Oleh pada 08 Feb 2023 kategori

Semua orang tahu dalam sistem abjad Rumi yang kita amalkan dalam membaca dan menulis, terdapat 26 huruf merangkumi huruf A sehingga Z.

Abjad Rumi juga turut dilabelkan sebagai abjad Latin. 26 huruf utama membentuk sistem abjad Rumi dinamakan berdasar kepada sebutan masyarakat Arab 'Rumiyah', merujuk kepada masyarakat Rom.

Selain 26 huruf utama, terdapat juga penggunaan tanda bacaan berasaskan simbol yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda, sebelum 26 huruf ini selamat terpilih - ada beberapa abjad yang wujud tetapi dianggap tidak sesuai untuk digunakan khususnya dalam pembentukan sistem tulisan bahasa Inggeris moden. 

1. Thorn

thorn huruf tak rasmi rumi

Perasan tak dalam bahasa Inggeris, wujud banyak penggunaan istilah yang bermula dengan suku kata berasaskan huruf 'TH' seperti 'the', 'thin' atau 'things'?

Kita kini menggunakan gabungan huruf T dan H bagi menulisnya, tetapi masyarakat Inggeris terdahulu menulis suku kata ini menggunakan huruf yang dikenali sebagai thorn.

Bunyinya bukan berbunyi th~ seperti yang kita sebut, tetapi sebenarnya disebut lebih mirip dengan sebutan yh~.

Perubahan bahasa serta sistem ejaan membawa kepada perbezaan cara menyebutnya, mengakibatkan apa yang disebut dulu sebagai yhe~ kini disebut sebagai the~, apabila huruf thorn mula digantikan dengan ejaan th~. 

2. Ash 

ash huruf tak rasmi rumi

Kami yakin anda pernah terlihat atau terbaca abjad ini, tetapi tidak tahu bagaimana nak menyebut atau membacanya. Penulis dulu membacanya seperti 'AEY~'.

Betul. Memang itu kaedah membaca huruf yang dikenali sebagai Ash ini. Diambil daripada bentuk abjad Inggeris lama, huruf ini kerap tenggelam timbul dalam penggunaannya di kalangan masyarakat Eropah.

Mana-mana istilah moden yang mempunyai suku kata AE~ di depannya, seperti aether, vitae atau aeon dulunya ditulis menggunakan huruf ini, tetapi penggunaannya ditamatkan selepas sistem abjad Rumi diselaras dan dipermudahkan dengan ejaan gabungan 'AE~' diguna secara rasmi. 

Bagaimanapun bagi sebahagian masyarakat Eropah khususnya di kalangan masyarakat Scandinavia, huruf ini masih digunakan diamalkan dalam sistem tulisan mereka.

3. Ampersand

ampersand huruf tak rasmi rumi

Sekitar abad ke 18, ampersand pernah dikategorikan sebagai salah satu abjad utama dianggap huruf rasmi, dengan ampersand diletak sebagai abjad ke 27 selepas huruf Z terlebih dahulu dikenali dengan nama et.

Ini disebabkan penggunaannya pada zaman dahulu yang sangat meluas, khususnya semasa era pemerintahan Rom.

Semasa masih dianggap abjad, ampersand membawa bunyi sama seperti namanya 'et' yang mempunyai fungsi yang sama dengan 'dan' dalam bahasa Melayu atau 'and' dalam bahasa Inggeris.

Perasan tak sebuah ampersand, sebenarnya adalah gabungan dua huruf iaitu E dan T yang bercantum di tengah-tengahnya membentuk perkataan et? Cuba tengok betul-betul.

Lagu ABC zaman dahulu sekitar abad ke 18 juga berakhir dengan sebutan et per se, yakni ...V W X Y Z & per se. 'Per se' bermaksud 'berdiri sendiri' merujuk & atau et sebagai abjad tunggal. 

"& per se" yang disebut akhirnya dipermudahkan ejaannya kepada ampersand, dipilih sebagai nama baru simbol itu. Simbol ini akhirnya dikeluarkan daripada kategori abjad menjadikan hanya 26 huruf A-Z sebagai abjad rasmi.

4. Wynn

wynn huruf tak rasmi rumi

Kami yakin ramai merasa pelik kenapa huruf 'W' disebut sebagai 'Double U.' Ini sebabnya.

Ketika masyarakat Inggeris mula menggunakan sistem tulisan Latin, W ditulis dengan simbol U yang digandakan menjadi UU bagi mewakili bunyinya yang sama. 

Bagi mengemaskan sistem tulisan manuskrip yang popular ketika itu, pengenalan abjad dinamakan wynn yang membawakan bunyi yang sama dengan UU cuba dilakukan masyarakat Inggeris. 

Bagaimanapun, perubahan ini gagal mendapat sambutan masyarakat era tersebut, di mana mereka selesa mengekalkan penggunaan simbol UU dalam sistem tulisan mereka.

Penggunaan ini kekal walaupun simbol UU diubah bentuknya menjadi kepada simbol W yang ada sekarang, sehinggakan namanya pun kekal dirujuk sebagai sebagai Double U berdasarkan kepada simbol lama huruf itu.

Bagi abjad wynn pula, huruf itu tinggal sejarah yang terus dilupakan.

5. Yogh

yogh huruf tak rasmi rumi

Satu lagi huruf yang pernah diamal tetapi kini telah digantikan adalah huruf yogh atau ȝ.

Cucu cicit kepada abjad ini yang masih wujud sekarang, biasanya diwakili istilah yang mempunyai suku kata ch atau gh, seperti though, through, light atau daughter.

Perasan tak, kesemua perkataan itu bunyi gh yang ada padanya tidak dibunyikan? Itulah istilah yang asalnya pernah menggunakan huruf yogh ini. 

Diperkenalkan oleh orang Ireland kepada masyarakat Britain era Saxon sekitar abad ke 8, abjad ini diketepikan kerana masyarakat Inggeris ketika itu mahu mengekalkan pengaruh sistem Latin dalam pembentukan tulisan mereka.

Jadi huruf ini ditukar kepada 3 kaedah berbeza cara menulisnya.

Jika pada awal permulaan perkataan, ȝ diganti dengan huruf y atau g bergantung kepada maknanya. Seandainya ȝ ada di tengah perkataan, huruf itu digantikan dengan gh, seperti mana yang kita baca sekarang. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)