Oleh pada 31 Dec 2019 kategori

Sistem tulisan jawi sebenarnya merupakan sistem tulisan rasmi masyarakat kita, satu masa dahulu sebelum tulisan rasmi negara kita, mula mengadaptasi tulisan rumi sepenuhnya.

Walaupun demikian, telah dinyatakan di dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963, dalam sistem bahasa kebangsaan negara kita - kewujudan kedua-dua sistem itu perlulah dilihat sebagai selari yakni penggunaan tulisan rumi tidak boleh menyekat penggunaan tulisan jawi. Ini bermakna pada dasarnya, masyarakat Malaysia sepatutnya perlu memiliki kemahiran untuk memahami, membaca dan menelaah sistem tulisan jawi kerana kedudukan jawi sebenarnya diiktiraf dalam perlembagaan negara kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun sehingga ke hari ini, tulisan jawi kerap kali diletakkan sebagai satu bentuk tulisan yang dikatakan sepatutnya pupus serta tidak lagi relevan dalam era sekarang. Perbincangan serupa sebenarnya telah pun berlaku di kalangan masyarakat kita, sekitar era 50-an dan 60-an lagi, apabila idea untuk 'merumikan' sistem tulisan kita dicetuskan.

Pernah anda baca tentang sejarah ini?

Peranan ASAS 50

asas 50

Berikutan kesedaran orang ramai tentang kepentingan memulihara karya sastera dan literasi masyarakat Melayu, beberapa kelompok penulis dan karyawan mula menggabungkan tenaga dan usaha mereka bagi mewujudkan satu gerak kerja sastera yang lebih mampan.

Kumpulan sasterawan ini mula bergerak bersama dengan menggunakan nama Angkatan Sasterawan 50 atau lebih dikenali sebagai ASAS 50. Ditubuhkan pada 6 Ogos 1950, gerakan persatuan ini merupakan kumpulan karyawan sastera yang pertama wujud di Tanah Melayu. Keahlian ASAS 50 bukanlah di kalangan penulis berstatus picisan sahaja, kerana mereka terdiri daripada nama-nama besar karyawan ketika itu - yang namanya masih dikenang sehingga kini seperti Keris Mas.

Ditubuhkan dengan matlamat mahu memperkembangkan dan memperbaharui karya sastera Melayu yang ada serta menyatukan kalangan penulis di bawah satu bumbung, inspirasi penubuhan ASAS 50 sebenarnya banyak berkait dengan gerakan hampir serupa di Indonesia, bergelar Angkatan 45.

Salah satu matlamat utama ASAS 50 yang terkandung dalam piagam penubuhannya adalah untuk menjadi salah satu pihak yang membantu memperkukuhkan rasa nasionalisme di kalangan rakyat, melalui penerbitan bahan sastera yang mengangkat nilai tersebut. Kenapa matlamat ini penting? Kami akan perjelaskan dalam perenggan-perenggan berikutnya.

Sistem tulisan jawi dan rumi yang bergerak seiring

papan tanda jai rumi

Dalam zaman penjajahan British, penggunaan sistem tulisan rumi mula dipertingkatkan kepentingannya. Pada peringkat awal pengenalan tulisan rumi, pihak penjajah British telah bekerjasama dengan beberapa orang karyawan tempatan dalam menterjemahkan kitab-kitab orang Melayu klasik yang ditulis dalam tulisan jawi.

Dimulakan sekitar awal abad ke 20 oleh nama-nama besar ketika itu seperti C.O. Blagden, van Ronkel dan W.G. Shellabear yang pernah kami tampilkan dalam satu artikel popular kami - tulisan rumi mula meresap masuk dalam bentuk penerbitan-penerbitan dalam skala lebih besar.

Walau demikian, sistem ejaan rumi pada ketika itu masih mempunyai beberapa perbezaan dalam cara ejaan dan tulisannya. Ada pihak mengamalkan sistem rumi Elbinck yang diasaskan dari Belanda dan ada pihak yang menggunakan sistem ejaan English seperti Shellabear. Jadi penjajah pada ketika itu melantik R.J. Wilkinson untuk mempermudahkan sistem sedia ada ke dalam satu sistem sahaja.

Berikutan pengalamannya sebagai salah seorang penyusun Kamus Jawi-Melayu-Inggeris terbitan tahun 1903, Wilkinson memperkenalkan Sistem Ejaan Rumi Wilkinson pada tahun 1904 untuk menyelaraskan sistem tulisan rumi dan ejaannya.

Dengan kemahiran transliterasi yang dimiliki beliau, Wilkinson memperkenalkan kaedah yang mudah untuk merumikan tulisan-tulisan jawi yang ketika itu digunakan orang Melayu. Sistem Wilkinson kekal sebagai tulisan rumi standard yang diajarkan di sekolah-sekolah sehinggalah era 1940-an sebelum digantikan dengan Sistem Ejaan Rumi Za'ba (1940) sempena nama pengasasnya Zainal Abidin bin Ahmad.

Sistem tulisan rumi Za'ba itu kekal digunakan sehinggalah tahun 1972, apabila Malaysia dan Indonesia menjalinkan kerjasama melaksanakan standard baru bagi tulisan rumi meliputi Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia. Pengenalan Sistem Ejaan Rumi Bahasa Malaysia dan Pedoman Edjaan Bahasa Indonesia Jang Disempurnakan, dianggap sebagai detik di mana sistem tulisan rumi dianggap lengkap sepenuhnya.

Peranan ASAS 50 dalam perkembangan rumi

kassim ahmad

Berbalik kepada ASAS 50. Dalam perkembangan sistem tulisan rumi di Tanah Melayu/Malaysia, wujud pertelagahan antara pihak-pihak yang mahu mempertahankan kedudukan jawi dengan pihak yang merasakan rumi adalah langkah terbaik untuk ke hadapan.

Antara individu paling lantang mengkritik ASAS 50 yang disifatkan sebagai 'pro rumi' dan anti elemen Islam adalah allahyarham Kassim Ahmad, yang sangat kerap menimbulkan kontroversi melibatkan banyak perkara. Ini kerana Kassim Ahmad menyifatkan; berikutan matlamat nasionalis yang dibawa ASAS 50, ia telah memberi kesan melonggarkan elemen-elemen Islamik dalam masyarakat negara kita.

ASAS 50 juga dikritik banyak pihak kerana terlalu berkiblatkan gerakan revolusi yang berlaku di Turki, yang dijulang mereka akibat mampu mengubah sistem tulisan Arab ke sistem tulisan Latin bagi menulis bahasa Turki.

Bagi mencapai matlamat ASAS 50 yang berpegang bahawa penggunaan sistem tulisan rumi sebenarnya membawa potensi lebih besar kepada perkembangan kesusasteraan bahasa Melayu, ASAS 50 mula menganjurkan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu sejak tahun 1952, buat kali pertama.

Perubahan kecil yang akan dirasai berabad kesannya

sekolah melayu

Dalam Kongres kedua yang dianjurkan di Seremban pada tahun 1954, ASAS 50 mengeluarkan 'memorandum ASAS 50' yang menjelaskan ayat berikut sebagai hasrat mereka

Angkatan Sastrawan 50, sebagai lembaga sastra yang bercita-cita dan berusaha ke arah kemajuan bahasa dan kesusastraan Melayu, sejak semula berpendapat bahwa abjad Latin adalah abjad yang paling sesuai dan praktif untuk bahasa Melayu sekarang dan akan datang.

Memorandum ini dikatakan memainkan peranan yang sangat besar dalam membantu kerajaan pada ketika itu, membuat keputusan tentang sistem bahasa dan tulisan yang akan digunakan di masa akan datang.

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke 3 yang dilangsungkan setahun sebelum kemerdekaan pada tahun 1956, dirasmikan sendiri oleh YTM Tunku Abdul Rahman serta ditutup acaranya oleh YB Dato Abdul Razak Hussain, Menteri Pelajaran ketika itu. Dalam kongres tersebut berlaku peristiwa bersejarah pengisytiharan sokongan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang terkandung dalam Penyata Razak. Selain itu kongres itu juga memperkasakan matlamat awal penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka bagi membantu mewujudkan organisasi karyawan dan penerbit karya yang rapat dengan pemerintah.

Namun dalam kongres ketiga itu jugalah sistem tulisan jawi diibaratkan bertemu dengan penamatnya, setelah cadangan untuk mengutamakan tulisan rumi sebagai tulisan kebangsaan dipersetujui wakil kongres.

Antara perkara yang menyebabkan kurangnya usaha untuk meneruskan penggunaan tulisan jawi sebagai tulisan rasmi kebangsaan adalah disebabkan oleh pengaruh ASAS 50 pada era tersebut, yang mendesak agar rumi dijadikan pilihan utama. Pemimpin kerajaan kita juga pada ketika itu dikatakan sependapat dengan keputusan kongres anjuran ASAS 50, sehingga tidak ada banyak penentangan berlaku dalam hal ini.

Sehingga kini, kisah-kisah yang berbunyi seakan kritikan terhadap ASAS 50 serta pengaruh mereka terhadap hala tuju tulisan rumi dan hilang penguasaan jawi dalam masyarakat kita, terus kedengaran hingga kini. Penulis agak bersetuju dengan kritikan yang kedengaran, tetapi eloklah kisah itu disimpan dalam artikel yang akan datang kelak - yang akan membicarakan tentang beberapa individu yang bersungguh-sungguh melawan pemansuhan jawi dari masyarakat kita.

Rujukan

Persatuan Linguistik Malaysia - Sejarah Bahasa Melayu

Pemikiran Islam di Malaysia - Abdul Rahman Haji Abdullah




Hakcipta iluminasi.com (2017)