sebagai industri penstriman muzik, orang ramai harus hadir ke kedai-kedai muzik untuk bukan saja mendapatkan keluaran muzik terbaru malahan mendengar terbitan popular yang ada, selain di radio.

Kewujudan rangkaian kedai muzik besar seperti Tower Records, Salem Power Station atau Victoria Station yang memberikan pengunjung peluang mendengar terbitan CD di kiosk di dalamnya, memudahkan kita membuat pilihan. 

Bagi pengunjung kedai sebegitu, premis itu sudah menjadi hab penting peminat muzik bertemu bukan saja cuba mendengar terbitan lagu yang ada bahkan turut sama boleh makan dan minum, membaca dan ada ketikanya menikmati persembahan secara langsung artis yang dijemput memeriahkan suasana.

2. Beli majalan muzik dan zine

majalah klasik muzik malaysia

Siapa tahu tentang majalan legenda ROTTW?

Bagi peminat muzik rock yang dahagakan informasi tentang kugiran tempatan dan antarabangsa, majalah-majalah sebeginilah sumber utama berita hiburan muzik satu ketika dulu.

Banyak penerbitan majalah dalam dua dekad sebelum sekarang menjadikan industri muzik sebagai agenda utama.

Bagi peminat muzik yang gemar mengikuti perjalanan gosip industri hiburan tempatan yang bukan saja melibatkan muzik bahkan dunia lakonan, judul tempatan seperti URTV dan Media Hiburan menjadi pilihan utama. 

Pengaruh penerbitan sebegini jelas sudah digantikan laman web yang ada, tetapi jika kita bandingkan kualiti penulisan serta artikel yang ada - sangat jauh berbeza usaha penerbitan sebegini dalam menghasilkan karya, khususnya dalam bercerita berkenaan analisis muzik, gerak kerja penerbitan dan apa yang biasa berlaku di belakang tabir sesuatu karya.

3. Dub kaset haram

kaset dubbing zaman dulu

Zaman sekarang nak dengar lagu mudah - buka saja telefon dan boleh kata perpustakaan muzik dari seluruh dunia sudah tersedia secara percuma untuk menjamu halwa telinga anda.

Dulu-dulu bukan semua orang berkemampuan untuk mendapatkan muzik, jadi jalan paling mesra bajet adalah untuk ke kedai-kedai muzik yang menyediakan perkhidmatan dubbing kaset, di mana kaset-kaset asli akan disalin ke dalam kaset kosong. 

Kita bukan saja boleh pilih album lagu yang kita suka, bahkan sesetengah pekedai membenarkan kita mencampur-adukkan lagu pilihan kita. Berbeza dengan harga jualan kaset asli ketika itu, kos untuk kaset dubbing ni biasanya separuh daripada kaset original.

OK la, jimat dan rahmah-lah harganya walaupun salah, kerana melanggar akta hak cipta.

4. Bergaya ikut musim muzik

trend fesyen anak muda ekoran muzik

Salah satu budaya muzik yang kini sudah suram adalah bagaimana kita dapat melihat anak muda di seluruh negara bertukar-tukar trend pakaian mereka berdasarkan muzik yang popular ketika itu.

Era 1970-an menyaksikan anak muda nak pakai seluar bell bottom, 80-an ramai anak muda simpan rambut panjang. 90-an pula dek ledakan muzik grunge, anak-anak muda mencari baju flannel untuk dipakai. Kita juga sempat menyaksikan budaya-budaya lebih kecil seperti pakaian ala punk, gothic dan rap-rock menghiasi budaya anak muda kita. 

Berdasarkan pemerhatian kami secara rambang, budaya sebegini sudah kurang berlaku di kalangan generasi lebih muda mungkin disebabkan terlalu banyak budaya bertembung antara satu sama lain. 

Selain itu industri muzik juga seakan-akan sudah tidak lagi kuat untuk menguasai pemikiran masyarakat, disebabkan ketiadaan ikon atau figura yang mampu memperkenalkan budaya baru seterusnya mengubah trend sedia ada.

5. Perseteruan sihat antara artis yang sama genre

perseteruan sihat antara artis sama genre

Ekoran ketiadaan figura berpengaruh dalam industri muzik tempatan dan antarabangsa jugalah, jarang sekali kita dapat mendengar kisah berkenaan pertelingkahan sihat dalam industri muzik, yang merancakkan kehangatan minat kita.

Tak ada lagi perdebatan di antara siapa nombor 1; Search atau Wings, Blur atau Oasis, Britney Spears atau Christina Aguilera, OAG atau Butterfingers, Megadeth atau Metallica -  yang semulajadi berlaku di kalangan peminat fanatik dalam membicarakan minat mereka.

Uniknya, perdebatan sebegitu berlaku berlatar belakangkan kemahuan kita mendebatkan kualiti karya artis atau seniman yang ada.

Zaman sekarang, perdebatan lebih berkisar kepada pertelingkahan bodoh, siapa tunjal kepala siapa, siapa rumahtangga paling berantakan sesama mereka atau artis mana buat benda lebih bodoh hari itu. Bosannya.

6. Beratur beli terbitan baru dan tiket dalam dunia nyata

beratur beli tiket konsert

Dalam banyak perubahan yang berlaku, mungkin tiada keperluan untuk kita beratur bagi mendapatkan karya yang baru keluar atau tiket konsert merupakan perubahan yang terbaik.

Zaman sekarang, anda mungkin merungut perlu menunggu lama beratur dalam laman web secara digital sebagai usaha untuk mendapatkan tiket. Kritikan terhadap kelemahan laman web serta sistem pemadanan tiket yang gagal berfungsi baik akibat ramainya pengunjung adalah satu kebiasaan, setiap kali tawaran konsert artis popular di buka.

Tetapi anda harus ingat! Satu ke dua dekad dulu, rakyat Malaysia masih lagi perlu keluar rumah, beratur di lokasi atau pengedar di tempatkan berjam-jam lamanya dalam usaha mendapatkan tiket secara fizikal.

Paling marah, kecewa dan nak mengamuk, dah dekat nak sampai giliran kita membeli - kakak kaunter angkat sepanduk 'Tiket Habis! SOLD OUT!' Kena macam ni, rasa berang kita memang buat kita nak makan orang rasanya.

Bersyukurlah anda tak kena lagi buat macam ni ya, walaupun mungkin anda kecewa tiket yang ingin anda beli telah tiada.




Hakcipta iluminasi.com (2017)