Setiap hari ramai menggunakan jalan raya, sebagai laluan utama menuju ke destinasi tujuan kita.

Ramai juga di antara kita menjadikan jalan raya sebagai lokasi utama mencari rezeki. Penghantar makanan, penjual buah jeruk jalanan dan mungkin juga penjual tiket loteri sering kelihatan atas jalan, melangsungkan pekerjaan hidup mereka.

Di negara luar ada beberapa pekerjaan unik yang turut berlaku atas jalan raya. Berikut adalah lima pekerjaan, profesion atau mungkin juga hobi unik masyarakat luar yang hanya ditemui di negara mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Kuda belang trafik di Bolivia

pegawai trafik maskot zebra di bolivia

Di La Paz, Bolivia wujud satu profesion khas yang diadakan khas bagi membantu meningkatkan kesedaran pemandu kenderaan berkenaan keselamatan pejalan kaki melintas jalan.

Dinamakan sebagai 'kuda belang trafik' atau 'traffic zebras', individu terlatih dilantik majlis perbandaran La Paz berdiri berhampiran kawasan lintasan belang untuk membantu memperlahankan kenderaan yang ada...dengan berpakaian ala maskot seekor kuda belang!

Dilancarkan pada tahun 2001, program ini dilihat tinggi keperluannya ekoran kurangnya kesedaran orang ramai dalam mematuhi peraturan jalan raya. Selain membantu pejalan kaki melintas jalan dengan selamat, 'zebra-zebra' terpilih juga akan turut serta menyertai dan mempromosikan kempen keselamatan jalan raya di lokasi lain.

Sejak diperkenalkan, program ini semakin berkembang turut sama dijalankan di beberapa buah daerah berbeza. Maskot kuda belang di Bolivia kini sudah sinonim dengan tahap keselamatan jalan raya di kalangan warga negara tersebut dan profesion sebagai seekor zebra memang popular di sana.

2. Penghalang nombor plat pendaftaran di Iran

tukang lindung nombor plat iran

Semenjak pengenalan dasar penggiliran akses kenderaan ke kawasan tertentu bagi mengawal tahap pencemaran, warga Iran mula merasakan kesukaran bergerak ekoran  syarat yang diperkenalkan kerajaan mereka.

Penggilaran akses ke lokasi kawalan yang dibuat mengikut angka genap atau ganjil pendaftaran kereta setiap hari, memaksa segelintir pemandu di Iran 'menggajikan' orang 'profesional' untuk melindungi plat pendaftaran kenderaan mereka agar tidak berdepan saman.

Wujud bermacam kaedah digunakan, biasanya memerlukan individu yang diupah sama ada menaiki motorsikal atau basikal di belakang kenderaan agar plat keretanya terlindung di kawasan-kawasan yang dikenalpasti ada sistem kamera pengesan.

warga iran ambil upah tutup nombor plat kenderaaan

Ada juga individu-individu pelindung ini menawarkan khidmat untuk duduk di belakang kenderaan sepanjang laluan tersebut, seperti dalam gambar di atas.

Dikatakan pendapatan mereka yang menjadikan tugasan ini sebagai satu karier lumayan, kerana mereka tidak memerlukan modal.

Apa yang diperlukan hanyalah kesanggupan untuk mereka menggunakan pelbagai helah dalam melindungi nombor pendaftaran pemandu lain. Tamat tugasan, bayaran diterima dan kerja mereka selesai.

3. Tukang tolak beca di India

tukang tolak muatan berat india

Dalam sesetengah situasi, penarik kandar atau pengayuh beca perlu melalui laluan atau lorong yang curam sambil membawa muatan yang berat.

Nak mengayuh atau menarik kandar seorang diri memang tak semua mampu, walaupun itulah kerja mereka sehari-hari. Di lokasi-lokasi curam sebegini di India, wujud kumpulan pemuda yang menunggu di tepi jalan menantikan peluang mereka menjana pendapatan.

Pemuda-pemuda ini akan membantu penarik kandar atau pengayuh beca yang ada menolak muatan mereka mendaki jalan yang curam. Sampai di atas, wang ringgit bertukar tangan dan kumpulan profesional itu kembali berjalan ke bawah menantikan peluang seterusnya.

Kadar bayaran yang dikenakan bergantung kepada jenis muatan.

Untuk muatan barangan, harga yang akan dikenakan kepada pemilik kandar adalah sekitar Rs.5 atau 28 sen sementara untuk menolak muatan penumpang pula, caj yang dikenakan hanyalah Rs.3 atau 17 sen sahaja.

4. 'Dabbawalla' di India

dabbawala tukang hantar makanan india

Kekal dengan India, 'dabbawalla' adalah sistem yang diamalkan masyarakat di sana hampir 2 abad lamanya.

Sistem pengedaran makanan secara tradisional ini memerlukan penghantar makanan profesional mengambil makanan yang telah disediakan dari dapur-dapur yang dilantik, untuk di hantar kepada pelanggan yang melakukan pesanan.

Biasanya langganan makanan dibuat secara bulanan bagi memudahkan pesanan mereka diuruskan.

Dimulakan di Bombay (kini Mumbai) oleh seorang usahawan bernama Mahadeo Havaji Bachche dengan 100 lebih orang penghantar, kini perniagaan ini berkembang ke serata India sehingga menjadi salah satu simbol kerjasama dalam masyarakat mereka.

Makanan yang diisi ke dalam mangkuk bertingkat akan diangkut secara manual oleh dabbawalla terpilih yang bertanggungjawab menghantar makanan itu kepada pelanggan.

Tiba waktu tengahari, mereka akan kembali kepada pelanggan-pelanggan yang telah selesai menjamah hidangan bagi mengutip semula mangkuk tingkat yang telah digunakan. Semua peralatan makanan itu dihantar ke pusat pengumpulan untuk tujuan pembersihan.

Setiap 'Dabbawalla' yang bermakna 'individu yang mengangkut kotak makanan', perlu menyediakan sendiri cagaran pendahuluan sebelum boleh mula berkhidmat, iaitu dua basikal, kotak kayu untuk memudahkan proses mengangkut, sehelai kurta putih dan kopiah putih yang menjadi simbol status pekerjaan mereka.

5. Joki penumpang di Indonesia

joki 3 in 1 membaya bayi

Di antara kebanyakan kerja dalam senarai ini, ini mungkin kerja paling senang.

Anda hanya perlu menjadi penumpang kereta, duduk diam dan merasaikan keasyikan pendingin hawa sepanjang 'pekerjaan' anda.

Usaha kerajaan Indonesia mengawal kesesakan trafik serta mengurangkan jumlah kenderaan di zon sesak Jakarta, berdepan kesukaran selepas syarat jumlah penumpang minima yang diperkenalkan membawa kepada masalah berbeza.

Kerajaan Indonesia meletakkan syarat untuk melalui zon terhad, sesebuah kereta perlulah membawa sekurang-kurangnya 3 orang penumpang di dalamnya termasuklah pemandu.

Sekiranya kurang, pemandu tidak dibenarkan untuk menggunakan jalan tersebut dan andainya dilanggar juga - akan berdepan tindakan saman.

Bagi pencari rezeki mereka melihat peluang terhidang depan mata. Ramai warga Jakarta berpendapatan rendah berdiri di laluan-laluan terbabit, menawarkan khidmat 'menjadi penumpang' kepada pemandu yang memerlukan ruangan keretanya diisi - dinamakan sebagai 'joki 3 in 1'.

Setelah perjalanan mereka menaiki kenderaan itu selesai dan kenderaan itu selamat keluar dari laluan yang dikhaskan, joki akan turun dan menanti semula sekiranya ada kenderaan lain mahu melalui laluan sama dalam arah bertentangan.

Apa yang malang ekoran permintaan, sindiket pemerdagangan kanak-kanak juga mula menyewakan kanak-kanak sebagai 'penumpang' kepada joki dengan kadar bayaran Rp 200,000 sehari (RM60), memudahkan joki memenuhi kuota penumpang yang diperlukan.

Lebih malang, kanak-kanak dan bayi terpilih biasanya diberikan sedatif untuk 'menenangkan' mereka sepanjang perjalanan.

Ekoran pelbagai masalah yang timbul serta kekreatifan warga Indonesia mengintai peluang pekerjaan, peraturan ini ditarik balik pada tahun 2016 dan digantikan dengan sistem akses mengikut nombor ganjil dan genap; mengakibatkan ramai joki hilang sumber pendapatan mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)