Hidup dalam kurungan sedikit sebanyak mampu menyebabkan perangai manusia berubah, sama ada menjadi lebih positif atau malang, menjadi lebih buruk.
Ada yang menggunakan tempoh kawalan ini bagi menceriakan kita dan ada yang menjadikan waktu ini, sebagai waktu di mana perangai mereka nampak taring sebenarnya. Wujud bermacam jenis perangai manusia yang aneh, pelik dan ganjil boleh berlaku disebabkan perubahan yang sedang kita alami.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah lima kisah lucu, tragik dan mampu membuatkan kita menggelengkan kepala - yang dapat kami kongsikan kepada anda agar membantu anda menempuh hari-hari mendatang.
1. Warga Sepanyol bawa ketam jalan-jalan
Undang-undang kawalan pergerakan di Sepanyol sangat ketat, tetapi kelonggaran diberikan kepada mana-mana tuan punya pemilik haiwan peliharaan anjing - untuk membawa haiwan itu berjalan di luar.
Oleh kerana itu, anjing mula menjadi 'jalan keluar' bagi sesetengah orang untuk bersiar-siar - sehinggakan perkhidmatan menyewa anjing juga mula ditawarkan di negara itu.
Terdesak atau mungkin sengaja nak cari pasal, beberapa orang individu cuba mengambil kesempatan atas kebenaran itu dengan lebih mendalam. Ada pihak yang ditangkap cuba membawa kambing, ayam dan juga ketam berjalan keluar.
Ada juga seorang lelaki ditangkap kerana cuba membawa patung anak anjing berjalan.
2. Polis India denda pelancong menulis
Bagi sekumpulan pelancong melibatkan warga Mexico, Australia dan Austria, mereka tersilap langkah selepas ditangkap mencabar perintah kawalan pergerakan di India. Kesemuanya pada ketika ditahan, sedang bersiar-siar di Rishikesh - salah sebuah destinasi pelancongan popular di negara tersebut.
Selepas rayuan mereka diterima anggota polis yang bertugas, kumpulan pelancong itu diminta menulis 'I did not follow the rules of lockdown. I am very sorry' di atas kertas sebanyak 500 kali.
Kesemua pelancong berjaya menamatkan hukuman yang dikenakan ke atas mereka, berjaya menyerahkan dokumen tulisan itu sebagai bukti. Dalam video yang tersebar, sambil hukuman dijalankan - petugas polis yang melakukan tangkapan turut sama memberikan ceramah panjang pada kesemua pesalah.
3. Hantu di Indonesia
Takut ramai orang seakan enggan memberikan kerjasama serta tidak takut untuk menjalankan kawalan pergerakan yang sepatutnya - sekumpulan anak muda di Jawa, Indonesia mengambil langkah menyamar sebagai hantu bungkus bagi menakutkan individu yang masih keras kepala.
Pada mulanya taktik itu menjadi, namun selepas kisah operasi 'hantu' ini mula tular - penduduk setempat mula memberanikan diri keluar rumah bagi menangkap gerakan hantu-hantu ini pula.
Operasi menggunakan taktik hantu itu yang dicadangkan oleh ketua kampung di situ dengan bantuan anak muda mendapat sambutan yang baik masyarakat setempat, bagi menyebarkan kesedaran kerana Indonesia belum menjalankan perintah kawalan ke atas seluruh negara mereka.
Negara republik itu sedang memperkenalkan kawalan secara beransur-ansur.
4. Rakyat Filipina siar hukuman secara langsung
Dalam sebuah siaran langsung menerusi aplikasi Facebook Live, sekumpulan sukarelawan penguatkuasaan tempatan menangkap 3 orang individu transgender yang didapati melanggar arahan kawalan kerajaan.
Kesemua warga Filipina perlu berada dalam rumah bermula jam 8 malam, tetapi ketiga-tiga individu itu dituduh keluar bersiar-siar bagi mencari pasangan untuk menjalankan hubungan terlarang. Ketiga-tiganya dihukum menari, melakukan tekan tubi dan bercium-ciuman sesama mereka - semuanya disiarkan secara langsung.
Walaupun kesemua mangsa menyatakan mereka keluar bagi membantu ahli keluarga, rayuan itu tidak diendahkan. Di Filipina, masalah pihak penguatkuasa mengambil kesempatan ke atas pihak yang ditangkap memang menjadi satu isu besar, selepas beberapa kes serupa turut berlaku di beberapa daerah lain.
Ini tidak menghairankan boleh berlaku. Presiden Filipina sendiri, Rodrigo Duterte direkodkan secara rasmi menyebut - mana-mana pesalah yang melanggar kawalan, patut ditembak sampai mati sekiranya ditangkap.
5. 'Keyboard warrior' China laksanakan hukuman dalam talian
Berdasarkan kepada sistem sekuriti sosial yang dilaksanakan di China sebelum ini, mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan sosial akan dipamerkan wajah mereka dalam laman web kelolaan kerajaan - sebagai satu usaha mendidik masyarakat mereka mematuhi undang-undang sivik.
Itulah yang berlaku pada seorang wanita selepas gambarnya mula dipaparkan di laman web itu, menunjukkan bagaimana dia telah keluar berlari pada penghujung bulan Mac tahun 2020 seraya melanggar arahan kawalan. Ini menyebabkan identiti beliau mula disebarkan.
Hasil kempen netizen, wanita itu hilang pekerjaan sebagai salah seorang petugas di sebuah syarikat farmasi.