Pakaian atlit sememangnya akan menimbulkan kontroversi, apatah lagi apabila dikaitkan dengan pakaian atlit yang agak menjolok mata yang dipakai oleh atlit beragama Islam, khasnya.
Pernahkah anda melihat evolusi pakaian atlit dari dulu sampai sekarang? Pasti banyak perubahan yang telah dilakukan dalam mereka cipta pakaian untuk atlit zaman sekarang, yang rata-ratanya mempunyai keupayaan otot dan rangka yang lebih kuat berbanding dahulu.
BESARKAN TEKS A- A+
Untuk artikel ini, mari kita imbas kembali evolusi pakaian bagi atlit wanita yang dipanggil leotard yang dipakai sejak dari mula wanita dibenarkan bertanding sehinggalah sekarang, di mana pakaiannya mampu membuatkan lelaki tak senang duduk dan perempuan pula merasa malu dengan apa yang dipaparkan secara terbuka.
1. Jules Leotard
Jules Leotard adalah individu dari Perancis yang memperkenalkan kepada dunia pakaian yang kita kenali sebagai leotard sekarang, bersempena nama beliau. Jules adalah seorang ahli akrobat yang memerlukan pergerakan yang lincah serta tidak terbatas, jadi dia mencipta pakaian tersebut untuk dirinya. Pada awalnya, Jules memanggil pakaiannya dengan nama 'maillot', namun selepas kematiannya, orang ramai mula menggelarkan pakaian tersebut 'leotard.'
Pada awalnya, leotard bukanlah baju rasmi bagi atlit. Leotard lebih banyak digunakan oleh mereka yang bergiat dalam arena sarkas atau individu yang mempunyai kerjaya seperti Jules.
2. Olimpik 1900-1908
Wanita hanya dibenarkan bertanding dalam Olimpik 1900 selepas penganjur Olimpik pertama pada tahun 1886 merasakan penyertaan wanita akan membuatkan kejohanan itu tidak menarik, tidak praktikal dan membosankan. Hanya bermula pada tahun 1900 di Paris, wanita dibenarkan menyertai acara-acara sukan terten€. Gambar di atas adalah gambar pakaian atlit wanita Denmark pada tahun 1908.
3. Olimpik 1912
Gambar di atas adalah pasukan renang Olimpik pada tahun 1912. Pada waktu ini, pakaian atlit wanita masih lagi cuba menutup beberapa bahagian sulit terutamanya punggung menerusi bahagian yang sedikit labuh.
4. Olimpik 1928
4 orang atlit wanita di atas adalah pelari pecut pasukan Jerman dalam acara 4x100 meter. Olimpik pada tahun tersebut diadakan di Amsterdam, Belanda. Pada Olimpik inilah buat kali pertamanya kategori wanita bagi acara atletik dan gimnastik dianjurkan. Halina Konopacka dari Poland menjadi wanita pertama dalam sejarah dunia memenangi kejuaraan acara balapan dan padang kategori wanita.
5. Olimpik 1948
Pada era ini, pakaian berbentuk leotard mula menjadi pilihan ramai atlit bukan sahaja lelaki, malahan wanita. Populariti baju renang wanita berbentuk leotard yang bermula dari era 20-an menjadikan badan sukan mempertimbangkan penggunaan leotard sebagai pakaian rasmi atlit bagi sesetengah sukan. Alice Coachman, seorang atlit Amerika Syarikat menjadi atlit wanita bukan berkulit putih pertama memenangi pingat emas Olimpik.
6. Era 1970-1980
Penggunaan leotard pada atlit gimnastik dan gimrama wanita pada era ini berkembang, namun atas dasar etika, pelbagai sekatan dikenakan ke atas pakaian yang dibenarkan seperti warna dan kadar telus fabrik.
Oleh kerana fabrik pakaian atlit melekat pada badan, orang ramai khasnya dari negara-negara Kesatuan Soviet yang pada masa itu mula menjadi kuasa besar gimnastik mula menampakkan minat menonton rancangan gimnastik dan gimrama atas sebab-sebab yang tak mahu diterangkan.
Sukan gimnastik dan gimrama pada tahun 1980-an mula dikuasai oleh Bulgaria menerusi sekumpulan atlit mereka yang digelarkan 'The Golden Girls of Bulgaria' yang gemar memakai pakaian yang berwarna-warni ketika bertanding.
7. Olimpik 1992
Atas usaha menggalakkan penyertaan negara Islam dalam acara sukan wanita di Olimpik 1992, pihak penganjur membenarkan atlit dari negara Islam menggunakan pakaian berbentuk unitard yang lebih sopan berbanding dengan leotard. Hassiba Boulmerka, atlit dari Algeria menjadi wanita pertama dari Algeria dan negara Arab yang memenangi pingat emas acara sukan Olimpik.
8. Pengenalan peraturan baru bagi atlit bola tampar wanita pada tahun 2012
Pada tahun ini, badan yang mengawal selia cara bola tampar di seluruh dunia, iaitu International Volleyball Federation. mengumumkan yang tidak ada lagi kewajipan pada atlit wanita untuk memakai bikini dalam sebarang kejohanan bola tampar pantai. Ini adalah satu perubahan baru yang positif yang menggalakkan penyertaan atlit wanita yang berhijab ke dalam sukan bola tampar.
9. Kebangkitan atlit berhijab di Olimpik
Pada Olimpik 2016, 3 atlit berhijab telah berjaya memenangi pingat sukan Olimpik. Kimia Alizadeh Zenoorin dari Iran berjaya memenangi pingat gangsa bagi sukan taekwondo. Ibtihaj Muhammad dari Amerika Syarikat telah menjadi atlit Muslim-Amerika pertama memenangi pingat bagi Amerika Syarikat setelah memenangi gangsa dalam acara lawan pedang.
Sara Ahmed dari Mesir pula menjadi wanita pertama dari negara-negara Arab memenangi pingat dalam acara angkat berat. Dia juga menjadi wanita Mesir pertama memenangi pingat dalam sukan Olimpik.
Begitulah penerangan serba ringkas tentang pemakaian atlit wanita dan bagaimana evolusi pakaian mereka dari dulu sehinggalah sekarang. Memang diakui, soal pakaian adalah satu isu yang penting tetapi apa jalan tengah yang perlu diambil dalam soal menjaga maruah atlit dan pada masa yang sama, meninggikan peluang untuk menang ketika bertading.
Adakah ini satu isu yang perlu diambil berat atau atas permintaan ramai, perlu dipejamkan sahaja sebelah mata kita kerana fesyen pakaian atlit sudah ada garis panduan yang kita patut ikuti dalam memastikan peluang kemenangan tinggi?
Anda putuskanlah sendiri jawapan kepada persoalan itu kerana ini bukanlah satu isu, yang perlu kita semua pandang ringan.