Tahukah anda bahawa terdapat beberapa tempat di dunia ini yang tidak boleh kita lawati walaupun kita mampu? Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebabkan tempat itu dikawal atau ditutup untuk lawatan orang awam. Di sini kami kongsikan 10 di antara tempat-tempat yang tidak membenarkan pengunjung datang ke sana:
1. Pulau Ular, Brazil
Pulau ini juga dikenali di Brazil dengan nama Ilha da Queimada Grande. Tempat ini padat dengan populasi ular dan antaranya juga terdapat ular paling berbisa di dunia iaitu Ular Kapak Berkepala Tombak Emas. Bisanya sangat berbahaya kerana mampu mencairkan daging manusia di sekitar kesan gigitannya. Ada yang mengatakan jumlah ular di sini adalah seekor bagi setiap satu meter persegi tanah. Pihak kerajaan Brazil telah mengarahkan tempat ini ditutup untuk orang ramai. Bagi tujuan penyelidikan pula, kehadiran seorang doktor bersama pasukan penyelidik adalah syarat wajib yang dikenakan kerajaan.
BESARKAN TEKS A- A+
2. Zon Keamanan PBB, Cyprus
Tentera Turki telah menawan Cyprus pada tahun 1974 dan menyebabkan tercetusnya perang saudara di antara bangsa Greek dan Turki. Setelah peperangan berakhir dengan gencatan senjata, PBB telah mengambil alih ibu negaranya Nicosia dan menjadikannya "zon aman". Di sini juga telah dibina sebuah tembok untuk memisahkan etnik komuniti Turki di sebelah utara dan etnik Greek yang berada di sebelah selatan.
Di dalam kawasan tembok ini terdapat banyak rumah dan bangunan yang ditinggalkan. Ada juga beberapa kawasan "untuk kegunaan awam" yang membenarkan penduduk melaluinya namun kawasan selebihnya tiada sesiapa dibenarkan masuk sudah berdekad lamanya.
3. Makam Qin Shi Huang, China
Pada tahun 1974, para petani di Xian, China telah menjumpai makam maharaja China yang pertama ketika sedang menggali perigi. Makam maharaja Qin Shi Huang itu ditemui tertanam bersama-sama lebih 2,000 patung tentera yang diperbuat daripada tanah liat. Ahli arkeologi berpendapat lebih kurang 8,000 patung yang lain masih belum dijumpai.
Namun begitu, kerajaan China telah melarang mana-mana ahli arkeologi untuk menggali bahagian utama yang menempatkan mayat Qin Shi Huang yang dikebumikan pada tahun 210 sebelum Masihi itu. Ia bertujuan bagi menghormati mayat maharaja China yang pertama itu dan khuatir kerja penggalian akan merosakkan harta peninggalan purba yang tidak ternilai.
4. Chernobyl, Ukraine
Tanggal 26 April 1986, di Chernobyl, Ukraine telah berlaku satu kemalangan letupan nuklear paling teruk dalam sejarah. Sukar untuk memastikan jumlah sebenar mangsa yang terkorban namun pakar menganggarkan antara 9,000 hingga sejuta orang akan mati disebabkan oleh kanser yang berpunca daripada radiasi nuklear itu. Walaupun kejadian itu terjadi hampir 30 tahun yang lalu namun kerja pembersihan masih sedang dijalankan. Pakar juga menjangkakan tempat ini tidak sesuai untuk didiami manusia untuk tempoh 20,000 tahun yang akan datang.
5. Area 51, Nevada
Kerajaan Amerika Syarikat tidak mengakui tentang kewujudan Area 51 ini sehinggalah dokumen tentang pangkalan tentera Nevada ini didedahkan pada tahun 2013. Namun begitu, pihak kerajaan masih tidak mendedahkan jenis uji kaji apa yang dijalankan di sini.
Sesetengah pihak teori konspirasi mendakwa ia merupakan tempat menjalankan kajian makhluk asing. Di sekelilingnya terdapat kawasan gurun dan gunung yang membuatkannya semakin sukar dikesan. Walaupun anda mendapat kelulusan untuk pergi ke situ, anda perlu menaiki pesawat yang ditutup rapat kesemua tingkapnya sehinggalah mendarat di lapangan terbangnya.
6. Pulau Sentinel Utara, India
Pulau yang terletak di Teluk Bengal di Kepulauan Andaman dan Nicobar ini merupakan sebahagian besar jajahan India. Puak pribumi Sentinel dianggarkan telah menetap di situ selama lebih 60,000 tahun dan merupakan salah satu puak yang terasing dari dunia moden. Pada tahun 2006, bot yang dinaiki oleh dua orang nelayan telah hanyut di pulau ini dan mereka telah dibunuh kejam oleh penduduk di sini. Semenjak itu juga ada dilaporkan puak pribumi yang cuba membaling tombak dan melepaskan anak panah kepada helikopter yang melalui kawasan udara pulau ini. Kini pihak kerajaan India telah bersetuju untuk tidak cuba menjelajah pulau ini lagi.
7. Arkib Rahsia Vatican, Bandar Vatican
Tempat yang dikawal dengan sangat ketat ini mempunyai rak-rak buku sepanjang 85 km dan menyimpan segala dokumen serta artifak berkaitan Gereja Katolik. Sesetengah artifak yang disimpan bertarikh seawal kurun yang ke-8. Antara peninggalan sejarah yang disimpan adalah surat yang ditulis oleh Ratu Mary Scotland yang merayu kepada Pope Sixtus V agar dia tidak dihukum pancung.
Arkib ini dibuka untuk pengunjung pada 1881 namun bukan mudah untuk mendapat kelulusan memasukinya. Para penyelidik yang diluluskan permohonannya akan mendapat akses masuk selama sehingga 3 bulan maksimum dan hanya 60 orang sahaja dibenarkan berada di situ pada satu-satu masa.
8. Fort Knox, Kentucky
Fort Knox merupakan tempat simpanan emas Amerika Syarikat yang terbesar dan yang paling ketat dikawal di dunia. Tidak pernah ada seorang manusia pun yang pernah lolos mencerobohnya. Dilengkapi dengan pelbagai kombinasi kawalan untuk mendapat masuk, setiap petugas di situ hanya diberikan satu kombinasi sahaja untuk kawasan mereka bekerja. Untuk ke kawasan lain, mereka perlu bantuan petugas lain yang menjaga kawasan yang dituju itu.
9. Tempat Simpanan Benih Svalbard
Dibina sejauh 320 kaki di dalam gunung di antara Norway dan North Pole, ia menyimpan sejumlah besar benih tanaman yang dapat bertahan daripada segala bentuk bencana alam yang melampau. Terdapat lebih 890 ribu jenis benih yang dikumpul dari seluruh dunia bagi menjamin keselamatan penghasilan semula makanan.
Pintu tempat simpanan ini hanya akan dibuka beberapa kali sahaja dalam setahun dan hanya beberapa orang petugas sahaja yang dibenarkan masuk. Kini perubahan iklim yang ketara sedang menguji ketahanan tempat simpanan benih Svalbard itu.
10. Gua Lascaux, France
Lukisan prasejarah yang terdapat di dalam gua ini telah ditemui pada tahun 1940 dan menjadi tarikan pengunjung setelah Perang Dunia Kedua. Namun begitu, karbon monoksida yang terhasil daripada pernafasan pengunjung telah merosakkan lukisan pada dinding gua itu sedikit demi sedikit. Pada tahun 1963, ia telah ditutup untuk orang awam dan telah dinamakan oleh UNESCO sebagai tapak bersejarah dunia. Hanya pengkaji dan pakar pemuliharaan sahaja yang dibenarkan masuk.