Tak ada seorang pun di dunia ni yang sukakan kesakitan. Eh, sebenarnya ada, tapi itu orang yang tak normal. Bagi orang normal kita sudah tentu dengan lumrah diri yang mahu mengelakkan kesakitan. Namun, kadang-kadang kita tak dapat nak elakkan diri kita daripada sakit atau mengalami menyakit.
BESARKAN TEKS A- A+
Kesakitan mempunyai tahap mereka yang tersendiri dan tak semua orang mempunyai daya ketahanan yang sama terhadap kesakitan. Ada orang boleh tahan sakit kepala, tapi tak dapat tahan sakit hati, dan sebaliknya. Kan berbeza tu? Tapi tahukah anda apakah sakit yang paling menyeksakan diri kita, dari sudut sains perubatan? Penulis pernah dengar ada orang cakap sakit yang paling hebat adalah sakit melahirkan anak, ada juga kata sakit gigi. Tapi yang pastinya mati itu lebih sakit, namun kita nak bincangkan mengenai sakit ketika hidup dari sudut sains perubatan.
Iluminasi.com ingin berkongsi 15 kesakitan dari sudut sains perubatan yang paling seksa manusia boleh alami.
15. Linchi
Dengar macam laici, tapi tak sama. Teknik hukuman yang digunakan oleh China dan Vietnam sehingga tahun 1900an ini adalah sesuatu yang amat menyakitkan. Dikenali sebagai "Death by a thousands cuts", badan mangsa akan dipotong kepada kepingan atau ketulan. Untuk menambahkan lagi kesakitan, proses ini dijalankan secara perlahan-lahan. Mak ai kejam betul.
14. Tetanus
Jika ibu bapa anda adalah anti-vaksin, anda berkemungkinan berpeluang dapat merasakan kesakitan ini. Tetanus merupakan satu kondisi yang jarang berlaku namun ianya serius yang disebabkan oleh bakteria yang merebak kepada luka. Ia antara salah satu kesakitan yang paling menakutkan yang boleh berlaku kepada badan kita. Otot anda akan mula kejang dan seperti terkunci. Tak boleh nak bayang. Nasib baik penulis divaksin dulu.
13. Lahirkan anak
Di tangga ke-13, melahirkan anak adalah salah satu yang amat menyakitkan, walaupun penulis tak pernah mengalaminya. Memang sering diperkatakan oleh semua orang terutamanya wanita yang pernah mengalaminya, bahawa ia amat menyakitkan. Disamakan dengan 20 tulang dipatahkan secara serentak. Seramnya dengar.
12. Penyaliban
Kesakitan akibat disalib dikatakan terlalu menyakitkan. Orang Rom adalah sifu kepada kaedah untuk membunuh dan menyeksa. Mereka akan menyalib seseorang untuk memberikan kesakitan yang maksima kepada mangsa.
11. Peritonitis
Bunyi macam period tapi bukan. Dalam abdomen kita terdapat lapisan nipis yang melindungi perut yang dipanggil peritoneum. Apabila peritoneum ini membengkak atau mengalami keradangan akibat daripada bocornya atau pecahnya usus-usus, bersedialah anda akan kesakitannya. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa maut.
10. Sindrom Irukandji
Di pantai Australia, terdapat banyak obor-obor Irukandji, yang sangat berbisa sengatnya. Ia boleh menyebabkan terjadinya sindrom ini dan menyebabkan kesakitan yang tidak terperi dan racunnya seperti azab yang tidak terperi. Sindrom ini mengambil masa sehingga beberapa minggu untuk surut jika diberikan perubatan yang betul. Ada mangsa yang mengalami sindrom ini meminta doktor untuk membunuh sahaja mereka bagi melenyapkan kesengsaraan itu. Erk!
9. Kilasan gonad
Alamak, dengar pun dah rasa sakit. Gonad adalah organ pembiakan iaitu testis bagi lelaki dan ovari bagi wanita. Kilasan salah organ pembiakan ini akan menyebabkan saluran darah terhenti, dan kesakitan yang amat sangat akan terhasil. Untuk menyelamatkan organ ini daripada rosak, pembedahan perlu dilakukan. Pernah dulu terkepit pun dah meraung, apatah lagi dikilas.
8. Batu karang
Memang tidak dinafikan antara yang tersakit. Jika anda pernah mengalaminya pasti anda juga akan bersetuju, namun tahukah anda batu karang yang pernah dikeluarkan dari badan manusia adalah selebar 15 sentimeter! Bagi orang seperti penulis yang tidak pernah merasakannya, dikatakan sekecil-kecil batu saja sudah menyakitkan, apatah lagi 15 sentimeter. Paling menakutkan ialah ia menyebabkan kencing berdarah.
7. Terbakar tahap kedua
Okay bila sebut tahap kedua, mesti juga ada tahap ketiga kan? Pasti tahap ketiga lebih sakit! Tak, terbakar tahap ketiga adalah sangat teruk sehinggakan urat saraf anda pun dah rosak, jadi anda takkan rasa apa-apa. Jadi, terbakar tahap kedua lebih sakit. Kalau tengah masak terpegang periuk panas pun dah menggelupur, apatah terbakar seteruk ini. Minta dijauhkan.
6. Penyakit Dercum
Juga dikenali sebagai penyakit Anders, ia merupakan satu masalah kesihatan di mana disfatkan sebagai obesiti dan tumor berlemak dalam tisu lemak. Penyakit ini terdiri daripada beberapa ketumbuhan yang sangat menyakitkan dan apa yang lebih mengerikan adalah ketumbuhan-ketumbuhan tersebut sangat sensitif terhadap sentuhan dan suhu. Ia sampai ke tahap mandi pun boleh menyebabkan kesakitan tak terperi. Habis tu macam mana nak mandi?
5. Complex Regional Pain Syndrome (CRPS)
Sindrom ini adalah disebabkan reseptor dalam badan anda rosak dan seolah-olah gila yang mengakibatkan bengkak yang teruk diiringi kesakitan, biasanya pada anggota badan. Apa yang lebih buruk adalah ia tidak mempunyai penyembuh dan akan menjadi semakin buruk. Jika kesakitan yang dialami tidak lagi dapat ditahan oleh pesakit, cara terbaik adalah dengan memotong bahagian tersebut. Apa yang menyebabkan sindrom ini? Sumbangan kepada penyakit ini adalah dengan merokok.
4. Sakit kepala kluster (berkelompok)
Penulis mengakui ianya amat menyakitkan kerana pernah mengalaminya. Ianya terjadi betul-betul di belakang bola mata, tak seperti migrain dan sakit kepala disebabkan tekanan. Biasanya berlaku pada waktu malam, dan berlaku secara berkumpulan, oleh itu diberi nama "Kluster". Rasa yang dikatakan oleh orang seperti mata dicucuk itu boleh dikira sebagai benar. Awww.
3. Zakar retak
Berita baik bagi wanita, anda tak akan pernah mengalami kesakitan ini. Walaupun zakar tidak mempunyai tulang, namun "retak" yang dimaksudkan adalah pecahnya satu atau dua "tunica albuginea", iaitu alas fiber yang fungsinya membaluti tisu ereksi pada zakar yang dikenali sebagai corpora cavernosa. Sebab yang membolehkan ianya terjadi adalah akibat hentakan atau pelanggaran objek tumpul dengan zakar yang menegang, biasanya ketika hubungan intim atau masturbasi yang agresif. Kaum lelaki, jagalah ia sebaik-baiknya sebagaimana anda menjaga kereta anda daripada tercalar. Amin.
2. Sakit kepala "Postdural Puncture"
40% daripada mereka yang mengalami adalah mereka yang pernah menjalani proses lumbar puncture. Ia merupakan kesakitan maksima yang boleh dialami oleh manusia. Juga dikenali sebagai spinal headache, ia adalah disebabkan meninges (selaput otak - paling sensitif dalam badan) dalam badan anda dijangkiti, biasanya oleh kesan sampingan suntikan anestesia pada tulang belakang. Jika kesakitan itu masih tidak cukup, dengan bergerak sahaja ia boleh menambahkan lagi kesakitan sedia ada. Jadi, anda tak boleh nak bergerak. Digambarkan sebagai kesakitan yang membakar dan merebak seperti besi panas.
1. Tekanan emosi
Di antara segala sakit di atas daripada badan dipotong, disengat obor-obor hinggalah zakar patah, sakit mental atau emosi adalah sesuatu yang paling sakit dan dasyat seseorang itu boleh alami. Terdapat pelbagai bukti yang menunjukkan bahawa trauma dan kesengsaraan emosi dicetuskan di bahagian otak yang sama dengan kesakitan fizikal. Paling teruk di antara sakit mental atau emosi ini adalah tekanan psikologi.
Contoh tekanan emosi adalah putus cinta, anda pernah putus cinta? Amacam, sakit ke tak? Mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak lena. Lagi teruk daripada kena sengat dengan obor-obor kan?
Jika kesakitan fizikal itu mungkin boleh dirawat dengan cara fizikal, tetapi sakit mental perlu dirawat menggunakan cara psikologi, dan ia memerlukan keseimbangan emosi serta keinginan pesakit untuk pulih, jika tidak, ia akan berterusan dan kemungkinan tak akan dapat dirawat sampai bila-bila.
Jadi sama-sama lah kita elakkan apa sahaja yang boleh menyumbang kepada kesakitan dan kesengsaraan di atas.
Sumber :
1. Wikipedia
2. NHS
3. Paling Seru
4. NINDS
5. WebMD
6. List