Dalam siri filem Pirates of the Caribbean, watak penguat kuasa yang membanteras lanun sering menjadi bahan jenaka dan diperkotak-katikkan oleh penjahat seperti Kapten Jack Sparrow.
Namun, realitinya tidaklah seperti filem. Walaupun lanun terkenal dengan kekejaman mereka, mereka cukup takut apabila mendengar nama Woodes Rogers. Berikut adalah kisah bagaimana Rogers menjadi pemburu lanun paling digeruni dalam sejarah.
BESARKAN TEKS A- A+
Sejarah awal Woodes Rogers
Woodes Rogers dilahirkan pada tahun 1679 kepada seorang usahawan kaya yang menjalankan peniagaan kapal. Walaupun serba mewah tetapi Rogers adalah seorang yang gemarkan pengembaraan.
Pada usia 18 tahun, dia menjadi pelatih kepada seorang pelayar di Bristol. Ketika itulah dia banyak mempelajari kemahiran perdagangan. Tanpa diduga, bapanya meninggal dunia pada tahun 1706 dan Rogers terpaksa mengambil alih tanggungjawab perniagaan keluarganya.
Perniagaan perkapalan semasa Zaman Keemasan Lanun bukanlah sesuatu yang mudah. Raja Britain ketika itu iaitu Raja George I lebih risau mengenai persaingan perniagaan dan pertahanan armada Sepanyol berbanding ancaman lanun yang semakin berleluasa.
Rogers terpaksa menguruskan perniagaan bapanya di bawah iklim politik yang sukar. Perang Takhta Sepanyol (1701–1714) telah menyaksikan kapal-kapal Sepanyol menyerang kapal-kapal dari Syarikat Hindia Timur Inggeris di Lautan Hindi.
Ketika itulah seorang kapten kapal perdagangan bernama William Dampier telah meyakinkan Woodes Rogers untuk membiayai ekspedisi bersenjata ke Lautan Hindi bagi melindungi kepentingan syarikat itu di sekitar kepulauan Madagascar yang menjadi pusat tumpuan lanun.
Rogers akhirnya berjaya meyakinkan para pembiaya lain untuk membina dua buah kapal untuknya yang dinamakan sebagai Duke dan Duchess. Pada tahun 1708, Rogers memulakan ekspedisinya dengan ditemani Dampier.
Pelayaran sulung Woodes Rogers
Pada awal pelayarannya, Rogers menemui pelbagai halangan. Pasukannya tidak membawa pakaian sejuk yang mencukupi, kehabisan minuman keras dan berlayar terlalu hampir dengan Antartika ketika mereka melakukan ekspedisi ke selatan Amerika Syarikat. Akhirnya, ada anak-anak kapal yang cuba memberontak.
Ketika bertempur dengan Sepanyol, Rogers turut kehilangan adiknya sendiri. Lebih memeritkan lagi, Rogers sendiri cedera parah apabila sebutir peluru mengenai bahagian lelangit mulutnya.
Walaupun marah dan geram dengan kematian adiknya, Rogers tetap meneruskan pelayarannya. Ia adalah satu tragedi yang akan dibawa dan ditebus sepanjang hayatnya.
Ketika menghampiri Pulau Juan Fernandez di Lautan Pasifik Selatan berhampiran pesisir pantai Chile, kapal-kapal ekspedisinya berhenti untuk mencari bekalan dan makanan. Di pulau tidak berpenghuni itu, merek temui pelbagai buah-buahan, sayuran serta kambing.
Di pulau itu juga Rogers telah menyelamatkan Alexander Selkirk yang terkandas di situ selama empat tahun. Selkirk yang berasal dari Scotland itu meninggalkan pelayaran Dampier sebelum ini kerana sudah tidak percayakan kepimpinan Dampier sebagai ketua.
Perhentian mereka di Pulau Juan Fernandez telah memberikan mereka pelbagai kelebihan. Anak-anak kapal berupaya membaiki kerosakan kecil pada kapal dan mereka yang sakit pula telah sembuh setelah mendapat cukup rehat dan makanan berkhasiat di situ.
Selkirk juga merupakan aset penting kepada Rogers dan anak-anak kapalnya. Dia yang mempunyai pelbagai kemahiran hidup akibat tinggal berseorangan telah diambil Rogers untuk menyertai ekspedisinya.
Setelah kembali ke tanah airnya pada 1711, Woodes Rogers telah disaman oleh anak-anak kapalnya kerana dituduh tidak adil dalam pengagihan keuntungan. Ini menyebabkan dia berhutang dengan banyak kepada pihak istana.
Selain itu, dia juga telah mengeluarkan peluru yang tersimpan dalam lelangit mulutnya. Peluru yang dikeluarkan itu telah menyebabkan kecacatan kekal sehingga Rogers mengalami kesukaran bercakap.
Misi mustahil Woodes Rogers
Pada tahun 1718, Raja George I telah memberikan misi baru kepada Rogers. Dia memerintahkan Rogers untuk belayar ke Bahamas sebagai gabenor baru di pulau itu.
Misi ke Bahamas itu seakan-akan mustahil. Rogers dan Raja George I sendiri tahu bahawa tempat itu adalah syurga lanun. Kira-kira seramai 2,000 orang lanun berada di kepulauan Bahamas dan Rogers tidak mempunyai peluang untuk menang.
Namun, Rogers terpaksa akur dengan perintah raja itu. Dia meninggalkan Bristol dengan tujuh buah kapal di mana tiga di antaranya Tentera Laut Diraja. Kumpulannya kali ini merangkumi seramai 100 orang askar dan 130 orang penjajah.
Rogers juga membawa amanat Raja George I, di mana semua lanun yang memutuskan untuk berhenti dari kehidupan melanun akan diberi keampunan penuh.
Setibanya di Bahamas, Rogers bertemu dengan seorang lanun bernama Charles Vane. Lanun itu memperlekehkan pengampunan diraja yang ditawarkan dan mengugut untuk membakar armada kecil Rogers.
Edward Teach aka Blackbeard
Apabila percubaannya gagal, Vane telah meminta bantuan seorang lagi lanun bernama Edward Teach. Teach merupakan seorang lanun yang digeruni dan lebih dikenali sebagai Blackbeard.
Rogers terdesak untuk mendapatkan bantuan daripada mana-mana lanun yang ada di sana dengan menawarkan pengampunan diraja sebagai ganti. Dua orang lanun terkenal bernama Benjamin Hornigold dan John Cockram bersetuju untuk membantu.
Pemburu VS Lanun
Mereka juga berjaya memujuk lanun-lanun lain untuk menerima pengampunan yang ditawarkan. Setelah mempunyai pasukan yang agak besar, Rogers bersedia untuk memburu Vane dan Blackbeard.
Rogers yang baru dilantik menjadi Gabenor Bahamas telah menghantar beberapa ekspedisi memburu yang diketuai oleh Hornigold dan Cockram. Setelah beberapa percubaan, mereka tetap gagal menangkap Vane dan Blackbeard tetapi berjaya membawa balik tawanan lain yang bersubahat dengan lanun itu.
Tugu Peringatan Woodes Rogers di Nassau, Bahamas
Pada Disember 1718, Rogers telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap sembilan lanun dan menggantungkan mayat mereka di pintu masuk perlabuhan Bahamas. Ia juga merupakan peringatan kepada sesiapa yang ingin membelotnya.
Cara Rogers yang kejam itu membuatkan Vane dan Blackbeard tidak berani lagi untuk kembali ke Bahamas. Namun, gabenor itu masih lagi mempunyai masalah lain. Ketika itu, pihak Inggeris sedang berperang dengan Sepanyol.
Gabenor yang berpusat di Nassau, ibu kota Bahamas itu telah mengarahkan semua orang untuk bertahan. Apabila Sepanyol datang menyerang pada Februari 1720, Rogers dan pasukannya berjaya mematahkan serangan dan bertahan sehingga tamat perang.
Gabenor Woodes Rogers akhirnya meninggal dunia pada 1732 di Nassau, Bahamas. Dia telah meninggalkan legasi menggerunkan bagi para lanun ketika Zaman Keemasan Lanun. Dia juga mencipta slogan "Lanun Dihapuskan, Perdagangan Dipulihkan". Koloni British menggunakan moto itu sehingga Bahamas mendapat kemerdekaan pada tahun 1973.
Rujukan:
1. Pemburu lanun paling menggerunkan dalam sejarah