Dalam sejarah, terdapat zaman di mana aktiviti lanun menjadi begitu aktif sehinggakan menggugat perdagangan antarabangsa. Waktu ini dinamakan sebagai Zaman Keemasan Lanun.

Pada waktu itu, lanun seperti Blackbeard, Henry Morgan, Kapten Kidd, Calico Jack menjadi begitu terkenal kerana berjaya menawan banyak kapal dagang dan kapal tentera.

Bukan sahaja mereka menempah lagenda melalui kekuatan berperang tetapi juga berjaya mengharungi ombak dan ribut dari lautan paling ganas dunia. Berikut adalah beberapa kapal lanun yang paling digeruni semasa era ini.

9. Adventure Galley

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adventure Galley mungkin merupakan kapal lanun yang paling malang namun tetap digeruni semasa era kegemilangan lanun. Kapal seberat 284 tan ini dilengkapi dengan 34 senjata.

Pada asalnya, kapal ini dibina bertujuan untuk memburu kapal lanun tetapi kapal yang dipimpin oleh Kapten William Kidd bersama 150 anak kapal ini dilaporkan telah terlibat dalam aktiviti melanun.

Kapal yang ditaja oleh kerajaan British ini mula berlayar dari New York pada 6 September 1696 dalam misi memburu lanun. Namun, keadaan tidaklah seperti yang diharapkan. 

lanun kapten kidd

Selama beberapa tahun, Adventure Galley telah berlayar sejauh ribuan batu namun gagal menemui kumpulan lanun dan Kapten Kidd terdesak kerana tidak mendapat sebarang habuan.

Dengan pelbagai kesukaran ditambah pula keadaan kapal yang kayunya mula mereput, Kapten Kidd telah menyerang dan mengambil Quedah Merchant, kapal dagang milik Perancis dengan pelbagai muatan berharga dan juga beberapa kapal lain sewaktu melanun.

Pada 23 May 1701, Kapten Kidd telah didapati bersalah kerana aktiviti melanun dan dihukum gantung. Mayatnya dibiarkan di pintu masuk Sungai Thames sebagai amaran kepada sesiapa yang melakukan jenayah lanun.

8. Queen Anne’s Revenge

queen anne s revenge

Pada November 1717, Edward Teach yang terkenal dengan panggilan Blackbeard telah menawan sebuah kapal hamba abdi Perancis bernama La Concorde. Kapal yang mempunyai 14 senjata itu kemudian ditambah lagi menjadi 40 senjata dan dinamakan Queen Anne’s Revenge.

Kapal seberat 200 tan ini membawa 280 anak kapal dan menjadi salah satu kapal paling kuat yang menguasai perairan Caribbean dan persisir pantai Amerika Utara. 

Kapal ini banyak menyerang kapal British, Belanda dan Portugis semasa karier melanun mereka. Pada Mei 1718, Blackbeard berjaya merompak 5 kapal sekaligus apabila dia berjaya menawan pelabuhan Charleston.

blackbeard

Malangnya, kapal ini telah terlanggar timbunan pasir ketika Blackbeard cuba melarikan diri dan menyebabkannya rosak teruk. Ahli sejarah berpendapat Blackbeard sengaja melanggar timbunan pasir itu supaya terjadinya kematian tidak sengaja sebahagian anak kapal. Maka, mereka yang terselamat mendapat bahagian rompakan yang lebih.

Bangkai kapal ini telah ditemui berhampiran persisir pantai Beaufort, Carolina Utara pada tahun 1997.

7. Whydah

whydah

Pada asalnya, Whydah merupakan kapal hamba abdi yang dibina di London pada tahun 1715. Namanya diambil sempena pelabuhan Afrika Utara bernama Ouidah yang kini dikenali sebagai Benin.

Kapal seberat 300 tan ini diketuai oleh Lawrence Prince dan memainkan peranan penting dalam perjanjian hamba abdi yang dikenali sebagai 'Perdagangan Tiga Penjuru'.

Ketika pelayaran ke-2 Whydah pada Febuari 1717, ia telah diserang di Bahamas oleh 2 kapal lanun yang bernama Sultana dan Mary Anne yang diketuai oleh Samuel "Black Sam" Bellamy.

black sam

Black Sam kemudian mengubah Whydah menjadi kapal lanun dengan kekuatan 28 buah meriam dan 146 anak kapal. Kapal ini digeruni di sekitar lautan Atlantik dan dipercayai telah merompak lebih dari 50 buah kapal.

Namun, ianya tidak bertahan lama apabila hanya selepas 2 bulan diambil alih Black Sam, kapal ini telah karam dipukul ribut berdekatan Cape Cod. Bangkai kapal ini telah berjaya ditemui pada tahun 1984 bersama ribuan artifak lain.

6. Royal Fortune

royal fortune

Kapten Bartholomew Roberts merupakan lanun paling berjaya sepanjang zaman. Dia dikenali dengan panggilan Black Bart, mempunyai rekod kejayaan merompak kapal paling banyak dalam sejarah.

Black Bart juga terkenal dengan sifat kejamnya. Dia pernah membakar lebih daripada 80 orang hamba abdi kerana tidak mahu membuang masa dan tenaga membebaskan mereka setelah merompak kapal yang membawa mereka.

Pada Julai 1720, Dia telah berjaya menawan sebuah kapal Perancis di perairan Newfoundland dan menamakannya Royal Fortune. Dia bersama 157 anak kapalnya telah memasang 42 buah meriam untuk persediaan melawan kapal Tentera Laut jika bertembung.

black bart

Kapal Royal Fortune ini pernah cuba berlayar ke Afrika tetapi terpaksa menukar haluan ke perairan Caribbean kerana cuaca buruk. Keputusan itu membuahkan hasil apabila mereka berjaya merompak lebih banyak kapal di Caribbean.

Kegemilangan Royal Fortune berakhir pada Febuari 1722 apabila Black Bart terbunuh ketika bertempur dengan kapal perang Swallow yang diketuai oleh Chaloner Ogle. Ketika itu, kapal Royal Fortune sedang berlabuh di Cape Lopez sebelum diserang hendap.

5. Fancy

fancy

Fancy merupakan sebuah kapal yang ditaja oleh Raja Sepanyol. Kapal yang mempunyai 46 meriam ini merupakan kapal yang menggerunkan semasa zaman kegemilangan lanun dan terkenal kerana kelajuannya.

Kapal yang asalnya dibina untuk tujuan perdagangan dan penjelajahan ini mampu membawa muatan 140 anak kapal dan diketuai oleh Henry Avery. Sebaliknya, Avery dan anak kapalnya telah melakukan aktiviti melanun.

henry avery

Kejayaan terbesar mereka ialah pada Julai 1695 apabila Fancy dan lima kapal lanun lain berjaya menawan Ganj-i-Sawai, sebuah kapal khazanah dengan kekuatan 40 senapang dengan 25 kapal pengiring milik Grand Mogul (pemerintah Monggol) di India. Ia merupakan rompakan paling menguntungkan yang pernah dilakukan oleh lanun.

Kapal Fancy ini terus berlayar di sekitar Caribbean dan melakukan aktiviti melanun sebelum hilang secara misteri bersama semua anak kapalnya.

4. Happy Delivery

happy delivery

Kapal Happy Delivery pada mulanya dikenali sebagai Gambia Castle dan merupakan kapal pedagang hamba bersaiz sederhana milik Royal African Company. Kapal ini membawa 30 orang anak kapal dan dikemudi oleh Kapten Charles Russel dan timbalannya George Lowther.

Ketika pelayaran sulungnya pada 1721, Gambia Castle telah ditemani sekumpulan tentera yang diketuai oleh Kapten John Massey dalam misi mengambil hamba abdi di sekitar Sungai Gambia di Afrika.

Setibanya di Afrika, berlaku beberapa perselisihan yang menyebabkan kumpulan ini terbahagi kepada dua. Kapten Russel lebih mengutamakan penghantaran hamba melebihi keperluan anak kapal sendiri. Manakala Lowther pula tidak sehaluan dengan Russel.

Lowther berjaya meyakinkan sebahagian anak kapal untuk memberontak dan akhirnya berjaya menyingkirkan Russel dan pengikutnya. Setelah berjaya mengambil alih Gambia Castle, Lowther dilantik sebagai kapten baru dan menukar nama kapal kepada Happy Delivery.

Sejak itu, Happy Delivery terkenal kerana aktiviti melanun. Walau bagaimanapun, Lowther terpaksa meninggalkan kapal itu apabila diserang oleh puak asli Amerindian pada tahun 1722.

3. The Golden Hind

the golden hind

Kapal ini merupakan salah satu kapal paling terkenal dalam sejarah pelayaran. Ia diketuai oleh Sir Francis Drake, orang Inggeris pertama yang telah berjaya berlayar mengelilingi dunia. Kapal ini mempunyai kekuatan sebanyak 18 buah meriam.

Pada tahun 1577, Drake diarahkan oleh Ratu Elizabeth untuk menjelajah ke seluruh dunia. Mereka berlayar meninggalkan Plymouth bersama 164 orang anak kapal. Pada tahun 1578, mereka berjaya menyeberangi selat Magellan setelah terselamat daripada dua ribut besar.

francis drake

Namun, Drake dan anak kapalnya mula merompak beberapa buah kapal di lautan Pasifik. Ahli sejarah percaya bahawa Drake telah melampaui batas sebagai petugas undang-undang dengan melakukan jenayah melanun.

Kejayaan terbesar Golden Hind ialah ketika berjaya menawan kapal Sepanyol, Nuestra Señora de la Concepción, pada tahun 1579 dan berjaya merampas 360,000 pesos (bersamaan £480 juta pada 2017).

Setelah berlayar selama 2 tahun 10 bulan, kapal Golden Hind ini berjaya tiba semula di Plymouth pada 26 September 1580. Walaupun Kapten Drake terselamat tetapi dia kehilangan 104 orang anak kapal.

2. Rising Sun

the rising sun

The Rising Sun adalah sebuah kapal lanun yang mempunyai 35 senjata dengan muatan seramai 135 orang anak kapal. Kapal ini diketuai oleh Kapten Christopher Moody yang sebelum ini pernah bekerja di bawah pimpinan Black Bart. 

Pada tahun 1718, kapal ini berlayar bersama sebuah lagi kapal dengan jumlah senjata yang sama dan dipimpin oleh Kapten Frowd. Mereka biasanya akan membakar kapal yang telah dirompak bagi membersihkan jejak kegiatan mereka.

Gabeinor Jamaica pada waktu itu, Archabald Hamilton, mendapat tahu bahawa Kapten Moody terlibat dengan keganasan dan rompakan. Mereka disyaki melakukan kegiatan di sekitar perairan pulau St. Christophers dan Santa Croix.

bendera rising sun

Hamilton kemudian telah meminta bantuan dari England untuk mempertahankan perairan Jamaica, termasuk sebuah kapal perang dengan kekuatan 40 meriam bagi menangani Kapten Moody dan kapal Rising Sun miliknya.

Pada awal 1719, satu pemberontakan telah berlaku di atas kapal Rising Sun di ketuai oleh Thomas Cocklyn tetapi berjaya dipatahkan oleh Kapten Moody. seramai 25 orang pemberontak telah ditinggalkan di persisiran pantai tanpa mendapat bahagian rompakan mereka.

Tidak lama selepas itu, anak kapal yang selebihnya telah melakukan hal yang sama kepada Moody apabila meninggalkan dia di atas sebuat bot kecil bersama 12 orang pengikutnya. Mereka melantik Cocklyn semula sebagai Kapten yang baru.

1. Speaker

kapal speaker

Kapal ini merupakan kapal pedagang hamba abdi yang mempunyai sebanyak 50 senjata api. Ia telah ditawan oleh Kapten George Booth dan John Bowen pada April 1700. Kapal ini diterajui oleh Booth dan berlayar ke Zanzibar bersama lebih 200 orang anak kapal.

Namun, pada penghujung tahun yang sama Kapten Booth telah terbunuh dalam satu pertempuran dan Speaker diambil alih oleh Bowen. Antara kejayaan Bowen bersama Speaker ialah apabila dia berjaya mengalahkan 13 kapal Moors dan mendapat habuan sebanyak £100,000 (£8 juta hari ini).

john bowen

Dia juga berjaya menangkap sebuah kapal British yang terkenal iaitu English East Indiaman yang diketui oleh Kapten Conway pada November 1701 serta menunda kapal itu ke pengkalan berhampiran dan berjaya menjualnya kepada 3 bahagian.

Malangnya, lagenda kapal ini berakhir apabila ia karam berdekatan Swarte Klip yang terletak di perairan Mauritius pada tahun 1702. Kebanyakan anak kapal berjaya menyelamatkan diri namun kehilangan harta rampasan yang tenggelam bersama-sama kapal Speaker itu. 

Rujukan:

1. Lolwot

2. Toptenz




Hakcipta iluminasi.com (2017)