Berbanding dengan jiran mereka yang tinggal di Pulau Sentinel Utara, suku Jarawa yang tinggal di gugusan kepulauan Andaman, di bawah pemerintahan kerajaan India mempunyai nasib yang berbeza.
Orang Sentinel yang tinggal dilindungi kerajaan mereka daripada diganggu dunia luar, tetapi bagi orang Jarawa - perlindungan serupa tidak diberikan. Dengan pembukaan sebuah jalan sepanjang 230.7 km yang digelarkan sebagai Jalan Besar Andaman, menghubungkan beberapa pekan besar di sekitar kepulauan tersebut
BESARKAN TEKS A- A+
Jalan itu memendekkan masa perjalanan yang sebelum itu mengambil masa 10 hingga 12 jam, membantu membangunkan pekan-pekan kecil di sekitarnya. Walau bagaimanapun, secara tak langsung menyambung masyarakat Jarawa dengan dunia luar sehingga menyebabkan perubahan besar dalam hidup mereka.
Siapa orang Jarawa?
Tidak banyak yang diketahui berkenaan orang Jarawa. Mereka menampakkan rupa paras mirip orang Afrika, dengan pelbagai teori wujud cuba menjelaskan asal-usul mereka. Mereka juga dikatakan antara waris kumpulan manusia pertama yang meninggalkan benua Afrika, keluar menjelajah dunia.
Ketika ini, dianggarkan terdapat lebih 400 orang ahli masyarakat Jarawa yang masih hidup mengamalkan budaya dan tradisi nenek moyang mereka. Daripada jumlah keseluruhan mereka, sekitar 40 atau 50 orang individu akan diletakkan dalam satu kumpulan yang dinamakan 'chaddas.' Chaddas bererti rumah.
Setiap hari dengan menggunakan peralatan seperti busur dan anak panah, mereka akan memburu hasil hutan seperti babi dan kura-kura atau ikan, ketam dan belut di lautan, untuk dijadikan makanan. Buah-buahan, akar kayu dan madu turut sama menjadi sebahagian daripada keperluan ruji mereka.
Berikutan pembukaan jalan besar yang menghubungkan mereka dengan dunia luar, beberapa kajian terhadap orang Jarawa telah berjaya dijalankan. Sangat mengagumkan apabila diukur tahap kondisi badan mereka senantiasa berada dalam keadaan optimal. Mereka juga mempunyai pengetahuan yang mendalam berkenaan lebih 150 jenis tumbuhan dan 350 spesis haiwan.
Membuka pintu pada masyarakat moden
Pembinaan jalan besar itu menyedarkan masyarakat Jarawa berkenaan kelompok manusia lain yang ada. Satu insiden pada tahun 1996 menjadi pencetus kepada permulaan komunikasi. Seorang pemuda Jarawa bernama Enmai patah kakinya semasa keluar mencari makanan dan dikejarkan ke hospital. Selepas mendapat rawatan, Enmai pulang dan menceritakan kepada sukunya tentang dunia luar.
Kejadian itu mengubah pandangan orang Jarawa serba-sedikit. Beberapa individu Jarawa mula memberanikan diri meninggalkan kawasan hutan mereka, berkunjung ke pekan dan penempatan terdekat. Keterbukaan ini menyebabkan kerajaan India mula mewujudkan hubungan rasmi dengan komuniti Jarawa pada tahun 1997.
Bagaimanapun, masalah kecil mula timbul di kalangan orang Jarawa akibat hubungan ini. Semakin ramai anak muda mereka mula berjinak-jinak dengan rokok, alkohol dan apa saja yang boleh memberikan keseronokan. Walaupun begitu, jika dibandingkan dengan masalah sebenar mereka - keseronokan yang mula ditagih anak muda mereka agak kecil saja kesannya.
Dijadikan safari manusia
Mula menjadi buah mulut orang ramai, nama masyarakat Jarawa mula disebut-sebut sebagai salah satu tarikan pelancong. Bagaimanapun, kerajaan India cuba melindungi masyarakat tersebut dengan menempatkan pegawai polis bagi melindungi kawasan mereka namun rasuah dan wang ringgit lebih berkuasa.
Pihak berkuasa didapati menyalah gunakan kedudukan mereka untuk mendapatkan habuan - mengaturkan 'lawatan rasmi' pelancong ke dalam penempatan orang Jarawa dengan bayaran yang agak tinggi, sekitar RM1250 untuk setiap satu ekspedisi. Dengan menaiki bas, kumpulan pelancong tadi akan dibawa sehinggalah ke penghujung jalan besar Andaman, di mana kebiasaanya komuniti Jarawa akan berada di tepi jalan.
Apa yang lebih menakutkan - orang Jarawa yang ada di tepi jalan seakan-akan sudah dilatih untuk meminta daripada pelancong apa saja, seperti pengemis. Semua wang dan barangan yang berjaya dipungut, akan diserahkan pada pegawai-pegawai polis yang ada ditukar kepada barangan lain, seperti rokok, arak atau makanan.
Gelagat pelancong di dalam bas juga memalukan. Melihat sendiri di depan mata orang Jarawa, ramai yang mula melontarkan biskut atau pisang kepada mereka, seolah-olah mereka berada di safari yang laparkan makanan.
Kerosakan akibat dunia moden
Semakin lama, kawasan pertanian dan perladangan yang diusahakan oleh pengusaha mula mencerobohi kawasan tempat tinggal orang Jarawa. Satu usaha memindahkan mereka pada tahun 2004 gagal dan kerajaan India memutuskan untuk membiarkan saja orang Jarawa di lokasi asal mereka, dengan kawalan ke atas mereka diperketatkan.
Proses asimilasi orang Jarawa ke dalam masyarakat India sehingga ke hari ini tidak dilakukan, kerana tidak ada kemahuan daripada orang Jarawa untuk meninggalkan corak hidup mereka.
Usaha kerajaan India bagi melindungi orang Jarawa harus dipuji, selepas mahkamah memutuskan untuk menutup sebahagian daripada jalan besar Andaman pada tahun 2002, namun larangan itu tidak diendahkan menyebabkan jalan itu terus digunakan; termasuklah aktiviti safari manusia yang popular itu.
Sebuah video tahun 2012 yang ditangkap pelancong, memaparkan beberapa orang gadis Jarawa diminta menari untuk mendapatkan hadiah - membuka lebih banyak diskusi tentang nasib yang menimpa orang Jarawa. Pada tahun 2013, kempen yang dijalankan berjaya mewujudkan larangan penggunaan jalan tersebut secara berleluasa, dengan hanya empat kali laluan dibuka bagi kegunaan setiap hari.
Sebuah laluan air pada tahun 2017 dibuka bagi menghubungkan jeti di penghujung pulau tersebut serta mampu mengelakkan kawasan tempat tinggal orang Jarawa daripada dilalui. Malangnya, banyak pihak tetap berkeras mahu menggunakan jalan darat yang lebih cepat seterusnya mendedahkan lagi orang Jarawa kepada awam, menjadi tontonan dan usikan pelancong yang hadir.
Sama ada perlu atau tidak mereka diasimilasikan, memang keputusan itu sepatutnya jatuh ke tangan merek. Tetapi apabila manusia yang kononnya berakal tidak mahu menggunakan pemikiran mereka - sesiapa saja pun boleh menjadi mangsa, apatah lagi orang yang primitif seperti orang Jarawa.
Rujukan