Kita tidak akan pernah tahu mengenai sesuatu pekerjaan itu jika kita bukan di dalam bidang tersebut. Setiap pekerjaan mempunyai masalah dan cabaran tersendiri. Pastinya anda berasakan bahawa kerja anda lah yang paling teruk di dunia ini, dan apabila anda bertukar kerja, anda menyedari kerja baru anda juga sukar.
Anda tidak akan dapat lari daripada kebenaran tersebut. Namun, terdapat beberapa jenis pekerjaan di dunia ini yang berada di tahap yang berbeza daripada kerja-kerja lain, sehinggakan boleh menyebabkan kematian.
BESARKAN TEKS A- A+
Dengan mengambil kira risiko dan cabaran yang perlu dihadapi, iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda 11 pekerjaan yang paling berisiko tinggi dan berbahaya di atas muka bumi ini.
11. Pemandu trak
Pasti ramai yang bersetuju dengan pekerjaan ini adalah bahaya. Antara faktor yang menyebabkan pemandu trak adalah satu kerja yang sangat berbahaya adalah ia memerlukan tenaga yang tinggi kerana perjalanan yang jauh dan juga jalan yang berbahaya. Ramai di antara mereka yang tidak mendapat tidur yang cukup.
Kebanyakan pemandu trak bekerja lebih masa, dan terpaksa memandu walaupun dalam keadaan letih. Bagi mereka yang menggunakan jalan dalam dan memandu pada waktu tidak menentu seperti waktu malam, ia amat berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan, yang boleh menyebabkan kematian. Pada tahun 2014, seramai 700 pemandu trak kehilangan nyawa mereka.
10. Pengawal penjara
Bekerja di tempat yang dipenuhi dengan penjenayah berbahaya seperti perompak, perogol dan pembunuh, ia adalah sangat berbahaya bekerja sebagai pengawal penjara. Jika tidak berhati-hati dan hilang fokus, anda akan meletakkan diri anda dalam keadaan bahaya. Sebagai contoh penjara Gldani di Georgia, yang menempatkan penjenayah yang sangat bahaya, pengawal penjara sangat tidak digalakkan untuk bersendirian.
Antara sebab berlakunya kes rogol dan pukul mahupun bunuh di dalam penjara adalah kerana banduan-banduan adalah terlalu berbahaya dan ganas sehinggakan pengawal penjara risau untuk campur tangan. Bukan sahaja banduan berisiko mati dibunuh, pengawal penjara juga tidak terlepas.
9. Pekerja nuklear
Kerja ini sudah berada di tahap bahaya yang lebih tinggi. Anda boleh terbunuh dalam sekelip mata jika sesuatu berlaku diluar jangkaan. Pekerja nuklear harus mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan terperinci bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Pusat janakuasa nuklear biasanya berada jauh terpencil beberapa kilometer dari pusat penempatan manusia kerana risiko bahan radioaktif yang begitu toksik yang boleh menyebabkan penyakit barah serta kematian. Di Jepun, telah berlaku kemalangan pada 2011 di stesen janakuasa nuklear Fukushima Daiichi akibat kerosakan reaktornya.
Tahap radiasi yang sangat tinggi menyebabkan penduduk sekitar perlu dipindahkan jauh bagi mengelakkan kematian, namun pekerja-pekerja nuklear perlu masuk ke dalam kawasan tersebut untuk menutup stesen tersebut. Bayangkan risiko yang mereka hadapi.
8. Pekerja di pelantar minyak
Ramai anak muda yang bekerja sebagai jurutera, juruteknik dan banyak lagi di pelantar minyak. Dan sememangnya diakui oleh mereka sendiri bahawa kerja ini amat mencabar dan berisiko tinggi, kadang-kadang tidak berbaloi dengan gajinya walaupun tinggi.
Berjauhan dengan keluarga itu sudah tidak menjadi masalah, kerana ada masalah yang lebih besar ketika berada di pelantar. Pekerja pelantar perlu bekerja lebih masa, sehingga 16 jam sehari. Ketika bekerja mereka perlu sentiasa sedar dan peka kerana terdapat banyak mesin-mesin yang boleh membunuh jika tersilap langkah. Dengan tidur yang tidak cukup dan menentu, amat berbahaya bagi mereka, dan juga berisiko jatuh dari pelantar dan lemas.
Itu tidak termasuk bahaya bekerja di pelantar minyak akibat letupan yang muda tercetus kerana minyak mudah terbakar. Beberapa letupan yang berlaku di pelantar minyak di seluruh dunia, antaranya adalah seperti kes Deepwater Horizon.
7. Penyelenggara elektrik voltan tinggi
Mungkin anda hanya mengetahui pekerja yang bekerja dengan syarikat tenaga seperti TNB hanya datang memotong tenaga elektrik jika anda tidak membayar bil elektrik. Tetapi mereka yang bekerja di stesen janakuasa elektrik, ia adalah sesuatu yang amat dekat dengan kematian, dari segi adat.
Dari segi adat, tenaga elektrik yang diperlukan untuk menyebabkan kehilangan nyawa adalah setinggi 50 volt. Namun, stesen jana kuasa boleh menjana tenaga elektrik setinggi 800,000 volt, yang mampu membunuh berpuluh ribu orang. Kerja yang berisiko tinggi ini juga memerlukan staf nya untuk memanjat tiang yang tinggi. Tiada apa yang mampu dilakukan hanya dengan sangat berhati-hati ketika kerja. Dalam sekelip mata, sama ada terjatuh atau terkena renjatan elektrik, kedua-duanya boleh membawa maut. Anda berani?
6. Wartawan perang
Tiada siapa yang mahu berada di medan peperangan, kecuali pihak yang berperang. Ianya sesuatu yang boleh dikatakan gila dan mahu membunuh diri. Bila-bila masa sahaja mereka anda boleh melayang. Namun, kerja sebagai wartawan di zon perang masih tetap perlu dilakukan seseorang bagi melaporkan apa yang terjadi. Dengan berbekalkan kamera dan tag nama "jurugambar", mereka hanya melakukan kerja mereka dan berdoa agar mereka tidak terkena butiran-butiran peluru dan bom yang berterbangan.
5. Pelombong arang batu
Dengar nama sudah boleh bayangkan bagaimana kerjanya. Kotor sudah tidak menjadi masalah lagi. Bekerja di dalam lorong-lorong bawah tanah yang sangat sempit, gelap dan sesak, ianya amat sukar untuk bernafas disebabkan udara yang kurang dan habuk arang batu yang tebal. Dan perlu diingat, menyedut habuk-habuk yang terdapat di dalam lombong itu sahaja sudah berbahaya.
Itu tak termasuk risiko lombong tersebut terkambus akibat gempa bumi atau kejadian alam yang lain. Jika itu berlaku, anda bernasib baik kalau anda mati terkambus serta-merta. Namun jika nasib kurang baik, anda akan terperangkap dan mati secara perlahan-lahan. Kalau berani dan sanggup, boleh hantar resume.
4. Tukang potong kayu balak
Kayu balak yang ada di negara kita mungkin tak sebesar seperti di negara luar, namun masih juga besar. Pastinya anda rasa gergaji yang digunakan adalah penyebab kerja ini berisiko tinggi dan berbahaya, namun itu bukan masalahnya. Apa yang berbahaya mengenai kerja ini adalah kesilapan mengagak ke mana pokok-pokok itu akan tumbang.
Jika silap ramalan anda, maka akan berakhirlah hayat anda dihempap pokok yang tersangat besar. Mungkin anda akan katakan bahawa mengapa tak lari? Ia adalah disebabkan saiz pokok yang terlalu besar membuatkan anda tidak sempat.
3. Angkasawan
Hendak jadi seorang angkasawan bukannya mudah, memerlukan anda pakar dalam pelbagai aspek. Dah jadi angkasawan, ada pula risiko yang bahaya. Sebanyak 7% dianggarkan bagi kadar kematian seorang angkasawan ketika bertugas. Apa yang berbahaya adalah ketika melakukan perlepasan. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi ketika berlepas, seperti kebocoran oksigen dan sebagainya.
Sedikit sahaja kesilapan yang berlaku, boleh membuatkan kapal angkasa meletup. Antara kes kapal angkasa meletup adalah Kapal Angkasa Colombia pada tahun 1986 yang mengorbankan kesemua tujuh angkasawan dan kapten kapal.
2. Penangkap ketam laut dalam
Ini bukanlah satu pilihan bagi kita kerana kerja ini tidak ada di negara kita. Namun, ia terdapat di negara seperti di Alaska. Berada di tangga pertama pekerjaan paling berbahaya di dunia, maka risiko nya bukan sesuatu yang kelakar. Kerja ini memerlukan anda cekal dan kuat dalam semua segi, fizikal, mental dan rohani.
Anda perlu kuat untuk bekerja 24 jam sehari, mengangkat peralatan yang berat, buang ais dari bot dan juga sentiasa peka terhadap ombak kuat yang bukanlah dalam kuasa anda. Jika tukang potong kayu balak masih boleh lari jika pokok tumbang, tetapi penangkap ketam ini hanya mampu berdoa ombak kuat dan tinggi tidak membuatkan kapal mereka karam dan terkubur di laut yang teramat sejuk dan dalam.
1. Perdana Menteri
Bunyi seperti kelakar, tapi kami rasa ianya amat berbahaya, jika anda tidak menjalankan tugas dengan amanah dan jujur. Rakyat tidak akan menyukai anda dan sentiasa memaki hamun anda sama ada secara lisan ataupun di dalam hati. Anda akan sering menjadi bualan perkara yang tidak baik. Namun jika anda amanah dan telus, pastinya menjadi kesayangan semua.
Seperti yang dikatakan oleh Imam Ghazali, benda yang paling berat di dunia ini adalah amanah. Jadi, jika anda rasa anda tidak akan boleh menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan kepada anda, maka jangan sesekali cuba menjadi Perdana Menteri.
Fikir sehabis baik sebelum menerima sesuatu amanah dan ikutlah Al-Quran dan Sunnah, kerana menerima amanah itu seperti meletakkan sebilah pedang yang sangat tajam di leher. Anda hanya membahayakan diri anda di dunia dan di akhirat.
Wallahualam.
Pastinya terdapat banyak lagi kerja yang anda rasa berbahaya lain. Komen jika anda rasa kerja lain yang patut ada dalam senarai ini.