Kebanyakan orang pasti memikirkan prosedur pembedahan plastik selalunya melibatkan implan payudara, membesarkan bontot, memancungkan hidung, mengempiskan perut atau menegangkan muka sahaja.
Pada zaman di mana kecantikan fizikal menjadi ukuran, pembedahan plastik adalah sesuatu yang tidak asing lagi. Banyak lagi sebenarnya pembedahan plastik lain yang popular dan menjadi permintaan ramai. Berikut adalah beberapa di antaranya yang dikongsikan oleh pakar-pakar bedah seluruh dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Pembedahan Six Pack
Pada masa lalu, prosedur liposuction (sedut lemak) hanya digunakan untuk meratakan bahagian badan yang mengandungi lemak berlebihan. Kini, segelintir pakar bedah telah melakukan prosedur Hi Def Liposculpture iaitu teknik liposuction yang lebih canggih.
Prosedur ini digunakan untuk menghasilkan bentuk six pack pada perut yang menjadi keinginan ramai lelaki. Untuk mendapatkan perut yang sempurna ini, prosedur ini menggabungkan teknik liposuction dan pengecilan kulit.
2. Grin lift (senyuman)
Garisan di sudut mulut kita akan menurun apabila kita semakin berusia. Bagi sesetengah orang, garisan menurun ini wujud walaupun mereka masih muda. Ini membuatkan mereka kelihatan sedikit muram walaupun sebenarnya tidak. Prosedur grin lift adalah salah satu jalan penyelesaiannya.
Dalam prosedur ini, pakar bedah akan membuang satu pertiga kulit kecil dari atas setiap sudut mulut untuk menjadikannya terangkat. Kelebihannya, senyuman anda mungkin akan sentiasa kelihatan manis. Kekurangannya, prosedur ini akan meninggalkan parut kekal pada sudut mulut anda dan mungkin kelihatan sedikit sama dengan The Joker.
3. Upper lip lift (bibir atas)
Kulit antara hidung dan bibir atas kita akan semakin memanjang apabila sudar berumur. Sesetengah doktor telah merawat kesan ini dengan menyuntikkan sejenis isian pada bahagian bibir atas, menyebabkan ia kelihatan seperti disengat lebah.
Salah satu cara lagi ialah dengan melakukan prosedur upper lip lift, di mana pakar bedah membuang kulit berlebihan itu dengan menghasilkan satu potongan kecil yang tersembunyi di bawah dasar hidung. Parut itu biasanya tidak akan kelihatan pada pesakit yang lebih tua.
4. Bra line back lift (lemak belakang badan)
Ramai wanita sering mengadu kepada pakar pembedahan plastik tentang lemak di bahagian belakang badan mereka. Lipatan lemak di bahagian belakang sering membuatkan mereka tidak selesa memakai coli.
Dahulu, cara yang ada ialah melakukan liposuction untuk membuang lemak tetapi ia boleh membuatkan pesakit mempunyai kulit yang longgar. Kini, terdapat prosedur baru yang digelar 'Bra Line Back Lift".
Prosedur ini melibatkan gulungan lemak di belakang badan dibuang melalui pembedahan dan menjadikannya rata. Pembedahan ini akan meninggalkan parut yang tersembunyi dalam coli. Walaupun parut itu kekal, begitu juga hasilnya.
5. Pembedahan pusat
Kini, pusat yang tersembul boleh diperbaiki melalui pembedahan. Kebanyakan pusat yang tersembul itu adalah hernia umbilus kecil. Pakar bedah boleh membaiki hernia ini dengan prosedur yang dipanggil umbilicoplasty atau pembedahan pusat.
Pembedahan ini akan membuatkan permukaan permukaan pusat tersembul menjadi tenggelam dan kelihatan lebih baik. Prosedur ini akan mewujudkan bekas luka kekal tetapi biasanya disembunyikan dengan baik.
6. Pembedahan pipi tembam
Pipi yang tembam adalah sesuatu yang comel bagi kanak-kanak tetapi boleh membuatkan orang dewasa kelihatan gemuk. Keadaan ini boleh diperbaiki dengan prosedur buccal lipectomy.
Dalam pembedahan kecil ini, pakar bedah akan membuat potongan kecil di dalam pipi dan mengeluarkan lemak di dalamnya. Ini akan membuatkan lubang pipi menjalar masuk ke dalam dan meningkatkan tulang pipi kelihatan lebih jelas.
7. Pengurangan tulang rahang
Tulang rahang yang luas boleh berlaku akibat penambahan otot maseter iaitu otot yang digunakan untuk mengunyah. Dahulu, pakar bedah akan memotong sedikit otot ini melalui pembedahan. Hari ini, pakar bedah mengurangkan saiz otot ini dengan menyuntik Botox ke dalamnya.
Botox akan melemahkan otot, menyebabkannya mengecil. Dalam masa sebulan sahaja, pelanggan akan mendapati bahawa rahang mereka akan menjadi lebih kurus. Namun, kesan ini hanya akan bertahan selama enam bulan sahaja dan pelanggan perlu mengulangi semula prosedur ini jika ingin memiliki rahang yang lebih cantik.
8. Membaiki "senyuman gusi"
Senyuman sesetengah orang akan mendedahkan sebahagian besar gusi. Ramai doktor gigi merawat keadaan ini dengan mengubah garisan gusi. Namun, pakar pembedahan plastik telah merangka teknik lain untuk meningkatkan senyuman yang lebih menawan.
Mereka akan memotong beberapa otot yang mengangkat bibir dan memasukkan implan 'penjarak' untuk menghalang otot-otot ini daripada bersambung semula. Prosedur ini biasanya mengambil masa kurang daripada satu jam.
9. Transplan bulu mata
Ramai yang pernah mendengar transplan (penanaman) rambut di bahagian atas kepala tetapi sebenarnya prosedur ini juga boleh digunakan untuk kelopak mata. Ramai orang yang semakin berusia mendapati bulu mata mereka luruh atau semakin menipis.
10. Penghasilan lesung pipit
Ramai orang menganggap mempunyai lesung pipit akan membuatkan senyuman anda lebih manis. Namun, tidak semua dilahirkan mempunyai lekuk kecil pada pipi. Kini, beberapa pakar pembedahan plastik mampu mencipta lesung pipit.
Prosedur ini melibatkan pemotongan kecil di bahagian dalam mulut dan membuat jahitan kecil antara otot buksinator dan kulit pipi. Lesung pipit buatan manusia ini biasanya tidak dapat dibezakan dengan lesung pipit asli dan hanya muncul apabila anda senyum sahaja.
11. Pengecilan puting dan areola
Bagi sesetengah wanita mahupun lelaki, mereka mempunyai puting dada yang terlebih panjang atau areola (kawasan puting) yang besar. Ia boleh disebabkan faktor keturunan, kehamilan dan sebagainya. Doktor mempunyai beberapa cara untuk memperbaikinya, sama ada dengan memotong sedikit hujung puting atau mengeluarkan sedikit kulit di pangkal puting.
Bagi prosedur mengecilkan areola pula, doktor akan mengeluarkan kulit berbentuk bulat di pinggir areola dan menjahitnya menjadi lebih kecil. Prosedur ini bagaimanapun akan meninggalkan parut kekal di sekitar areola.
12. Pembedahan plastik alat sulit
Walaupun agak membimbangkan, trend pembedahan plastik alat kelamin ini semakin mendapat permintaan. Biasanya ia melibatkan prosedur mengeluarkan kulit labia (bahagian luar genitalia wanita) yang berlebihan, mengetatkan saluran faraj dan juga membesarkan "G spot" untuk meningkatkan pengalaman seksual.
Rujukan:
1. Pembedahan kosmetik yang semakin menjadi pilihan ramai