Tipu lah kalau golongan wanita yang tak sukakan beg tangan atau beg klac. Beg adalah antara barangan yang paling banyak dikumpulkan oleh kaum hawa, walaupun ada yang tak digunakan dan dikumpulkan kerana minat. Antara faktor yang menyebabkan sesuatu beg tangan itu menarik adalah rekabentuk, warna, jenama dan juga harga.
Bercakap pasal harga, sesetengah wanita sanggup menghabiskan sejumlah wang yang sangat banyak demi mendapatkan beg tangan yang diingini, sehingga mencecah puluhan malah ratusan ribu ringgit.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com ingin berkongsi 5 beg tangan yang paling mahal di atas muka bumi.
5. The Louis Vuitton Urban Satchel Bag
Pasti anda sudah menjangkakan jenama Louis Vuitton akan berada dalam senarai ini. Namun, jika dilihatkan kepada beg ini, anda pasti berkata ia kelihatan seperti sampah yang dilekatkan pada beg dan dijual dengan harga RM642,000. Beg yang sangat eksklusif ini dihasilkan daripada kulit yang terbaik dan dihiasi dengan "urban charms".
Louis Vuitton menggunakan Ashley Olsen dalam pengiklanan ini, dan dikhabarkan kembar Olsen sedang bertarung untuk mendapatkan beg ini, manakala Anna Wintour dan Victoria juga berperang membida untuk mendapatkan beg "sampah" ini.
4. Lana Marks Cleopatra
Mungkin ada di antara anda yang tak pernah mendengar jenama ini, namun Lana Marks mengeluarkan beg ke-4 termahal di dunia iaitu beg Cleopatra dengan harga RM1.07 juta.
Beg Cleopatra ini hanya dikeluarkan oleh Lana Marks setahun sekali sahaja, dan bagi beg ini, ia diperbuat daripada kulit buaya yang berwarna perak metalik dan dihiasi dengan 1,500 bentuk berlian hitam dan putih di atas emas putih 18 karat.
3. Chanel Diamond Forever Classic
Chanel juga berada di dalam senarai beg termahal dunia mempertaruhkan keluaran Chanel Diamond Forever Classic, dengan harga yang tidak mampu milik iaitu RM1.12 juta. Beg serba putih yang sangat mempersonakan ini mempunyai 334 bentuk berlian yang mana 3.56 karat setiap satunya dipasangkan pada emas putih 18 karat.
Tali bahu beg ini juga diperbuat daripada emas putih, dan jika anda ingin memilikinya, mungkin sudah terlambat kerana di atas muka bumi ini hanya terdapat 13 unit sahaja. Sayonara!
2. Hermes Birkin
Siapa tak kenal jenama Hermes, antara jenama beg tangan termahal di atas muka bumi ini. Beg yang badannya dihasilkan daripada 100% platinum adalah rekaan pereka dari Jepun iaitu Ginza Tanaka.
Tak cukup dengan itu, beg ini diperhalusi dengan 2,000 bentuk berlian dan berlian 8 karat berbentuk pir. Tali beg ini dan berlian 8 karat itu boleh dijadikan sebagai gelang tangan atau rantai leher. Harganya? RM8.13 juta.
1. The 1001 Nights Diamond Purse
Beg termahal dunia ini merupakan keluaran House of Mouawad, sebuah syarikat barang kemas terkemuka dunia. Beg ini mendapat pengiktirafan daripada Guinness Book of World Records sebagai beg paling mahal di dunia dengan harga RM16.26 juta.
Beg The 1001 Nights Diamond ini memerlukan masa selama 8,800 jam untuk disiapkan, iaitu melebihi setahun, oleh 10 orang professional. Beg ini dihiasi dengan 4,356 bentuk berlian lutsinar, 105 bentuk berlian kuning dan 56 bentuk berlian merah jambu, dan disempurnakan dengan emas 18k.
Sumber : Most expensive handbags in the world