Apabila kita bercakap tentang muzik zaman sekarang, pasti majoriti individu yang sudah berusia sekitar 30 tahun ke atas akan berkata lagu zaman sekarang entah apa-apa isinya.
Kritikan demi kritikan akan dihamburkan dan kumpulan sebegini pasti kukuh mempertahankan bahawa muzik dan karya lagu era mereka membesar, sebagai era terbaik penghasilan seni gubahan muzik pernah berlaku. Yang ada sekarang ni, majoriti teruk belaka kecuali segelintir saja.
BESARKAN TEKS A- A+
Jika anda anak muda yang sedang berdepan masalah sebegini dan panas telinga mendengar 'orang tua' mengkritik dan tak suka dengan muzik anda minati, sabar. Kita semua akan melalui fasa sebegini kerana faktor yang mempengaruhinya ibarat roda, berputar tanpa henti mengikut arus perubahan zaman yang mencorakkannya.
1. Mereka masih bernostalgia dengan era dulu
Keterujaan seseorang untuk mempertahankan muzik yang diterbitkan semasa mereka membesar, adalah kerana perasaan nostalgia yang tersimpan dalam diri mereka.
Karya-karya era tersebut mengingatkan mereka tentang usia muda mereka, serta lebih penting - berkait dengan peristiwa atau insiden yang berlaku ketika tempoh tersebut. Disebabkan wujudnya faktor ini, minat mereka juga akan didorong oleh rasa emosi mereka.
Emosi ini akan mengikat satu generasi ke satu generasi dengan karya yang sezaman dengan mereka, kerana muzik era tersebut dirasakan lebih relevan berbanding lagu-lagu baru yang diterbitkan ketika mereka sudah berusia.
2. Mereka sudah mempertingkatkan selera mereka
Perjalanan minat seseorang penggemar muzik biasanya akan bermula daripada satu fasa ke fasa-fasa seterusnya, yang mengubah minat mereka ke arah lebih kompleks.
Penggemar muzik sejati akan mula mencari kelainan bukan saja dalam karya secara am, bahkan akan turut sama menjelajah genre-genre yang berbeza bagi mendapatkan muzik yang lebih mencabar minda.
Ini mengakibatkan minda mereka akan mula membandingkan karya-karya lebih kompleks ini dengan muzik kontemporari, yang biasanya lebih ringkas dan mudah; menyebabkan generasi terdahulu melihat muzik zaman sekarang hendak tak hendak saja penghasilannya.
3. Mereka tidak lagi terbuka mendengar mesej segar
Setiap karya yang terhasil dalam satu zaman, biasanya akan mengandungi identiti zaman tersebut. Baik daripada aspek mesej, genre, keseragaman dam corak nyanyian - kesemuanya boleh digolong ke dalam satu konsep identiti serupa.
Dalam menilai mesej yang cuba dilontarkan, pasti akan ada perubahan ketara di antara pengalaman generasi 70-an, 80-an dengan pengalaman yang dilalui generasi kelahiran selepas milenium. Kesemuanya tidak berkongsi pandangan terhadap dunia yang serupa.
Seseorang yang telah melalui zaman perang, pasti akan mendapati mesej lagu zaman sekarang yang lebih pelbagai dan bebas daripada stigma lama. Anak muda pun akan berdepan kesukaran menerima mesej-mesej lagu lama, yang dilihat tidak seiring dengan cara berfikir mereka.
4. Mereka setia
Anda pasti ada kenalan yang sehingga ke hari ini tegar mempertahankan artis atau pengkarya yang diminatinya sejak usia muda dan degil tidak mahu beralih ke pengkarya berbeza.
Perubahan ini akan berlaku kerana kita akan kekal setia dengan mana-mana karya yang bertanggungjawab 'membesarkan' citarasa dan minat muzik kita. Oleh kerana itulah masih ada golongan atuk-atuk yang mempertahankan muzik hair metal atau pakcik-pakcik yang masih percaya muzik grunge akan bangkit kembali.
Kenapa ini berlaku? Kesetiaan ini berlaku disebabkan oleh proses yang telah mereka lalui, mendengar lagu yang sama berulang kali sehinggakan mereka sukar menerima sebarang bentuk muzik baru dan berbeza.
Amat sukar untuk artis lebih baru dapat bertakhta dalam hati mereka sepertimana pengkarya yang membesarkan mereka. Buatlah macam mana pun, semua orang akan melalui fasa ini.
5. Lagu zaman sekarang memang teruk
Berbeza dengan zaman dahulu, penerbitan lagu zaman sekarang memang kurang kompleks. Penghasilannya mudah, dengan pemuzik dan penerbit sudah tidak perlu menjalani proses rumit penghasilan karya secara berhati-hati.
Sebaliknya lagu boleh dihasilkan menggunakan komputer, diolah dan diadun dengan segera. Kecacatan boleh diperbetul dengan mudah. Kemahiran tak seberapa mana, boleh dibaiki dengan teknologi yang ada.
Kesemua faktor ini menyumbang kepada satu masalah yang melanda industri muzik bukan saja di Malaysia bahkan di seluruh dunia; karya dihasilkan secara mee segera. Cepat dimasak, cepat dijual.
Penekanan kepada harmoni dan melodi yang kompleks penuh naik turunnya, digantikan dengan penekanan kepada penarik (hooks) dan nada (beats) yang diulangi berulang kali. Kalau lagu itu 3 minit, rentak sama lah akan diulang-ulang.
Ada sebabnya kenapa orang tua menyampah dengan lagu-lagu kontemporari selera anak muda; memang lagu zaman sekarang yang popular mengarut saja.